TERKINI :

Sunday, August 23, 2015

Mula-mula HALAU, Lepas Tu GEMBIRA, Tiba-tiba GERAM & KECEWA.. ..

ULASAN GreenBoc
 

Ini baru dinamakan pradox gila.

Mula-mula dihalaunya mereka yang tak sehaluan setelah puas dimakihamun dengan pelbagai label... jebon, barua, broker, tolol, anwarinas, balaci DAP dan sebagainya.

Selepas itu apabila kedengaran ada yang menapak keluar dari PAS, ditampakkan reaksi seolah-solah suka dan gembira dengan fenomena itu (sedangkan kita tahu jiwanya parah menderita...) menyatakan oh ia adalah penapisan...

Dan apabila tiba masanya lebih ramai yang keluar PAS termasuk wakil-wakil rakyat, disuruh pula letak jawatan... menjelaskan beliau memang GERAM dan KECEWA....

Dulu, mereka yang menubuhkan GHB dikatakanya sebagai golongan kecewa, kini perkataan itu kembali kepadanya semula...

Ditimbulkan hal BAIAH.... sedangkan kita dah lama menjawab isu BAIAH ini...

Umno 'Tuduh DAP 'dibiayai' Yahudi merupakan fitnah jahat'



DAP menyifatkan kenyataan Ketua Umno Sri Gading Datuk Ab Aziz Kaprawi bahawa DAP "dibiayai" Yahudi sebagai "fitnah jahat dan terdesak" demi menutup skandal 1MDB dan sumbangan politik melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menganggap kenyataan pemimpin Umno itu sebagai "hilang akal dan janggal" sekaligus membuktikan parti itu kehilangan idea untuk memerintah dengan menutup dakwaan skandal rasuah dalam kerajaan.

"Oleh itu mereka akan buat fitnah besar yang bodoh tentang konspirasi Yahudi bersama dengan DAP, sungguhpun tidak benar sama sekali," kata Lim dalam satu kenyataan.

"Adalah lebih baik kerajaan persekutuan BN menjelaskan mengapa mereka berhubungan dengan syarikat kewangan besar antarabangsa yang dimiliki oleh Yahudi dalam urusan kewangan 1MDB," katanya lagi.

Semalam Ketua Umno Sri Gading Datuk Ab Aziz Kaprawi mendakwa derma diberi pihak tertentu dari Timur Tengah kepada Datuk Seri Najib Razak sebelum ini bertujuan untuk membiayai perjuangan melawan DAP "yang dibiayai Yahudi".

Najib pecah rahsia bagaimana beliau boleh lantik Mukhriz jadi MB

PM: Laluan Mukhriz senang jadi MB



Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak berdepan dengan laluan sukar untuk dilantik sebagai menteri besar, tidak seperti pemimpin sebelumnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap di Mesyuarat Perwakilan Umno Alor Setar hari ini, Najib berkata tidak seperti sebelum ini, tiada seorang pun yang mempersoalkan hak prerogatif beliau membuat perlantikan itu.

Najib yang juga menteri kewangan berkata keputusan itu dibuat sebelum pilihan raya umum 2013.

"Kedah menang sebab team work. Bila nak pilih Muhkriz (sebagai menteri besar), Ahmad Basha Md Hanipah bagi laluan. Tak merajuk, tak marah dengan keputusan saya, sebab saya ada (hak) prerogatif (buat perlantikan).

"Ahmad Bashah hanya cakap: "Ia okay, tapi kalau ada apa-apa bagi kat sayalah. Jangan lupa saya," kata presiden Umno itu yang mengundang gelak ketawa kira-kira 1,000 hadirin.

Tiada Perubahan Harga Getah Malaysia Berbanding Vietnam, India & Thailand

Kenyataan Media
23 Ogos 2015

http://media.themalaysianinsider.com/assets/uploads/articles/CHINESE_RUBBER_TAPPER_150215_TMINAZIRSUFARI_16.jpg
TIADA PERUBAHAN HARGA GETAH MALAYSIA BERBANDING VIETNAM ,INDIA DAN THAILAND.

Saya ingin menjawab maklum balas email dari pihak Lembaga Getah Malaysia ( LGM ) Berkenaan isu ketidakstabilan harga getah dimalaysia berbanding negara Thai ,Vietnam dan India.

Kerajaan malaysia tidak dapat mempertimbangkan cadangan mewujudkan harga lantai kerana dengan alasan bahawa perlaksanaan harga lantai memerlukan sumber kewangan yg tinggi bg menyokongnya sedangan wang negara hasil cukai rakyat doborosi tanpa penjimatan yg stabil.

Alasan kerajaan juga berkenaan menyediakan ruang kepada aktiviti spekulasi harga dimana para pedagang getah akan menekan harga ke paras rendah dan mengambil kira bahawa kerajaan akan menampung perbezaan diantara harga pasaran dan harga lantai. Sedangkan kerajaan ada kuasa mutlak untuk membasmi syarikat kroni dan org tengah bg mengurangkan penekanan tersebut.

Apa yg kami ketahui bahawa getah asli dimalaysia telah dieksport keseluruh dunia kira kira 70% dari jumlah jumlah getah Malaysia digunakan oleh industri otomotif iaitu untuk pengeluaran tayar dan komponen otomotif. China dan India adalah diantara negara yg berkembang maju dengan kadar pertumbuhan yg tinggi dan merupakan pemacu kepada permintaan getah asli dunia.

Tidak adil minta wakil rakyat PAS sertai GHB kosongkan kerusi

 Dr Dzulkefly Ahmad berkata undang-undang tidak memaksa Adun dan ahli Parlimen PAS yang menyertai GHB untuk meletakkan jawatan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Ogos, 2015.
Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) tidak perlu mengosongkan kerusi yang diwakili kerana perundangan dan perlembagaan tidak memaksa mereka berbuat demikian, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Setiausaha GHB itu berkata, sukar untuk berhujah hanya dengan menggunakan faktor parti sahaja jika mahu menuntut calon tersebut mengundur diri.

Malah, katanya, ia tidak adil kerana sistem politik pilihan raya negara tidak akan membenarkan mereka bertanding semula selama 5 tahun.

"Mungkin ada kewajaran untuk meneliti dan menimbang kembali perkara ini.

"Buat masa ini, sistem politik dan pilihan raya adalah tidak adil buat Adun dan ahli Parlimen yang meletak jawatan kerana mereka tidak dapat bertanding semula selama 5 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Timb Pengarah Caw. Khas PDRM : Tegas siasatan telus 1MDB punca ditukar


Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM Datuk Abdul Hamid Bador berkata, antara sebab beliau ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) mungkin disebabkan kelantangannya meminta supaya siasatan telus dilakukan terhadap isu 1MDB.

Katanya, antara kemungkinan lain menjadi faktor beliau ditukar selepas 37 tahun berkhidmat di bahagian cawangan khas itu kerana beliau tidak mahu melaksanakan "agenda tertentu".

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut maksud "agenda tertentu" itu.

"Mereka mungkin meragui taat setia saya untuk laksana agenda tertentu. Saya (bersikap) profesional dan apa yang saya siasat, itulah hasil siasatan.

"Kami tidak akan tukar laporan menjadi sebaliknya. Kita akan beritahu perkara yang sebenar, mungkin mereka tak suka dan mahu dengar sesuatu yang indah. Nak syok sendiri.

"Mungkin juga (saya ditukar) kerana saya kerap kata supaya lakukan siasatan 1MDB dengan telus," katanya pada sidang medianya hari ini.

Harapan Baru Istiqomah Bersama Memperjuangkan Islam Membela Rakyat dan Membina Negara


KENYATAAN MEDIA –
23 Ogos 2015


Saya memandang berat kenyataan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang mahukan wakil rakyat PAS yang bakal menyertai parti baru oleh Harapan Baru untuk meletakkan jawatan mereka sebagai wakil rakyat.

Rakyat telah memilih mereka kerana mereka mewakili Pakatan Rakyat yang menjanjikan agenda untuk membuat perubahan politik dalam negara dengan matlamat menjatuhkan rejim pemerintahan UMNO/BN. Selagi mana wakil rakyat yang dipilih kekal memperjuangkan matlamat ini, maka mereka layak untuk terus menggalas amanah rakyat.

Di satu segi lain, tidak ada peruntukan perundangan dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun amalan secara konvensional yang mengisyaratkan keperluan meletakkan jawatan.

Kenyataan PAS mendesak mereka meletakkan jawatan dalam keadaan mereka terus memperjuangkan hasrat rakyat yang telah mengundi mereka adalah membelakangkan kepentingan pengundi.

Hadi: Kosongkan kerusi jika sertai parti lain



Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata anggota parlimen dan ADUN PAS yang bertindak menyertai parti lain perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi mereka pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata tindakan tersebut perlu kerana mereka telah berbaiah semana menerima tawaran bertanding menjadi wakil rakyat, lapor Mingguan Malaysia hari ini.

Laporan itu juga menyebut Hadi berkata kini terpulang kepada maruah pemimpin itu untuk mengosongkan kerusi masing-masing seperti yang dijanjikan.

"Mengikut perlembagaan parti, keahlian mereka gugur secara automatik jika mereka menyertai parti lain.

"Terpulang kepada mereka kerana mereka maklum dan mengetahui mengenai baiah yang dibuat. Sepatutnya kena kosongkan kerusi jika sudah menyertai parti lain," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Bekas No 2 SB pernah temui Dr M, henti serang PM



Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM Datuk Abdul Hamid Bador berkata, beliau pernah diarahkan bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mendapatkan persetujuan supaya tidak menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara terbuka.

Bekas pegawai tinggi PDRM itu berkata pertemuan bersama bekas perdana menteri itu dilakukan beberapa kali, sejak kira-kira tiga tahun lalu.

"Saya jumpa Tun (Dr M) sebab diarahkan bos saya untuk dapatkan pandangan dan dapatkan persetujuan beliau untuk tidak buat sesuatu.

"Beliau (Tun) akur pada mulanya, dengan kata tidak akan serang perdana menteri secara terbuka.

"Tiga tahun lalu, saya berjumpa Tun untuk cakap perkara itu," katanya pada sidang media di Kota Damansara hari ini.

DS NAJIB menanti saat UMNO pecah berderai

DS NAJIB MENANTI SAAT UMNO PECAH BERDERAI

http://www.selangorku.com/wp-content/uploads/2012/09/umno-retak1.jpg

Jikalau aku tak silap, pernah pada suatu ketika dalam tahun-tahun 1960an, selepas penubuhan Malaysia, Saudara Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura mengeluarkan ‘peribahasa’ mengatakan bahawa ‘orang yang mengantuk adalah makanan si jaga dan si bodoh adalah makanan si cerdik’. Tentu ada sebabnya mengapa beliau menyatakan ‘peribahasa’ berkenaan. Yang aku boleh rasakan bahawa beliau menyatakan demikian ialah dalam suasana orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu, dilihat sebagai golongan yang tidak begitu cerdik dan boleh diputar-belitkan, disamping mengingatkan rakyat Singapura supaya sentiasa cerdik dan waspada dalam menghadapi apa juga keadaan ketika itu ( dalam suasana politik yang amat genting yang akhirnya membawa kepada perpisahan antara Singapura dari Malaysia).

Suasana politik di Malaysia kini kelihatan seolah-olah DS Najib bergantung kepada ‘talian hayat’ yang menghubungkan beliau dengan sebahagian besar ahli UMNO yang masih boleh ‘diperkotak-katikan’. Kepada merekalah para pemimpin memberikan berbagai alasan (yang diciptakan sendiri oleh mereka) untuk meyakinkan para ahli UMNO peringkat akar umbi bahawa sebenarnya DS Najib menerima sumbangan wang sejumlah RM 2.6 billion dari seseorang penderma dari Timur Tengah. Ahli UMNO akar umbi yang merupakan golongan yang mudah percaya tentang apa saja yang dikatakan oleh pemimpin mereka terus percaya dan yakin tanpa banyak bicara dan tidak pernah terfikir untuk mempersoalkan rasional dan lojik tidaknya penjelasan yang diberikan.

GHB: Surat tunjuk sebab sudah dihantar oleh PAS

KUALA NERUS: Pejabat Agung PAS sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada beberapa pemimpin parti khususnya peringkat pusat berhubung pembabitan mereka dengan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan memberikan surat tunjuk sebab itu adalah mengikut peruntukan perlembagaan parti.

"Mereka yang diberikan surat tunjuk sebab itu perlu memberikan jawapan dalam masa 14 hari," ujarnya ketika ditemui selepas membentangkan kertas kertas pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa Batu 6, dekat sini hari ini. Turut serta ialah Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Jelasnya, surat tunjuk sebab itu dihantar kepada mereka setelah menerima laporan daripada PAS kawasan dan negeri.

"Setakat ini negeri yang terbabit ialah Selangor, Kelantan dan Johor," ujarnya lagi.

Bahasa Inggeris: Tanya pakar bukan bincang rakan niaga

KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Pendidikan menangguhkan syarat wajib lulus mata pelajaran bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2016 satu langkah yang tepat.

"Saya telah bangkit perkara itu di Parlimen ketika membahaskan Bajet 2015 supaya kerajaan mengkaji semula peraturan ini kerana ia menzalimi pelajar-pelajar luar bandar terutama Sabah dan Sarawak," kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad Ahmad kepada Harakahdaily.

Ini, katanya kerana kerana tidak ada persediaan guru yang mencukupi walaupun jawapan daripada pihak menteri mengatakan kementerian akan meneruskan juga.

"Kita bukan menentang Bahasa Inggeris, kerana belajarlah apa bahasa pun, sebagaimana maksud hadis Nabi SAW: Belajarlah bahasa orang lain, nescaya akan kamu aman daripada tipu daya, yang kita persoalkan kenapa terlalu gopoh hendak mewajibkan lulus, sedangkan guru-guru tidak mencukupi," ujarnya lagi.

Justeru, beliau bertanya apa akan terjadi kepada pelajar yang lulus cemerlang dalam semua subjek tiba-tiba gagal dalam Bahasa Inggeris. 

"Bukankah ini satu kezaliman?" katanya.

5,044 serah borang sertai PAS di Kedah

ALOR SETAR: Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (Pihak 8.0) Peringkat Negeri Kedah Darul Aman menerima penyertaan ahli baru PAS seramai 5,044 orang termasuk seorang mantan pemimpin DAP.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima borang permohonan keahlian PAS itu daripada Setiiausaha PAS negeri, Ustaz Mussodak Ahmad pada majlis yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, malam tadi.

Penyertaan itu adalah hasil yang digerakkan melalui kempen yang digerakkan dalam tempoh tiga minggu.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan mengucapkan tahniah kepada saf kepimpinan PAS Kedah.

"Tahniah saf kepimpinan PAS Kedah semoga terus berjuang dan beristiqamah membawa Islam kepada masyarakat.

Najib jadi liabiliti Umno, akar umbi resah berdepan rakyat

  Akar umbi Umno yang semakin resah untuk berdepan rakyat akibat skandal presiden parti Datuk Seri Najib Razak mengatakan tidak mahu kehilangan kepercayaan rakyat kerana masalah yang disebabkan beliau. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Ogos, 2015.
Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan skandal dan kontroversi dianggap liabiliti kepada Umno, kata ahli akar umbi yang resah untuk berdepan dengan rakyat ketika ini.

Kepercayaan kepada presiden Umno tersebut tercalar akibat beberapa kontroversi membabitkan beliau bermula daripada isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hingga wang RM2.6 bilion yang penjelasannya sukar diterima, malah oleh ahli Umno sendiri.

"Rakyat hendak Najib letak jawatan. Kalau cakap baik-baik pun tidak mahu dengar, hendak cakap macam mana lagi?

"Orang Umno masih sayang Umno, tetapi orang Umno sudah tidak sayang Najib," kata bekas ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda Umno Bahagian Tenggara Asrul Esreen Mohd Salleh kepada The Malaysian Insider.

Asrul, salah seorang pemimpin akar umbi yang meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan Najib, menyifatkan perdana menteri itu punca rakyat kini tidak mempercayai parti Melayu tersebut.

"Kami tidak mahu disebabkan Najib, rakyat hilang kepercayaan kepada Umno," katanya.

Mufti Perak diminta Jangan 'double standard'

http://assets.bharian.com.my/images/articles/28mufti_cropped.transformed.jpg
GEORGETOWN - Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria diminta tidak mengeluarkan kenyataan 'double standard' berhubung isu tindakan menggulingkan kerajaan.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan Harussani itu jelas menunjukkan kenyataan bersifat peribadi yang menyebelahi kerajaan semata-mata.

Beliau tidak pasti sama ada kenyataan itu adalah fatwa atau pandangan peribadi kerana dalam Islam jelas menunjukkan, jika seseorang pemimpin itu tidak membela dan menindas rakyat, maka dia perlu ditegur atau digantikan.

"Saya tidak nampak di mana dalam Islam yang menyatakan menggantikan seseorang pemimpin yang jelas menindas rakyat itu adalah haram.

"Pada saya, beliau bersifat double standard. Mengapa satu ketika dahulu BN merampas Perak, beliau diam sahaja? Tidak pula keluar fatwa atau kenyataan sebegini?" katanya kepada media semalam.

Menurutnya, Harussani perlu membuat kajian berhubung nas dalam al-Quran terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

"Tindakan kita ini bersifat demokrasi bagi mengembalikan integriti dalam kepimpinan negara. Dalam Islam pun menyatakan, siapa sahaja buat perkara yang tidak betul, perlu ditegur atau jika perlu, ditangkap.

"Saya harap selepas ini, beliau buat kajian terlebih dahulu sebelum buat kenyataan. Kenyataannya itu dilihat lebih cenderung untuk mempertahankan kerajaan sedia ada," katanya.

Terdahulu, Harussani dalam kenyataannya menyebut, tindakan mengguling kerajaan adalah haram kerana tindakan itu tidak terdapat dalam ajaran Islam.

Beliau berkata, sebagai seorang Islam perlu mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Menurutnya, orang Islam diwajibkan untuk menasihati kerajaan jika terdapat unsur kezaliman dalam pentadbiran dan itu merupakan jihad terbesar.

Dalam perkembangan lain, Mujahid berkata sehingga kini, ahli Harapan Baru di Pulau Pinang sudah mencecah sehingga 1,000 orang walaupun tiada kempen dibuat setakat ini.

Beliau yang juga Pengerusi Harapan Baru Pulau Pinang berkata, keahlian parti yang bakal ditubuhkan sedikit masa lagi terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Sg.Petani : Kanak-kanak OKU perlu RM32,000

Kanak-kanak OKU perlu RM32,000
SUNGAI PETANI – Kekangan kewangan yang dihadapi menyebabkan seorang ibu di Bandar Amanjaya berharap ada pihak sudi membantu dalam mengumpulkan wang untuk membeli alat bantuan pernafasan buat anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Noor Almi Sufiza Ishak, 35, berkata, anaknya Nur Amani Batrisya Muhadzir, 5, yang menghidap sindrom Rett iaitu masalah gangguan pada perkembangan otak memerlukan RM32,000 untuk membeli mesin berkenaan.

Menurutnya, Nur Amani Batrisya mempunyai masalah pernafasan yang memerlukan mesin khas dikenali mesin BiPAP yang diperlukan untuk bantuan pernafasan ketika dia ditidurkan ataupun semasa berdepan.

"Setakat ini, kami masih meminjam mesin milik Hospital Pulau Pinang dan untuk mendapatkan sendiri buat masa ini masih belum mampu kerana kosnya mencecah RM32,000," katanya.

Noor Almi Sufiza berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu dikesan menghidap penyakit berkenaan ketika berusia dua tahun selepas anaknya menunjukkan tanda-tanda abnormal sejak berusia setahun.

"Nur Amani sering menerima rawatan di hospital sehingga kerap dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi apabila umurnya meningkat ke dua tahun.

"Setelah menjalani pelbagai pemeriksaan dan rawatan termasuk di Hospital Alor Setar, Sungai Petani dan Pulau Pinang, Nur Amani Batrisya disahkan menghidap sindrom Rett iaitu masalah gangguan perkembangan otak," katanya kepada Sinar Harian.

Noor Almi Sufiza berkata, jika dilihat dari segi fizikal anaknya, pasti orang menyangka Nur Amani Batrisya adalah kanak-kanak normal.   

Bagaimanapun, jelasnya, Nur Amani Batrisya masih tidak mampu bercakap walaupun usianya mencecah lima tahun malah dia perlukan bantuan sepanjang masa, melakukan sesuatu pergerakan tangan secara berulang-ulang, dan berdepan masalah lengkungan abnormal dari tulang belakang.

"Disebabkan gejala berkenaan, Nur Amani Batrisya tidak dapat duduk atau berdiri seperti kanak-kanak lain," katanya.

Noor Almi Sufiza berkata, dia terpaksa berhenti kerja sebagai juruteknik di sebuah kilang bagi memberi tumpuan kepada anaknya.

Menurutnya, suaminya, Muhadzir Ahmad, 38, yang bekerja di sebuah pusat servis kenderaan di Kulim terpaksa membuat kerja sambilan bagi menampung perbelanjaan Nur Amani Batrisya dan dua lagi anak, Adib Dinniey, 7, dan Nur Afiah Maisarah, 3.

"Buat masa ini, Nur Amani Batrisya hanya bergantung kepada susu semata-mata kerana dia tidak boleh diberikan makanan lain.

"Doktor mengesyorkan dia diberi minum susu jenama Pediasure berharga mencecah RM500 sebulan menggunakan tiub yang dipasang di bahagian perutnya setiap empat jam," katanya.

Noor Almi Sufiza berkata, wang bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang diperoleh secara bulanan tidak mampu untuk menampung perbelanjaan anaknya yang turut memerlukan lampin pakai buang serta kos rawatan akibat berulang-alik ke hospital.

"Kami kini mengumpul dana untuk mendapatkan mesin BiPAP yang dipinjam terlalu lama iaitu sejak lapan bulan lalu dari Hospital Pulau Pinang sebelum memulangkannya semula sebaik sahaja sudah membeli alat bantuan tersebut," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu, boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0200 6410 0001 1264.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...