TERKINI :

Saturday, September 26, 2015

Singkir Najib kerana guna isu perkauman, kata pembangkang

 Nurul Izzah Anwar bersama pemimpin DAP diketuai Lim Kit Siang (lima dari kanan) di Jalan Petaling pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 26 September, 2015.
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disingkirkan kerana memainkan isu perkauman untuk terus kekal berkuasa.

Insiden perhimpunan baju merah baru-baru ini dan ugutan oleh kumpulan pro-Umno mengadakan protes di Jalan Petaling hari ini, membuktikan Najib harus berundur, kata pemimpin parti pembangkang itu termasuk Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

"Himpunan Maruah Melayu atau himpunan baju merah 16 September merupakan salah satu produk krisis dan kemelut politik yang menyelubungi negara selama berbulan lama akibat dengan sengaja memainkan unsur perkauman bagi menunjukkan sokongan kepada Najib sebagai perdana menteri," kata Lim kepada media di sebuah kedai kopi di Jalan Petaling, Kuala Lumpur hari ini.

Kedua-dua mereka bersama beberapa pemimpin pembangkang pagi ini melawat kawasan membeli-belah popular di ibu kota itu, yang juga dikenali sebagai Chinatown, sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada peniaga yang kebanyakannya kaum Cina.

Protes yang dirancang hari ini dibatalkan malam tadi dan sehingga pukul 10.45 pagi ini, ramai peniaga di kawasan itu sudah memulakan perniagaan mereka.

Jerebu: Indonesia anggap tak perlu minta maaf

 
Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata, Indonesia tidak perlu meminta maaf berhubung asap daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan yang menyebabkan pencemaran udara di beberapa negara.

Jusuf berkata, apa yang perlu dilakukan oleh republik itu ialah mengatasi masalah kebakaran hutan supaya masalah pencemaran udara akibat asap kebakaran itu tidak berulang lagi, lapor Kompas.

"Berapa lama mereka (negara jiran) nikmati udara segar daripada kawasan hijau dan hutan-hutan kita semasa ia tidak terbakar? Berbulan-bulan. Adakah mereka berterima kasih?

“Tetapi, semasa terjadinya kebakaran hutan paling lama sebulan, asap-asap itu cemari wilayah mereka. Jadi, mengapa mesti meminta maaf," katanya.

Selain itu, Jusuf juga berkata, salah satu penyebab kebakaran hutan susulan wujud permintaan beberapa syarikat milik negara-negara yang mengalami jerebu.

Menurutnya, syarikat dari negara-negara itu juga menebang dan membakar hutan dengan menggunakan khidmat warga tempatan untuk mengosongkan tanah bagi tujuan perladangan atau perniagaan.

Menurut Kompas, Jusuf pernah mengatakan perkara sama pada tahun 2005 dan 2007 ketika menjadi naib presiden kepada Presiden Indonesia keenam, Susilo Bambang Yudhoyono.

Mahfuz: Alangkah lucunya hujah ketua polis


Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung penahanan bekas naib ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dianggap lucu dan kabur.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, alasan dan hujah yang diberikan Khalid mengenai penahanan Khairuddin tidak berlandaskan prinsip undang-undang di Malaysia.

Malah, dalam kenyataannya, Mahfuz mendakwa, Khalid gagal memberi kenyataan khusus berhubung peruntukan undang-undang yang telah dilanggar Khairuddin.

"Alasan dan hujah kabur dan umum yang diberikan oleh ketua polis negara ini jelas sama sekali tidak berlandaskan prinsip undang-undang yang dikuatkuasakan di Malaysia bahkan juga saling tak tumpah dengan hujah-hujah yang biasa kita dengar dari ahli-ahli politik Umno.

"Alasan kononnya tindakan Khairuddin membuat aduan tersebut boleh mengundang campur tangan asing juga satu alasan yang sangat melucukan.

"Malaysia sendiri melalui PDRM pernah meminta kerjasama Interpol (polis antarabangsa) untuk menahan orang yang melakukan kesalahan di Malaysia yang berada di luar negara," kata Mahfuz.

DAP tuntut jabatan agama Pahang minta maaf

DAP menggesa supaya Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memohon maaf berhubung teks khutbah sempena Aidiladha yang didakwa sebagai menghina parti itu.

Menurut Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puri, teks khutbah yang dibacakan oleh mimbar sempena Hari Raya Aidiladha Khamis lalu mendakwa DAP sebagai sebuah parti yang menentang Islam.

Sehubungan itu, Tengku Zulpuri memberi masa selama lima hari bermula hari ini untuk JAIP memohon maaf secara terbuka serta menarik balik teks khutbah tersebut atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

"DAP Pahang akan hantar surat pada Jabatan Agama Islam Pahang atau bahagian mufti yang menuntut mereka menarik balik ucapan berbaur fitnah serta memohon maaf secara terbuka melalui media elektronik dalam masa lima hari dari hari ini.

"Sekiranya tiada tindakan atau balasan dari pihak Jabatan Agama Islam Pahang, kami secara individu iaitu orang beragama Islam dalam DAP akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Agama Islam Pahang yang keluarkan khutbah ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.

Teks khutbah Aidiladha itu menyebut:

"Dewasa ini kita melihat perpecahan umat Islam di negara kita terutama bangsa Melayu begitu ketara. Perpecahan ini kerana mengutamakan parti politik melebihi perpaduan dan persaudaraan Islam seperti Umno, PAS, PKR dan ditambah parti baru yang dinamakan Gerakan Harapan Baru (GHB). Malahan ada di kalangan umat Islam yang menyertai parti DAP yang terang-terangan menentang Islam.

"Sepatutnya umat Islam bergabung dan bersatu suara walaupun berlainan dasar politik mereka..."

Sidang media itu turut dihadiri oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, sasterawan negara yang baru menyertai DAP Datuk A Samad Said serta pakar perundangan yang turut menyertai DAP Julai lalu Dr Abdul Aziz Bari.

Selain itu, Tengku Zulpuri yang juga ADUN Mentakab berkata, ahli DAP Melayu dan beragama Islam menyelar teks khutbah itu kerana mereka tidak pernah menentang mana-mana rukun Islam.

"Menuduh DAP Melayu Islam menentang Islam, apa yang kami tentang? Rukun Islam ada lima perkara dan kami percaya lima rukun itu. Kami tak pernah cakap dan bantah rukun Islam ini tak ada.

"Dan kami tak ada menyeru supaya sembahyang dua imam. Tak pernah berlaku. Tak pernah suruh baiah gadai isteri. Tak pernah," katanya lagi.

Islam diakui agama rasmi

Sementara itu, bagi A Samad atau Pak Samad pula, pihak jabatan agama Islam dilihat keterlaluan apabila menggunakan khutbah untuk mendakwa orang Melayu yang menyertai DAP sebagai seorang penentang Melayu.

"Tak ada bayangan bahawa DAP ini menyalahi akidah. Jadi jangan guna alasan rambang bahasa Melayu yang menyertai DAP sebagai alat yang mencemar agama dan menentang Melayu," katanya.

Bagi Abdul Aziz pula, beliau menyelar tindakan JAIP itu dengan mengatakan bahawa ia mungkin boleh didakwa bawah Akta Hasutan kerana mendakwa DAP sebagai sebuah parti anti-Islam.

Katanya, DAP secara konsisten menjelaskan bahawa Islam merupakan agama rasmi dan agama Persekutuan. Justeru, tiada alasan untuk mana-mana pihak mendakwa DAP sebagai sebuah parti yang anti-Islam.

"Adalah salah untuk melabel sedemikian dan mungkin boleh didakwa bawah Akta Hasutan kerana mengatakan DAP anti-Islam sedangkan parti ini telah menyatakan komitmen mereka bahawa Islam sebagai agama rasmi.

"Ini adalah pendirian kami (DAP) dalam polisi rangka kerja parti. Jadi tak ada debab untuk orang mengatakan bahawa parti ini menentang Islam," kata bekas pensyarah itu.

TV berita Singapura takpakai cakap menteri Malaysia

TV berita Singapura sangkal menteri Malaysia

Stesen televisyen Singapura Channel NewsAsia (CNA) menyangkal dakwaan menteri bahawa programnya “A Fractured Nation” hanya berasaskan sumber pembangkang dan sebelah pihak.

Program itu memaparkan secara kritis perhimpunan baju merah sebagai tanda kem Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memainkan isu perkauman untuk terus berkuasa.

“Berbeza dengan laporan Bernama yang memetik Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, CNA tidak mewawancara mana-mana parti pembangkang di Malaysia,” kata penerbit eksekutifnya Zainudin Afandi.

Zainuddin berkata CNA mewawancara penganjur BERSIH 4 Maria Chin Abdullah, yang bukan anggota pembangkang dan dipercayai boleh memaparkan berimbang dalam laporan itu.

“Program itu juga mewawancara penganjur perhimpunan baju merah, seorang ketua bahagian Umno Datuk Jamal Md Yunos.

“Kami juga siarkan pandangan bekas ketua menteri Melaka dan anggota majlis tertinggi Umno Tan Sri Mohd Ali Rustam,” kata Zainudin lagi.

Salleh semalam dilapor menyifatkan laporan dokumentari CNA kelmarin berat sebelah dan imej buruk Malaysia selain didakwa berdasarkan temubual hanya dengan sumber pembangkang.

Beliau berkata laporan itu tidak mencerminkan situasi sebenar dan CNA seharusnya menyiarkan laporan seimbang dengan turut menemubual anggota dalam parti pemerintah.

Bernama melaporkan, dalam laporan itu, CNA menyatakan Hari Malaysia sepatutnya menjadi sambutan untuk memperkukuhkan perpaduan semua rakyat Malaysia, bagaimanapun terdapat pihak tertentu mengambil kesempatan menyemai perpecahan menerusi demonstrasi berbaur perkauman.

Ketika menyangkal laporan itu, Salleh berkata media asing berazam untuk mencemarkan nama baik Malaysia dengan menyiarkan laporan bersandarkan kepada sumber meragukan.

Mahfuz Omar : Sokong Zeti, 1MDB punva kejatuhan nilai Ringgit Malaysia

Kenyataan Media.

MENYOKONG TAN SERI ZETI, GABENOR BANK NEGARA BAHAWA 1MDB ANTARA PUNCA KEJATUHAN NILAI RINGGIT MALAYSIA. SEGERA DAKWA MEREKA YANG TERLIBAT DAN SEGERAKAN PENGUNDURAN NAJIB.

1. Saya menyokong gesaan oleh Tan Seri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara yang menggesa penyelesaian segera kes 1MDB bagi memulihkan kembali nilai mata wang ringgit Malaysia. Keadaan nilai mata wang Ringgit Malaysia berada dalam keadaan nazak sehingga hotel  di negara China tidak menerima tukaran wang Ringgit Malaysia (RM) seperti yang saya sendiri alami di Hotel Shangrila, milik jutawan Malaysia di Changchon City Wilayah Jillin pada 30 Ogos hingga 2 sept 2015. Apabila saya bertanya mengapa RM tidak terima, pihak hotel memberi tahu bank di sana tidak lagi menerima  tukaran wang Malaysia.

2. Gesaan Tan Seri Zeti sebagai Gabenor Bank Negara menunjukan nilai matawang Malaysia pada tahap yang nazak perlu diselamat dengan diberi "oksigen". Keberanian Tan Seri Zeti meletakkan 1MDB antara punca masalah, menunjukkan hasil siasatan Bank Negara bahawa 1MDB mempunyai kes yang perlu menyeret pihak tertentu ke Mahkamah.

3. Laporan Siasatan Bank Negara berkaitan kes 1MDB telah diserahkan kepada Peguam Negara sebulan yang lalu. Tetapi masih tiada apa- apa tindakan yang diambil oleh Peguam Negara. Apa yang berlaku ialah tindakan kerajaan PM  Najib melalui pihak PDRM menahan Dato'Khairudin Abu Hassan di bawah SOSMA tidak membantu memulih nilai Ringgit Malaysia sebaliknya menambahkan lagi ketidak percayaan masyarakat antarabangsa kepada Malaysia. Isu kejatuhan nilai ringgit adalah berpunca daripada krisis keyakinan masyarakat dalam dan luar negara terhadap pengurusan dan kes penyalahgunaan kuasa bagi melindungi skandal kewangan negara 1MDB yang melibatkan PM Najib dan kini dilindungi SOSMA.

4. Gesaan Tan Seri Zeti perlu dipandang serius oleh semua pihak. Pendakwaan segera mereka yang terlibat dalam Skandal 1MDB seperti yang dicadangkan di dalam Kertas Laporan Siasatan oleh Bank Negara akan mengembalikan keyakinan masyarakat antarabangsa khususnya pelabur terhadap Malaysia. Ini sekaligus akan dapat membantu memulihkan ekonomi dan meninggkatkan nilai Ringgit Malaysia. Peguam Negara jangan dilihat menjadi macai Politik PM Najib.

5. Gesaan Tan Seri Zeti yang tidak dipedulikan oleh kerajaan menunjukkan Gabenor Bank Negara dan Bank Negara telah diketepikan peranannya untuk bertanggungjawab terhadap kawalan, pertumbuhan nilai matawang dan ekonomi Malaysia. Institusi ini sudah tidak mendapat kepercayaan PM Najib dan Kerajaan Malaysia. Sekali lagi saya menegaskan Majlis Raja-Raja Melayu perlu bertindak segera terhadap PM Najib dan bertindak untuk pastikan Najib segera berundur serta pemilihan PM baru dan pembentukan Kerajaan Peralihan daripada pelbagai pihak perlu segera memperbaiki sistem dan institusi-institusi yang menjaga kepentingan awam perlu bebas daripada cengkaman kuasa politik parti pemerintah.

SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
26 Sept 2015/12 Zulhijjah 1436

Tak sampai seminggu kena SOSMA, Khairuddin dah kena masuk HKL

Khairuddin dimasukkan ke HKL

Bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan yang kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau juga dikenali sebagai Sosma, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dimasukkan ke hospital hari ini.

Peguam Khairuddin, Matthias Chang (gambar) memberitahu Malaysiakini, ahli pernigaaan itu mengalami demam panas dan mungkin menghidap demam denggi.

"Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur hari ini. Dia disyaki mengalami denggi," katanya.

Menurut Chang, dia diberitahu tiada sesiapa dibenarkan melawat Khairuddin buat masa ini namun pegawai penyiasat kes berkenaan akan menghubunginya esok.

"Pegawai itu akan memaklumkan sama ada saya dan isteri Khairuddin (Datin Seri Umi Aida Rahmad) dibenarkan melawat," katanya melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Khairuddin kini ditahan mengikut Sosma kerana disyaki melakukan aktiviti mengkhianati negara.

Melalui Sosma polis boleh menahan seseorang sehingga 29 hari tanpa perlu dihadapkan ke mahkamah untuk menghadapi sebarang tuduhan.

Khairuddin sebelum ini membuat laporan polis di Switzerland, London, New York, Singapura dan Hong Kong berhubung skandal 1MDB.

Dia ditahan di rumahnya di Mont Kiara pada Jumaat minggu lalu dan polis mendapat kebenaran majistret mereman beliau selama enam hari mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas tuduhan mengancam demokrasi berparlimen.

Sehari sebelum tempoh reman berakhir semalam Khairuddin dibebaskan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta tetapi ditangkap semula mengikut Sosma.

Alor Setar : 20 rumah rosak akibat ribut

ALOR SETAR – Sebanyak 20 rumah di Kampung Lahar Budi, Kampung Alor Belat dan Kampung Tok Keling, di sini, rosak teruk akibat dilanda ribut pada Ahad lalu.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu menyebabkan rumah penduduk mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan dinding.

Ribut yang berlaku kurang 20 minit itu diiringi hujan lebat, bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.

Mangsa, Man Ismail, 83, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Sabariah Kassim, 78, dan seorang anak sedang berehat di ruang dapur.

Menurutnya, mereka dikejutkan dengan bunyi seakan bertiup kencang di luar rumah sebelum mendapati bumbung dan dinding rumah di tingkat atas diterbangkan angin.

“Perasaan tidak dapat digambarkan sebab ini kejadian pertama berlaku setelah lebih 50 tahun menetap di sini.

“Saya lihat bumbung dan dinding rumah diterbangkan angin sebelum ia jatuh di hadapan rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi Tijah Saud, 77, ketika kejadian dia sedang berehat seorang diri di hadapan rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi yang amat kuat.

“Ketika itu hujan lebat dan angin kuat, kemudian saya terdengar bunyi dentuman kuat di belakang rumah.

“Tiba-tiba saya terlihat angin menerbangkan bumbung rumah sebelum ia terdampar di kawasan bendang berhampiran,” katanya. 

Bertindak atas maklumat orang awam, Adun Alor Mengkudu, Ahmad Yahya segera turun padang melawat semua mangsa terlibat.

Ahmad berkata, kejadian ribut itu merupakan kali keenam berlaku dalam tahun ini dan berada pada tahap sederhana.

“Walaupun banyak rumah yang terlibat, tetapi ia tidak seburuk yang pernah berlaku pada awal tahun yang melibatkan 90 rumah mengalami kerosakan.

“Bagaimanapun, saya harap semua penduduk dapat bersabar dengan ujian dan musibah yang tidak diduga ini,” katanya.

Pada lawatan itu, Ahmad turut menyampaikan bantuan daripada Pusat Khidmat Dun Alor Mengkudu kepada semua mangsa terlibat.

“Saya harap sumbangan ini serba sedikit dapat membantu meringankan beban semua mangsa terlibat.

“Pada masa sama, saya juga menggesa pihak kerajaan negeri dan agensi berkaitan supaya memberi perhatian segera dalam masalah ini,” katanya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...