TERKINI :

Friday, September 25, 2015

Dr M : Singkirkan Najib untuk selamatkan Malaysia

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kegawatan ekonomi dan penyusutan nilai ringgit hanya akan dapat dipulihkan jika Datuk Seri Najib Razak disingkirkan.

Dalam entri terbaru beliau petang ini, Dr Mahathir berkata, disebabkan itu rakyat Malaysia mesti menuntut supaya Najib diketepikan daripada jawatannya dan langkah itu "demokratik sepenuhnya".

"Tindakannya menahan orang ramai kerana berhimpun untuk menuntut peletakan jawatan adalah tidak demokratik dan bercanggah dengan undang-undang negara," katanya.

Dr Mahathir menjadi antara pengkritik tegar terhadap Najib dan berkali-kali mendesak supaya anak bekas perdana menteri kedua Malaysia itu meletak jawatan.

Ketika media arus perdana kebanyakannya menyekat kenyataan dibuat Dr Mahathir, beliau yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun menggunakan saluran media sosial seperti blog untuk menyatakan pandangannya dari semasa ke semasa.

Beliau juga hadir sebanyak dua kali ketika BERSIH 4 berlangsung pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Menurut Dr Mahathir, beliau juga menggesa rakyat negara ini menuntut Najib membenarkan dirinya disiasat oleh badan bebas.

"Najib mesti membenarkan proses perundangan diteruskan. Jika didapati dia melakukan perkara haram, dia mesti meletak jawatan," katanya.

Berusaha keras untuk Najib

Dalam entri terbarunya bertajuk Najib itu, Dr Mahathir juga mendakwa perdana menteri mengupah orang ramai untuk menunjuk perasaan di jalanan sebagai tanda menyokong pentadbirannya.

"Dia bagaimanapun mengharamkan orang ramai menunjuk perasaan menuntut dia meletak jawatan," katanya.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Himpunan Rakyat Bersatu yang diadakan pertubuhan bukan kerajaan pada sambutan Hari Malaysia 16 September lalu.

Dianggarkan seramai 45,000 orang hadir di program turut dikenali sebagai himpunan baju merah itu.

Perhimpunan itu diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Dalam entri hari ini, Dr Mahathir menyingkap semula pelantikan Najib sebagai perdana menteri dan pelbagai "kesalahan" dilakukannya.

"Saya bekerja keras untuk menjadikan Najib Perdana Menteri Malaysia. Tetapi kini saya mahu dia disingkirkan, berundur daripada menjadi perdana menteri. Ia bukan sebab peribadi, tetapi sebaliknya kerana dia gagal teruk sebagai perdana menteri.

"Saya sedar awal kesalahan-kesalahan yang dilakukannya," kata Dr Mahathir.

Beliau mengakhiri entri kali ini dengan penegasan bahawa hanya pengunduran Najib dapat menyelamatkan negara ini.

"Hanya melalui penamatan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia keadaan ekonomi akan pulih, nilai ringgit kembali naik dan kos sara hidup turun.

"Hanya selepas penyingkirannya Malaysia kembali gah," katanya.

Desak kerajaan isytihar rizab Melayu

KUALA LUMPUR - Kerajaan didesak supaya mengisytiharkan tanah-tanah milik kerajaan yang masih ada di Kuala Lumpur termasuk kuarters tinggalan dijadikan sebagai tanah rizab Melayu.

Pengerusi Biro Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, hanya cara itu sahaja dapat menyelamatkan baki tanah rizab Melayu daripada dijual kepada orang bukan Melayu dan pihak luar.

“Ini bukan luar biasa, tanah yang kerajaan ada sudah tidak banyak. Kalau kita tidak buat begitu keadaan akan jadi buruk.

“Kita bukan mahu kerajaan rampas tanah orang bukan Melayu tapi selamatkan baki yang ada. Apa yang saya tahu di kawasan perniagaan di bandar satu peratus pun orang Melayu tidak ada pemilikan tanah,” katanya ketika sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan tidak boleh memandang remeh isu tanah rizab Melayu memandangkan kaum majoriti itu berisiko kehilangan hak sepatutnya diterima mereka.

“Dalam Enakmen Tanah Rizab Melayu Artikel 89 menjamin kedudukan tanah rizab Melayu. Artikel 89 itu digunapakai di setiap negeri selepas merdeka kecuali di Melaka dan Pulau Pinang.

“Tanah milik kerajaan di Kuala Lumpur, Selangor boleh diselamatkan dengan mengisytiharkan sebagai tanah rizab Melayu menggunakan Enakmen Tanah Rizab Melayu di Selangor,” katanya.

Pakar: Jangan jadikan sejarah alat politik

SHAH ALAM - Penulisan sejarah negara tidak sepatutnya dijadikan sebagai alat politik demi kepentingan pihak tertentu apabila fakta penting dalam pembentukan negara disembunyikan oleh mereka yang berkuasa.

Pensyarah Undang-undang, Prof Madya Dr Aziz Bari menegaskan, penulisan semula sejarah negara tidak berkesudahan jika fakta itu terus dimanipulasi dan diseleweng mengikut acuan pemerintah sama ada BN mahupun pembangkang.

"Esok kita tulis balik dengan kaca mata (pihak) tertentu, orang lain akan tulis semula, jadi tak habis-habis tulis semula sejarah.

"Kalau kita nak hentikan masalah ini, kena lebih objektif, sejarah perlu ditulis sebagai sejarah dan bukan untuk tujuan politik," katanya kepada Sinar Online, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Aziz juga berkata, penulisan sejarah perlu dikendalikan oleh mereka yang pakar dalam bidang tersebut dan bukan ahli politik.

"Biarlah sejarah itu ditangani oleh pakar-pakarnya, penyelidikan dan mereka yang ada kepakaran, bukan oleh orang politik, itu yang kita tak mahu.

"Saya fikir pakar-pakar itu ada di universiti dan ada dalam kalangan kita, orang ini yang patut kita runding dan pakai," ujarnya.

Dalam pada itu, Aziz mendakwa lagi, sejarah pada masa ini ditulis berdasarkan keahlian manakala peranan pembangkang dilenyapkan.

"Tidak dinafikan kira harus mengambil kira pandangan ahli politik dari pembangkang yang lebih betul dan tepat dari segi maklumat dan tafsirannya.

"Dalam soal pemerintahan, banyak peranan dan inisiatif dibuat BN kerana dia pemerintah, tetapi pembangkang ada juga benda yang dia buat," tegasnya.

Jemaah tak ikut arahan punca tragedi?

Insiden rempuhan berlaku kira-kira jam 11.30 pagi (waktu tempatan) ketika jemaah haji sedang melakukan ibadah melontar di Jamrah hari ini. - Sumber Foto Jabatan Pertahanan Awam Saudi

MINA - Menteri Kesihatan Arab Saudi, Khaled Al-Falih dalam satu kenyataan menyalahkan jemaah haji yang tidak berdisiplin sebagai punca insiden rempuhan yang sehingga kini mengorbankan 717 orang.

Menurutnya, tragedi malang itu tidak akan berlaku sekiranya jemaah mengikuti arahan yang telah ditetapkan.

"Banyak jemaah bergerak tanpa menghormati jadual waktu yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Ini adalah punca utama tragedi rempuhan itu.

"Jika mereka mengikuti arahan, kemalangan sebegini dapat dielakkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Rombongan Jemaah Haji Iran, Saeed Ohadi dipetik AFP pula menyalahkan pengurusan Arab Saudi yang bertindak menutup banyak laluan di Mina sehingga memaksa ratusan ribu jemaah terpaksa mengikuti satu laluan yang sama secara serentak.

Ohadi berkata, penutupan laluan menyebabkan tinggal hanya tiga laluan ke kawasan melontar.

"Kejadian hari ini menunjukkan salah urus dan kurangnya perhatian yang serius terhadap keselamatan jemaah. Tidak ada penjelasan lain. Pihak berkuasa Arab Saudi harus bertanggungjawab," katanya.

Jemaah Iran antara yang paling ramai terkorban dalam tragedi rempuhan itu dan sehingga kini, seramai 43 jemaah Iran dilaporkan maut, manakala 60 lagi cedera.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...