Wartawan Sinar Harian
SHAH ALAM - Pas Selangor berharap bayaran kafarah yang dibuat dua ahli parlimen negeri itu diterima dan mereka dijauhkan daripada laknat ALLAH.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi mengambil pendirian enggan memanjangkan kritikan terhadap perbuatan kafarah sebagai tebusan berikutan melanggar sumpah bai’ah kerana bertindak keluar Pas.
“Pas negeri (Selangor) pun tak mahu memanjangkan isu ini, terpulang kepada mereka. Berbai’ah dengan menyebut nama ALLAH sebagai satu jaminan untuk tetap bersama dalam Pas untuk memperjuangkan Islam.
“Saya pun tidak pasti sama ada mereka ini turut berbai’ah sebab sumpah ini dilakukan secara beramai-ramai. Semoga kafarah mereka diterima ALLAH,” katanya, semalam.
Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi berpendapat, kafarah yang dilakukan bekas ahli Pas berkenaan memberi gambaran kesan yang tidak baik kepada parti dan juga Islam itu sendiri.
Terdahulu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud termasuk dua ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang dilantik atas tiket Pas iaitu bekas Yang Dipertua Pas Shah Alam, Azli Yusof dan bekas Naib Yang Dipertua, Mohamad Jamil Abd Rahim bertindak keluar Pas bagi menyertai Parti Pekerja Malaysia menebus sumpah bai’ah dengan membayar kafarah.
Khalid mengingatkan ulama Pas agar tidak masuk campur dalam isu bai’ah yang dibuat dengan nama ALLAH ketika mereka berada dalam parti Islam itu.