TERKINI :

Wednesday, September 16, 2015

PAS cuma kaji kerjasama dengan PKR, bukan DAP & AMANAH - Presiden PAS

‘Pas kaji kerjasama dengan PKR’

 Abdul Hadi Awang
MARANG - Sejarah pilihan raya umum 1990 dan 1995 mungkin berulang apabila Pas menegaskan tidak akan menyertai mana-mana pakatan pembangkang baharu, namun kaji untuk bekerjasama dengan PKR.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menegaskan Pas terus bergerak sebagai pembangkang walaupun perlu bergerak sendirian, namun tidak akan bergabung dengan DAP dan Parti Pekerja Malaysia.

“Parti baharu (Parti Kerja Malaysia) tidak.. DAP (juga) tidak.. tetapi dengan PKR, Pas kaji dari masa ke masa melalui kerjasama di Selangor dan di tempat lain,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian selepas melawat ke rumah mangsa ribut di Bukit Gasing, Marang. Dalam kejadian tersebut, sebanyak 40 rumah mengalami kerosakan atap apabila dilanda ribut lebih kurang jam 6.30 petang kelmarin.

Beliau juga menyifatkan bahawa gabungan pembangkang baharu atau Pakatan Rakyat 2.0 tidak mempunyai agenda untuk memartabatkan Islam sebaliknya hanya mahu memenangi pilihan raya akan datang.

“Konsep kita (Pas), mahu Islam didaulatkan dan dimartabatkan kerana kita tahu negara kita mempunyai majoriti beragama Islam,” katanya.

Ada wakil rakyat parti lain mahu sertai Pas?

 Pas
KUALA LUMPUR - "Saya tidak mahu dedah lagi tetapi benda itu tidak mustahil, bila sampai masa kita akan dedah," demikian respon Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman ketika ditanya tentang dakwaan adanya wakil rakyat parti tertentu yang akan menyertai Pas.

Mohd Khairuddin berkata, walaupun pada prinsipnya Pas sama sekali tidak akan menarik ahli mahupun wakil rakyat parti lain untuk menyertai parti itu, namun jika lawan pula berbuat sebaliknya, semua perkara boleh berlaku.

‎ "Prinsip kita adalah tidak mencuri ahli.... kalau kawan kita ikhlas nak berkawan dengan kita kawan dengan baik, jangan curi ahli kita, jangan pancing ahli kita sebab kalau ia bermula... kita boleh usahakan pancing kawan lain jugak," ujarnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan ketika mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyertai PKR berkata, Pas bersikap terbuka dengan tindakan ahli, pemimpin dan wakil rakyat mereka yang meninggalkan parti itu untuk menyertai parti lain.

Namun pada masa sama, katanya, untuk berlaku adil Pas perlu diberi kebenaran menerima mana-mana wakil rakyat daripada parti lain.

Khazanah, PNB KWAP diancam hutang RM20b?

rafizi ramliPETALING JAYA - PKR melahirkan kebimbangan apabila ValueCap Sdn Bhd didakwa akan menjadi instrumen untuk mendapatkan dana RM20 bilion bagi membeli saham-saham bernilai rendah.
 
Naib Presidennya, Rafizi Ramli mendakwa sekiranya ValueCap digunakan untuk tujuan itu, tindakan itu sama seperti mendedahkan Khazanah, PNB dan KWAP kepada risiko hutang.
 
"Ini bermakna sekali lagi Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan dana rakyat untuk berhutang bagi tujuan menutup kelemahan pentadbiran beliau.
 
"Saya khuatir jika ValueCap diarahkan untuk membeli saham-saham dari syarikat-syarikat yang berkepentingan rapat dengan Umno-BN bagi tujuan membuat keuntungan jangka pendek kepada mereka yang berkepentingan itu," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.
 

‘Baju merah’ cuba 'rempuh' Bukit Bintang

‘Baju merah’ cuba 'rempuh' Bukit Bintang
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Peserta 'Himpunan Rakyat Bersatu' atau dipanggil juga himpunan 'baju merah' mula berkumpul seawal jam 10 pagi ini di ibu negara.

Seragam dengan memakai baju berwara merah, mereka turut membawa poster yang antaranya bertulis, 'menolak fitnah terancang terhadap pemimpin negara'.

Ikuti laporan langsung dari kami di www.sinarharian.com.my, Facebook Sinar Online dan Twitter @SinarOnline.

10.00 pagi: Peserta mula berkumpul di beberapa 'check point' yang telah ditetapkan penganjur.

10.40 pagi: Tinjauan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyaksikan ramai peserta himpunan mula berkumpul di sana.

11.00 pagi: Di Jalan Parlimen, polis trafik kelihatan mula mengawal pergerakan lalu lintas.

11.40 pagi: Peserta himpunan menggunakan jalan raya sebagai laluan utama, menyebabkan kesesakan lalu lintas di hadapan kompeks beli belah Sunway Putra.

11.45 pagi: Di Padang Merbok, sudah ada peserta yang sampai awal dan menunggu program dimulakan.

12.00 tengah hari: Ikrar Sumpah Melayu mula diedarkan kepada peserta himpunan.

Pembunuhan Altantuya ‘terlalu aneh’ – wartawan Al Jazeera

Pembunuhan Altantuya ‘terlalu aneh’ – wartawan Al Jazeera

Pembunuhan Altantuya 'terlalu aneh' - wartawan Al Jazeera
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terpaksa berdepan dengan kontroversi sedekad lamanya apabila satu dokumentari siasatan tentang pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu menggali semula semua kaitan dengannya, mangsa dan lelaki yang disabitkan bersalah.

Dalam program 25 minit itu, wartawan Mary Ann Jolley membawa penonton ke dalam kontroversi yang dahulunya hangat dan saga Altantuya yang penuh dengan elemen seks, skandal kewangan, keganasan dan konspirasi.

Altantuya dibunuh pada Oktober 2006, dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan tentera.

Razak didakwa bersubahat membunuh, tetapi kemudiannya didapati tidak bersalah.

Dokumentari Al-Jazeera menimbulkan persoalan sama ada dua lelaki disabitkan bersalah atas pembunuhannya – Sirul Azhar Umar and Azilah Hadri – merupakan “kambing hitam” untuk yang lain, memetik teks mesej dihantar Sirul – menunjukkan seolah-olah terdapat penyembunyian daripada pihak atasan.

Jolley, seorang warga Australia berkata, pasukannya mengambil masa beberapa bulan untuk menyiasat dan kerja-kerja latar belakang untuk menghasilkan video tersebut yang disiarkan pada awal pagi Jumaat.

“Saya mulanya berminat dengan berita ini apabila Sirul ditahan Interpol di Australia,” kata Jolley dalam sebuah temuramah emel bersama The Malaysian Insider lewat malam semalam.

Mayat Kevin ditemui disimen dalam tong awal pagi tadi

FMT Reporters | September 16, 2015

Mayatnya ditemui disimen dalam tong dan ditemui awal pagi Rabu.

Kevin-Anthony-Morais

PETALING JAYA: Mayat Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais telah ditemui dalam keadaan disimen dalam sebuah tong di Subang.

Menurut laporan Sinar Harian, mayat Morais ditemui hasil pengakuan beberapa suspek utama yang ditahan dalam serbuan besar-besaran oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) di seluruh negara, sejak malam kelmarin.

Hasil pengakuan itu, sekumpulan pegawai dan anggota STAFOC kemudiannya membuat pemeriksaan ke lokasi kejadian, di mana mayat Morais dibuang, pada kira-kira jam 6 pagi tadi.

Setakat ini, polis yakin kes berkenaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat selepas turut menahan beberapa individu termasuk dalang utama kes terbabit.

Dengan penemuan mayat itu juga, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kren jatuh di Mekah : Syarikat insurans perlu bayar pampasan RM37.76 juta


KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat insurans mungkin perlu membayar pampasan kira-kira 33 juta riyal atau RM37.66 juta kepada keluarga 111 orang yang terbunuh dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram di Mekah, Jumaat lalu.

Portal Arab News melaporkan, jumlah tersebut adalah berdasarkan kadar perlindungan 300,000 riyal Saudi atau RM342,376 setiap seorang.

Menurut portal itu, jumlah perlindungan insurans itu merupakan syarat wajib yang ditetapkan kepada semua kontraktor yang bekerja di bawah projek kerajaan di Arab Saudi.

Peraturan Arab Saudi menetapkan, kontraktor perlu membeli polisi insurans yang meliputi semua aspek projek, termasuk peralatan, nyawa manusia dan melibatkan kesalahan manusia serta bencana alam.

Ribuan hadir pelancaran Parti Amanah Negara

Rahimah Abdullah, Astro Awani | Diterbitkan pada September 16, 2015 10:47 MYT


SHAH ALAM: Ribuan penyokong menghadiri pelancaran Parti Amanah Negara di Pusat Konvensyen Hiasan Dalaman, IDCC, Shah Alam.

Parti itu dirasmikan Presidennya, Mohamad Sabu yang juga Pengerusi Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir berkata, sehingga semalam seramai 30,018 ahli baru telah mendaftar untuk menyertai parti itu.

"Nombor satu ahli paling banyak mendaftar ialah Negeri Kelantan, diikuti Johor dan Selangor.

"Parti ini menolak minda bergaris keras. Ia dapat permintaan dari orang bukan Islam juga," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Parti Amanah Negara di Shah Alam.

Turut hadir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Parti Amanah Negara dibentuk oleh kumpulan progresif dalam PAS yang tewas dalam pemilihan parti PAS, Jun lalu.

Melayu lupa sumbangan kaum lain untuk pembangunan Malaysia, kata Ku Li


Orang Melayu sudah lupa kaum lain di negara ini menyumbang kepada pembangunan negara, kata pemimpin veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, beberapa jam sebelum perhimpunan "baju merah" berlangsung di Kuala Lumpur.

Dalam menjelaskan orang Melayu sebagai mempunyai "tanggapan singkat" mengenai masyarakat Malaysia lain, ahli Parlimen Gua Musang itu berkata kaum majoriti itu memilih untuk melupakan masyarakat Malaysia lain sudah menerima susur galur tradisional Melayu yang "berpuncak kepada raja".

"Dalam kita taksub untuk sentiasa menguasai keadaan, kita buat-buat lupa masyarakat yang lain pun banyak menyumbang bakti kepada Malaysia.

"Kita lupa ramai di antara mereka menyesuaikan dan menyerap diri ke dalam budaya tempatan," kata bekas menteri kewangan itu dalam ucaptamanya di persidangan tentang perpaduan kaum di Kuala Lumpur hari ini.

Swiss soal siasat saksi Malaysia berhubung kes 1MDB

Pejabat Peguam Negara Switzerland berkata ketuanya, Michael Lauber, hari ini bertemu dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, untuk membincangkan ‘kerjasama’ dalam kes 1MDB. – Gambar Reuters, 15 September, 2015.
Pendakwaraya persekutuan Switzerland hari ini berkata, Malaysia bersetuju untuk mengatur sesi kepada penyiasat negaranya bagi mengambil keterangan beberapa saksi dalam siasatan mereka berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pejabat Peguam Negara Switzerland berkata ketuanya, Michael Lauber, hari ini bertemu dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, untuk membincangkan "kerjasama" dalam kes 1MDB.

Menurut kenyataan itu, kerjasama antara Malaysia dan Switzerland dianggap sebagai penting kepada siasatan yang dijalankan mereka.

Lauber ketika ini sedang menghoskan mesyuarat Persatuan Pendakwaraya Antarabangsa di Zurich.

Switzerland tidak mengenal pasti saksi yang akan disoal siasat sebenarnya dan meminta pihak berkuasa Malaysia untuk menguruskannya.

Pejabat Lauber berkata mereka sudah membekukan aset "berjumlah puluhan juta dolar AS" dalam akaun bank Switzerland yang berkaitan dengan siasatan itu.

Pilih Islam, wa masih Cina


Johari Yap

CHAN
Ah Lee, atau Ah Lee, merupakan anak sulung daripada enam beradik. Kesemua adiknya perempuan. Dialah satu-satunya anak lelaki kebanggaan keluarga, anak yang akan membawa nama keluarga Chan ke generasi seterusnya. Apabila berita pengislaman Ah Lee sampai ke pengetahuan ibu bapanya, Ah Lee sudah bersedia dengan segala jenis kemungkinan. Kena marah memang pasti. Beliau bertawakal. Soalan pertama yang ditanya bapanya, "Kenapa lu masuk Melayu?".

"Mana ada papa. Wa masih Cina. Hanya kepercayaan wa berubah. Tapi wa tetap Cina. Papa dan mama masih bapa dan ibu wa. Malahan, agama Islam mewajibkan wa taat kepada ibu bapa, walaupun berlainan agama".

"Habis tu. Kenapa lu tukar nama?", tanya bapanya lagi.

"Wa tak tukar nama la papa, hanya tambah nama Arab di depan supaya orang tahu wa ini Islam. Sebab wa mata sepet, cakap pun ada sikit pelat. Kalau tak ada nama Arab di depan, nanti lagi susah mau cerita",  jawab Ah Lee.

Sekarang pun, setiap kali hendak menunaikan solat di masjid, disebabkan oleh paras rupanya yang tidak kemelayuan, Ah Lee sering ditanya adakah dia Islam. Siap disuruh bacakan Surah Al-Fatihah untuk membuktikan keislaman beliau.

Pada mulanya, memang sakit hati. Orang lain yang mata tidak sepet tidak pula disuruh buktikan mereka Islam. Tapi lama-kelamaan, bacaan Al-Fatihah beliau menjadi lebih lancar. Jadi, ada baiknya juga dia disuruh mengulang surah tersebut banyak kali.

"Kalau dulu nama wa Chan Ah Lee, sekarang nama Islam wa Mohammad Chan Ah Lee. Kalau watak tukar nama pun tak mengapa. Nama Islam adalah nama yang mempunyai maksud baik. Tapi wa ikut nasihat Jakim (Fatwa Kebangsaan tahun 1981), untuk letak nama Arab di depan nama Cina, supaya orang ramai tak keliru", ujar Ah Lee lagi. Sejak kecil, Ah Lee digelar sebagai Ali oleh kalangan rakan Melayu. Tetapi nama Mohammad yang menjadi pilihan beliau. Nama seorang pemimpin Islam yang agung.

"Ingatkan anak bertuah ni dah tukar nama Bin Abdullah macam orang lain", fikir bapa Ah Lee. "Aku masih hidup, kalau dia tukar nama bapa dia dengan Abdullah, memang aku kerjakan anak bertuah ni," fikir bapanya lagi.

"Soalan kedua. Wa tengok lu ada pakai baju Melayu masa hari Jumaat. Apa pasal? Mahu jadi Melayu ka?", tanya bapa Ah Lee lagi, dengan nada yang sedikit rendah.

"Pakai baju Melayu tak semestinya wa jadi Melayu papa. Hari lain wa pakai baju kemeja, tali leher dan jaket, tak ada pula orang kata wa masuk Inggeris. Kadang-kadang wa berjubah Arab. Lagipun, kawan-kawan Cina Peranakan Kelantan yang wa kenal, ramai yang pakai kain pelekat macam Melayu, tapi mereka tidak dikatakan masuk Melayu pula," jawab Ah Lee dengan penuh lemah-lembut.

Walaupun Malaysia sudah 58 tahun merdeka, persepsi masuk Islam sebagai masuk Melayu masih tebal. Ramai kalangan masyarakat Cina masih beranggapan masuk Islam itu masuk Melayu. Hal ini berlaku kerana generasi Cina Muslim  terdahulu menukarkan nama mereka kepada bin dan binti Abdullah, berpakaian Melayu, berbahasa Melayu, dan mengamalkan adat Melayu.  

Berbaju Cina tidak salah asalkan menutup aurat. Berbahasa Cina pun tidak salah. Malahan, menyambut Tahun Baharu Cina serta mengamalkan budaya Cina juga tidak salah asalkan tidak melanggar syariat. Untuk membuktikan beliau tidak masuk Melayu, Mohammad Chan memakai seluar jeans Levi's dan baju T bertulisan Cina, bukannya baju Melayu dan bersamping ketika pertama kali mengucap dua kalimah syahadah.

Alangkah indahnya jika masyarakat Cina Muslim masih mengamalkan budaya Cina serta mengekalkan nama Cina. Ini akan memudahkan orang seperti Mohammad Chan untuk memeluk Islam dan mungkin tidak mendapat tentangan hebat ibu bapa sebagaimana yang dialaminya sekarang. Ini juga akan memudahkan usaha dakwah kepada masyarakat Cina lain yang belum Islam.

Bukan senang bagi seorang Cina itu memeluk Islam. Masih ramai yang merahsiakan keislaman mereka sekarang ini atas banyak faktor. Mereka juga perlu memberanikan diri bukan sahaja untuk berhadapan dengan keluarga dan rakan bukan Islam yang lain, malahan berhadapan dengan masyarakat Islam asal yang mungkin memandang sinis terhadap mereka. Ada yang berpendapat, mereka memeluk Islam kerana mempunyai motif tertentu (seperti berkahwin) atau ada kepentingan yang lain.

Sekarang sudah ada masjid-masjid berseni bina Cina di Rantau Panjang, Ipoh, dan Melaka. Ustaz dan pendakwah berketurunan Cina juga semakin ramai. Kita perlu lebih ramai pendakwah multikultural ini kerana mereka lebih memahami segala permasalahan muhajirin, mereka yang baharu memeluk Islam. Gerakan Cina Muslim terutamanya melalui Macma juga telah memberikan nafas baharu dalam dakwah bukan Islam dan kini bergerak aktif di seluruh Malaysia dalam menyebarkan kebenaran Islam.

Bukan mudah, untuk orang seperti Mohammad Chan, membuktikan kepada masyarakat Cina bahawasanya menjadi Islam tidak akan mengurangkan kecinaannya, manakala kepada masyarakat Islam pula, menjadi Cina tidak mengurangkan keIslaman beliau.

Bagi Mohammad Chan, walaupun dia sudah Islam, "Wa masih Cina".




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...