TERKINI :

Wednesday, August 19, 2015

Nasib ahli terlibat GHB, PAS putuskan 11 Sept

Nasib ahli dan pemimpin PAS yang dipercayai terlibat dengan Gerakan Harapan Baru (GHB) akan ditentukan dalam mesyuarat parti itu 11 September ini.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata semua Badan Perhubungan PAS negeri diminta mengemukakan laporan berhubung perkara itu pada mesyuarat itu nanti.

"PAS Pusat akan buat semakan sama ada kes ada bukti kukuh atau tiada bukti untuk diambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu hari ini.

Mohd Amar berkata empat tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang mengkhianati parti adalah mengemukakan surat tunjuk sebab, diberi amaran, digantung keanggotaan dan dipecat sebagai anggota parti.

- Bernama

Orang No 2 SB tak tahu alasan ditukar ke JPM

Bekas timbalan pengarah cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Hamid Bador berang ekoran ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Abdul Hamid yang telah berkhidmat dengan PDRM selama 37 tahun, menerima surat pertukarannya semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak tahu alasan mengapa pertukaran itu dibuat.

"Saya tak tahu atas alasan apa saya ditukarkan. Mungkin mereka tidak mahu saya berada di situ," katanya kepada Malaysiakini.

"Hal pertukaran saya ini, awak kena tanya IGP (Tan Sri Khalid Abu Bakar) kerana beliau yang mengesahkan surat pertukaran saya," katanya ketika dihubungi.

Diasak berikutnya, Abdul Hamid berkata beliau sebenarnya "tiada masalah" ditukarkan ke mana sahaja.

"Saya OK, tidak ada masalah (ditukarkan ke mana-mana). Jangan tanya saya kenapa saya ditukarkan, tanya mereka lah. saya tidak mahu buat spekulasi," katanya.

Ditanya sama ada pertukarannya berkaitan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Abdul Hamid berkata: "Tiada komen."

Sementara itu, ketika dihubungi Khalid mengesahkan pertukaran Abdul Hamid ke JPM tetapi tidak menjelaskan dengan lebih lanjut mengenainya.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata beliau secara rasmi telah melepaskan jawatannya pagi tadi tetapi belum lagi membuat keputusan sama ada akan menerima jawatan di JPM.

“Saya belum terima jawatan di JPM. Saya haya melepaskan jawatan saya saja. Pagi tadi saya lepaskan jawatan saya,” katanya.

Perkara ini merupakan perubahan terkini yang berlaku dalam Jabatan Cawangan Khas dalam minggu selepas Datuk Mohamad Fuzi Harun menggantikan Akhil Bulat selaku pengarah cawangan khas.

Ini bukan pertama kali pegawai tertinggi kerajaan ditukarkan.

Pengarah bahagian operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohd Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob turut ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Pertukaran itu kemudiannya dibatalkan.

Peletakan jawatan beramai-ramai landa PAS S'gor

Kira-kira 400 ahli PAS dan pemimpin dari tiga kawasan PAS di Selangor hari ini mengumum meletak jawatan sama ada dalam parti atau jawatan yang mereka sandang, sementara menunggu untuk berpindah menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

Ia termasuk 183 ahli dari kawasan Kota Raja, 227 ahli kawasan Kapar dan tiga orang dari kawasan Klang.

Naib Ketua PAS Kawasan Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata langkah itu bagi mengelak berlaku keadaan tidak menentu melanda PAS sebaik sahaja GHB menjadi sebuah parti politik dan lebih ramai ahli PAS keluar dan menyertainya.

Di Kota Raja, ketua kawasannya Jaafar Samsuddin dan timbalan ketua, Norhalim Sirome dan Siti Mariah mengumumkan peletakan jawatan mereka dalam satu sidang akhbar.

Ketua sembilan cawangan PAS dalam kawasan Kota Raja juga turut melepaskan jawatan masing-masing dalam parti itu.

Turut menyertai mereka ialah ahli jawatankuasa (AJK) kawasan Kapar, Razak Abdul Rashid dan AJK PAS kawasan Klang, Abdul Rashih Abdul Latiff.

GHB berkata peletakan jawatan beramai-ramai hari ini itu adalah sebagai permulaan di Selangor - mulai hari ini sehingga akhir bulan ini.

Penyelaras GHB Selangor, Izham Hashim mendakwa kawasan Shah Alam dan Kelana Jaya akan melakukan perkara yang sama, masing-masing esok dan dua hari kemudiannya.

Bagaimanapun, mereka yang meletak jawatan itu akan kekal sebagai ahli parti sehingga GHB rasmi menjadi sebuah parti politik.

Mereka kemudiannya akan menyertai entiti baru itu, yang secara automatik, menyebabkan keahlian PAS mereka terbatal, kata Izham.

Undi Tak Percaya - Kalau majoriti cukup, apa salahnya



http://thepena.com/wp-content/uploads/2015/07/118.png

KUALA LUMPUR - "Kalau kita (Ahli Parlimen) tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan cukup majoriti mahu dia dihentikan apa salahnya?" demikian kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika disoal oleh media mengenai isu 'guling kerajaan'.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, istilah guling kerajaan adalah tidak tepat untuk menggambarkan keadaan tersebut (situasi ahli parlimen untuk memberi undi tidak percaya kepada PM), kerana guling kerajaan itu merujuk kepada kekerasan dan tidak bertindak mengikut Perlembagaan.

"Sampai sekarang tidak ada bukti bahawa ada usaha untuk menggulingkan kerajaan, mana? Mengguling apa ertinya? Ialah menggunakan cara kekerasan, cara tidak ikut Perlembagaan itu.

" MP tidak percaya pada PM bukan guling, dalam sistem demokrasi MP boleh tukar PM sama ada dalam Dewan Rakyat melalui undi tidak percaya atau luar dewan ikut formula Perak," katanya pada sidang media DAP di Ibu Pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, beliau tidak dapat memastikan adakah benar adanya dakwaan yang membabitkan ahli Umno untuk jatuhkan Najib.

"Saya tidak pasti ada ke tiada, cuma kalau ada, kalau mereka tidak mahu Najib lagi, mereka boleh lakukan dengan cara undi tidak percaya (ikut Perlembagaan)," katanya.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada mendedahkan komplot untuk menjatuhkan Najib membabitkan pemimpin Umno.

Namun dakwaan yang membabitkan pemimpin Umno seramai 20 orang sepertimana yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak disangkal oleh Pengerusi BNBBC, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad semalam.


Mat Sabu ‘pengkhianat parti’

Mat Sabu: Pas sudah tidak boleh 'reform'

Mat Sabu: Pas sudah tidak boleh 'reform'

DIGELAR 'pengkhianat parti' antara cemuhan yang diterima oleh bekas Timbalan Presiden Pas, MOHAMAD SABU selepas beliau menubuhkan Gerakan Harapan Baru. Bagaimanapun, bagi Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, beliau ada sebab tersendiri untuk meneruskan langkah politiknya bersama Harapan Baru yang juga bermakna akan 'menguburkan' perjuangannya hampir 40 tahun bersama Pas.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR dan MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI serta juru foto ROSLI TALIB bersama Mat Sabu bagi memahami hala tuju beliau sebagai Pengerusi Harapan Baru serta perasaan beliau mengenai hubungannya dengan Pas yang kini tinggal sejarah.

Kenapa hendak tubuh Harapan Baru?

Pada abad 15 Hijrah, dikatakan abad kebangkitan semula Islam dan umatnya. Berlaku dua peristiwa besar di awal abad. Pertama Rusia masuk Afghanistan dan munculnya mujahidin atas nama Islam mereka lawan Rusia.

Kedua, revolusi Islam di Iran yang meletakkan tidak barat dan tidak timur, Islam yang terbaik. Mujahidin berjaya lawan Rusia dan Rusia berundur dari Afghanistan.

Tapi mujahidin gagal mentadbir. Antara kumpulan-kumpulan mujahidin berlaku pergaduhan dan pertempuran yang ada pihak mengatakan rakyat Afghanistan terbunuh lebih banyak daripada ketika Rusia menyerang.

Kegagalan itu menyebabkan munculnya Taliban yang memerintah dengan kasar dan tiada ulama muktabar dirujuk. Maka berlakulah pelbagai bentuk hukuman atas nama syariat dengan berbagai-bagai cara termasuk mengebom tempat sejarah seperti patung Buddha.

Perbuatan pemerintahan Taliban itu mengundang tentangan semua pihak termasuk Barat yang amat curiga dengan gerakan Islam. Akhirnya Taliban dijatuhkan oleh AS, sekutunya dan negara Islam yang lain.

Kononnya diberikan demokrasi di Afghanistan tetapi pertelagahan sehingga hari ini walaupun dua presiden sudah berlalu. Keamanan tidak berlaku di sana. Antara kumpulan Islam bertelagah menyebabkan negara huru-hara, rasuah begitu tinggi dan kemiskinan berleluasa. Iran terus membina kekuatan dalaman dan luaran.

Di Timur Tengah berlaku 'Arab Spring' di mana rejim-rejim diktator jatuh, termasuk di Tunisia dan Mesir. Ikhwanul Muslimin keluar daripada pengharaman terlibat dalam pilihan raya dan menang dalam pilihan raya di peringkat parlimen dan presiden. Ikhwan juga memerintah lebih kurang satu tahun lepas itu, ditumbangkan oleh rejim tentera.

Sebelum itu, golongan NGO membuat demonstrasi menentang pemerintahan Ikhwan. Di Timur Tengah muncul kumpulan-kumpulan kecil. Mula-mula dianggap pertembungan sesama mazhab di Syria, tetapi ia berterusan kepada pertembungan antara kumpulan-kumpulan dan satu kumpulan mengkafirkan kumpulan yang lain, dengan panggilan takfiri.

Sehingga ada tujuh lapan kumpulan di Syria, berbelas kumpulan di Iraq bertelagah satu sama lain dan mengkafirkan satu kumpulan lain yang mereka tidak suka. Timur Tengah dilanda huru hara, di Iraq, Syria, Mesir, Tunisia, Yaman, Somalia, Pakistan, Afghanistan. Boleh dikatakan dunia Islam berada dalam keadaan berkeceramuk, penyakit takfiri ini melanda gerakan Islam.

Kalau tidak dikawal ia juga akan melanda parti Islam di Malaysia. Walaupun belum lagi parah , tetapi bunga-bunganya telah ada. Oleh itu saya merasakan gerakan Islam perlu membuat tajdid (perubahan) di  Malaysia dan seluruh dunia.
 
Maka selepas muktamar Pas (Jun lalu), apabila sekumpulan aktivis ditolak dalam muktamar melalui perancangan yang rapi, maka ia menjadi satu peristiwa yang mendatangkan satu perkara baru. Iaitu kami merasakan perlu untuk membuat satu pembaharuan kepada parti Islam. Begitulah juga dengan gerakan Islam yang lain termasuk Ikhwan di Mesir dan di mana-mana supaya Islam 'rahmatan lil alamin' itu dapat diangkat kembali.

Dengan dasar Islam dikekalkan tetapi pendekatan kita akan dibuat atas sifat rahmatan lil alamin. Tajdid ini perlu dan barangkali 10 hingga 50 tahun lagi Harapan Baru ini perlu kepada tajdid baru.

Tetapi buat masa sekarang kami (Harapan Baru) perlu kepada pembaharuan dalam pendekatan Islam itu kepada orang ramai khasnya kepada bukan Muslim.

Maka inilah yang lahirnya Harapan Baru dan Harapan Baru hanya nama sementara dan darinya akan lahir sebuah parti yang sifatnya inklusif. Kita anggap tajdid kepada parti Islam yang juga diperlukan di seluruh dunia sekarang ini.

Idea penubuhan Harapan Baru daripada siapa?

Saya telah pun melihat perkara ini ketika saya berada dalam parti Islam lagi. Munculnya unsur-unsur takfiri yang meletakkan ini kumpulan liberal, ini munafiq haraki, ini peguam neraka, ini peguam syurga. Gelaran-gelaran itu mempunyai unsur awal takfiri yang kalau dibiarkan ianya merbahaya kepada parti, umat Islam dan negara.

Oleh itu, langkah untuk mengelakkan perkara ini salah satunya perlu tajdid dan pembaharuan. Inilah kita kemukakan Harapan Baru di samping kita terus merujuk kepada pandangan-pandangan tokoh terkenal seperti Hasan Al-Banna, Sayyid Qutb dan Maududi.

Dalam masa yang sama kita turut merujuk kepada ulama kontemporari seperti Yusuf Qardawi, Tariq Ramadan dan pandangan dari Barat dan Timur, yang perlu kita rujuk, di samping pandangan pada 14 Hijrah.

Dan tajdid perlu dibuat sebab satu perkara yang cukup penting saya lihat ialah akhlak Islam iaitu intergriti dilaksanakan oleh orang-orang bukan Islam. Contohnya kita ambil orang Umno, Pas yang ucap dua kalimah syahadah dan saya tidak kategorikan dasar pegangan politik mereka.

Kalau kita hendak melihat negera yang paling rendah rasuah semuanya negara bukan Islam, di Sweden, Finland, Denmark, Singapura, New Zealand. Sedangkan negara Islam yang keluarkan  graduan agama itu antara paling tinggi rasuah. Sifat integriti ada pada orang Jepun dan Barat tetapi tidak ada pada orang Islam.

Bagi saya perjuangan mencantumkan semula akidah dan akhlak ini menjadi keutamaan di abad ini, iaitu budaya Islam seperti era kerajaan Umar Abdul Aziz. Dengan kelemahan yang ada pada saya, saya nampak usaha ini perlu dipertegaskan kembali.

Kita lihat integriti Tok Guru Nik Abdul Aziz, beliau dipuji oleh semua pihak tetapi di sudut pemerintahan kita belum sampai ke tahap integriti  tertinggi. Kalau dibandingan dengan mereka yang bukan beragama Islam, intergriti mereka adalah amalan Islam seperti di negara Barat, maju, yang menyebabkan mereka meninggalkan jauh negara Islam dan orang Islam.

Sedangkan ajaran Islam paling tinggi dan mulia tetapi diamalkan oleh orang lain. Usaha ini mesti diperteguhkan.
 
Teruk sangatkah Pas sampai hendak tubuh Harapan Baru?

Sebelum jadi seperti negara Timur Tengah, amalan takfiri, dan sebagainya biar kita tonjolkan kepada masyarakat untuk membuat pembaharuan. Supaya ia tidak sampai ke peringkat parah, seperti mana yang berlaku di Syria, Iraq. Sehinggakan satu kumpulan dapat menyembelih satu kumpulan yang lain, menjual wanita di pasar, mengebom rumah ibadat orang lain.

Kita belum sampai ke peringkat itu. Jadi biarlah kita buat satu tajdid, bila satu keadaan belum parah lagi. Kalau tengok keadaan yang berlaku di Timur Tengah sekarang ini entah berapa tahun mereka hendak keluar daripada kemelut yang ada.

Harapan Baru bawa konsep baharu?

Ya, bahkan saya menyeru kepada gerakan Islam yang lain di seluruh dunia, kita bincang supaya ada pembaharuan. Tidak kira sama ada di Jordan, Mesir, (bawa model baharu untuk disebarkan). Misalnya di Mesir, bila
Ikhwan memerintah macam juga di sini, syariat dalam pengertian menghukum itu ikut yang awal, bukan keadilan sosial.

Sedangkan Nabi Muhammad SAW menekankan syariat dan keadilan sosial. Contohnya, satu perlima rampasan perang digunakan semaksimum mungkin, hingga Nabi tiada harta ditinggalkan demi keadilan sosial.

Sedangkan di negara orang Islam, keadilan sosial tidak menjadi agenda utama. Kita ambil contoh Sweden, pelarian apabila didaftar sahaja sebagai pelarian mereka diterima di Sweden seperti ada hak untuk hidup, berlindung, rumah dan sebagainya disediakan.

Dibandingkan negara Islam melayan pelarian, dan bagaimana Nabi Muhamamad di Madinah menjaga orang yang datang ziarah termasuk diberi makan oleh Nabi di Suffah, keluarganya dan para sahabat. Model sosial ini kita lihat dalam gerakan Islam kurang dititik beratkan kalau dibandingkan dengan NGO dan negara Barat, yang praktiskan sebahagian ajaran Islam.

Inilah yang kita akan utarakan, saya sudah sebut dalam muktamar. Kenapa apabila isu kemiskinan orang mencari Arutchelvan (Parti Sosialis Malaysia), orang tidak mencari kita, ulama, ustaz. Apabila sebut isu kekotoran
orang cari Wong Tack, kenapa orang tidak mencari golongan Islam.

Sedangkan Islamlah agama yang menitik beratkan soal kebersihan, alam sekitar. Perkara inilah yang perlu kita utarakan. Sebab itu Harapan Baru mengundang semua pihak termasuk Abim, Ikram, aliran kiri, kanan muslim dan non muslim memberi pandangan dan terlibat, dan kita kekalkan dasar Islam, jadi bersifat inklusif ini yang kita tekankan.

Harapan Baru sebarkan dasar Islam yang lebih inklusif. Adakah ini bermakna parti Islam di negara ini gagal laksanakan?

Bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Saya kata kita perlu reform kerana kita tidak tekankan soal keadilan sosial, lebih kepada syariat dalam bentuk hukum. Itu bukan kita kena ketepikan. Tetapi soal ini, kita
lihat A Samad Said kenapa pilih DAP, Aziz Bari pilih DAP? Di antaranya soal integriti.

Intergriti ini adalah ajaran Islam yang paling tinggi, yang dibuat oleh pemerintah sama ada Nabi Muhammad, Umar al-Khattab, Saidina Ali dan lain-lain. Di sudut membina integriti pemerintah, inilah yang kita lihat
gerakan Islam kurang menekankan. Bahkan atas nama Islam kita lihat, di Malaysia bila mendapat kuasa terlibat dalam skandal lembu, Tabung Haji dan penyelewengan itu dan ini.

Kalau dibandingkan dengan negara bukan Islam yang dahulunya buruk tetapi mereka mengamalkan nilai Islam. Ini yang kita hendak utarakan kembali. Itu yang kita hendak tekankan semula. Saya pun sudahtunggu lama perkara ini. Saya ingat dalam 10 ke 15 tahun saya cakap mengenai perkara ini. Saya nampak mesti ada wadah baru untuk jelmakan perkara ini.

Kalau 'reform' tidak boleh dengan Pas? Mengapa perlu tubuh platform lain?

Saya tidak nampak boleh. Saya nampak pelantikan Majlis Syura Ulama Pas tidak ke arah untuk membuat reform. Tetapi cadangan penubuhan parti ini bukan dari saya. Saya baru balik dari Timur Tengah dan rakanrakan
saya berkumpul di Johor. Mereka panggil saya untuk bincang dan merekalah yang cadangkan penubuhan wadah baru dan saya lihat ada keperluannya.

Maknanya idea ini sebenarnya sudah lama diusahakan ketika masih bersama Pas?

Rungutan tidak berpuas hati terhadap perjalanan gerakan Islam di dunia ini memang dah lama. Malah, saya dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mempunyai pandangan yang sama dalam isu politik antarabangsa. Cuma dalam pendekatan masyarakat awam ini barangkali di situ ada sedikit perbezaan.

Sebelum ini anda kata Pas sudah tidak relevan, kenapa sebelum bertanding relevan, selepas kalah tidak?

Saya tidak bercakap seperti itu. Apabila saya kata perlu reform pergerakan Islam, mereka (wartawan) kata ia bermaksud Pas tidak relevan. Tafsiran wartawan, bukan dari mulut saya. Saya tidak menyebutnya. Saya
kata semua pergerakan Islam perlu reform termasuk Pas.

Adakah DAP punca perbalahan dalam Pas sehingga wujudnya Harapan Baru?

Saya tidak mahu komen itu, bohong semua itu. Itu pembohongan yang nyata, orang yang bankrap politik yang cakap begitu.

Harapan Baru nak tarik siapa?

Tidak kira kita akan tarik semua orang, termasuk ahli Pas, Umno, tiada parti dan non muslim. Malah, kami dapat sambutan yang amat baik dari kalangan orang bukan Islam. Kita tidak letak sasaran angka, tetapi saya
yakin ramai (sokongan). Anak-anak muda juga selalu bertanya bila mahu jadi parti.

Jadi bagaimana anda menerangkan kepada ahli Pas yang mungkin kecewa dengan penubuhan Harapan Baru?

Tidak apa, jiwa Pas saya lagi tinggi. Saya hampir 40 tahun dalam parti. Orang kata pengkhianat parti tetapi hampir 40 tahundalam parti. Mereka (ahli Pas) faham, insya-Allah. Tengoklah bila parti daftar nanti kita umpama buka 'pintu bah' untuk semua orang.

Adakah Harapan Baru bakal senasib dengan parti serpihan Pas yang lain?

Tidak sebab parti itu jalankan kerjasama dengan Umno. Misalnya Berjasa dengan Umno, Hamim juga dengan Umno. Kami tidak. Kami bekerjasama dengan pembangkang.

Sebagai ahli Pas yang telah menyertai parti itu sejak 1978, bagaimana anda melihat mengenai isu bai'ah dalam Pas?

Isu bai'ah ini saya tidak mahu ulas dari sudut hukum hakam sebab saya bukan berlatar belakang agama. Saya berpandu kepada pandangan Mufti Perlis, Mufti Pulau Pinang dan pandangan ulama-ulama luar dan sebagainya. Jadi, saya pandu pandangan mereka itu sebab saya sendiri tidak mahu pandangan peribadi sebab saya bukan dari bidang agama.

Selepas Harapan Baru ditubuhkan, adakah anda ada menerima sebarang ugutan atau cemuhan?

Ya, hampir setiap hari. Tetapi saya sudah 'mangli' (lali). Macam-macam gelaran saya terima. Paling teruk saya digelar 'anjing DAP'. Kebanyakannya yang mengecam itu tiada nama, mereka berselindung. Tetapi saya tiada masalah dengan kecaman itu kerana saya meletakkan kebergantungan tinggi kepada ALLAH serta yakin dengan perjuangan.

Bagaimana hubungan anda dengan pemimpin Pas yang menang dalam muktamar lalu? Masih berhubung?

Saya tidak tumpu kepada itu. Saya tumpu kepada usaha bertemu orang ramai sama ada Islam atau bukan Islam untuk minta sokongan dan pandangan. Ini yang saya buat sekarang.

Ada tak ahli atau pemimpin Pas yang mahu pujuk anda kembali ke parti itu?

Tiada. Tetapi bagi saya Pas telah meninggalkan satu perjuangan yang besar. Saya nampak jasa Pas lebih banyak kepada saya berbanding jasa saya kepada Pas. Saya berterima kasih untuk itu tetapi saya berpandangan perlu ada wadah baru.

Guan Eng tarik balik saman ke atas Shaik Hussein

Guan Eng tarik balik saman ke atas Shaik Hussein
GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menarik balik kes saman terhadap bekas Timbalan Ketua Pemuda BN Pulau Pinang, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin tanpa sebarang syarat yang dibuat pada 5 Oktober 2012 lalu.

Persetujuan itu dibuat dengan penuh kerelaan hati di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Nordin Hassan terhadap kes melibatkan isu Taman Manggis.

Mengikut jadual, kes ini sepatutnya menjalani perbicaraan namun Guan Eng bertindak menarik balik tuntutan beliau di mana kedua-dua pihak tidak akan membuat sebarang tuntutan atau memulakan sebaranf tindakan baru antara satu sama lain berhubung perkara-perkara yang berkaitan dengan kes ini.

Penarikkan itu melibatkan dua penyataan tuntutan terpinda  yang dibuat defendan yang mengeluarkan kenyataan 'dan saya berasakan dan saya tidak menuduh, saya tidak menuduh, saya berasakan bahawa dia telah mengambil rasuah daripada Dental, Kuala Lumpur International Dental Hospital'.

Sementara itu, defendan juga menarik balik penyataan tuntutan kedua iaitu 'to Chief Minister of Penang, please don't waste our time. We are busy untuk menepati janji. Dia busy untuk menipu. Dia memang tipu'.

Guan Eng diwakili peguam, Simon Murali manakala Dr Shaik Hussein diwakili Simon Tan Hong Jin.

Sebelum ini, Guan Eng  memfailkan saman ke atas Dr Shaik di Mahkamah Tinggi kerana mendakwa memfitnahnya melalui satu artikel yang disiarkan sebuah portal berita Malaysiakini pada 5 Oktober 2012.

Guan Eng mendakwa Shaik Hussein secara tidak bertanggungjawab dan berniat jahat  mengatakan beliau menerima rasuah daripada Pusat Pergigian Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIDC).

Pas Selangor nasihat Pas Kedah isu jemput Tan Sri Abdul Khalid

'Tanya PAS Selangor dulu nak jemput Khalid'

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Samad menasihati kepimpinan PAS negeri lain agar merujuknya terlebih dahulu sebelum menjemput ahli politik dari parti lain menyertai PAS negeri itu.

"PAS Selangor belum buat keputusan lagi. Seeloknya tanya pandangan PAS Selangor sebelum buat kenyataan.

"Itu pandangan PAS Kedah, bukan pandangan PAS Selangor atau PAS Pusat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Teguran naib presiden PAS itu dibuat susulan Ketua Pemuda PAS Kedah Mohd Azam Abd Samat yang dilapor mempelawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyertai PAS bagi mengukuhkan lagi parti itu.

Azam yang juga ADUN Sungai Limau dilapor berkata PAS sememangnya memerlukan ahli dan tokoh politik yang amanah dan gigih seperti bekas menteri besar Selangor itu.

Beliau berkata karier politik Abdul Khalid tidak harus berakhir begitu saja selepas beliau meninggalkan dunia korporatnya untuk melibatkan diri dalam kancah politik demi berkhidmat kepada rakyat.

Khalid dipecat daripada PKR kerana enggan melepaskan jawatannya seperti diarahkan partinya.

Keengganan itu menimbulkan krisis pelantikan menteri besar Selangor dan turut menyebabkan dua ADUN PAS digantung.

Krisis tersebut berakhir selepas Sultan Selangor melantik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai menteri besar baru.

SAMM : Mahathir tidak mendapat keadilan liputan Media?

1. Sudah dua bulan SAMM memulakan kempen #sudahlahMahathir, kempen ini mendapat sokongan perbagai pihak tanpa menafikan kekeliruan dan penentangan juga wujud dan bukan senang untuk mendapat liputan media bagi menerangkan secara jelas kempen ini.

2. Terbaru akhbar Sinar Harian di mana sepanjang minggu lepas kami sudah memulakan 'hubungan' bagi menyiarkan tulisan penuh mengenai 'apa dia kempen #sudahlahMahathir'. Telah dipersetujui tulisan tersebut akan disiarkan dalam ruangan pendapat akhbar tersebut, namun malangnya malam semalam (16 Ogos) saya dihubungi memaklumkan tapisan peringkat tertinggi akhbar tersebut telah menolak menyiarkan mengenai kempen #sudahlahMahathir.

3. Sebelum itu sebuah akhbar online The Malaysian Insider di mana banyak menyiarkan tulisan aktivis SAMM termasuk berita mengenai SAMM sebelum ini tetapi pada satu peringkat ketika kempen #sudahlahMahathir mula 'panas' salah seorang editor kanan media berkenaan memaklumkan kepada salah seorang aktivis SAMM bahawa tulisannya terpaksa ditolak kerana anti Mahathir dan perlunya dia menulis tajuk lain dan 'InsyaAllah' akan disiarkan. Jika ini zaman Mahathir bayangkan, bukan media tidak pro dia malah media yang tidak menyerang musuh politiknya pasti akan sengsara.

Usul Undi Tak Percaya Lebih Mudah Jika ZAHID sendiri mengetuai..

Shahbudin Husin, 

Sudah masuk hari ketiga hari ini, tetapi Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi masih gagal membuktikan kebenaran dakwaannya mengenai pemimpin UMNO yang disebutnya Sabtu lalu mahu menjatuhkan Perdana Menteri melalui usul undi tidak percaya di Parlimen.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, dalam masa yang sama, turut gagal membuktikan kesahihan dakwaannya sehari selepas itu bahawa pemimpin UMNO terbabit akan datang menemui Najib Razak pada jam 6 petang Ahad lalu untuk meminta maaf.

Bermakna, bukan saja pemimpin UMNO yang didakwanya mahu menjatuhkan Najib itu tidak berjaya dibuktikan sehingga kini, malah dakwaannya pemimpin tersebut akan meminta maaf kepada Najib tidak lebih seperti "maklumat tepi jalan" atau "gossip cerita artis" semata-mata.

Dengan ini, tentulah ramai yang hairan bagaimana seorang Timbalan Perdana Menteri boleh membuat "dakwaan kosong" sebegitu rupa dan ia barangkali tidak pernah dilakukan oleh mana-mana penyandang jawatan itu sebelum ini.

Pemuda PAS Kedah Pelawa Tan Sri Khalid Ibrahim Sertai PAS

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
3 Zulkaedah 1436 | 18 Ogos 2015

"Harap TSKI Istiqamah, Pelawa Sertai PAS"


1. Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI) dipelawa untuk bersama perjuangan PAS agar terus beristiqamah membina Malaysia ke arah lebih makruf dan berjaya.

2. Sesungguhnya beliau telah menunjukkan teladan dan pencapaian serta integriti yang dikagumi, cemerlang lagi terpuji semasa mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

3. Adalah wajar dengan pengalaman, kesungguhan serta rekod tersebut dilestarikan demi kepentingan rakyat dan negara yang sememangnya memerlukan ahli dan tokoh politik amanah juga gigih seperti beliau.

4. Karier politiknya tidak harus berakhir begitu sahaja apabila tamatnya penggal pilihan raya kali ini, setelah beliau terdahulu meninggalkan dunia korporatnya demi menghambakan diri dalam politik untuk berkhidmat kepada rakyat.

Rakyat jangan terpedaya imej Islam Mukhriz

ALOR SETAR: Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Kedah, Tuan Guru Mohd Rejab Md Akhir menyatakan bahawa BN yang memerintah negeri ketika ini tiada cita-cita untuk Islam, melainkan memperalatkan Islam setelah mereka terpukul dengan kekalahan satu penggal kepada PAS.

Maka dengan itu katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang terikat dengan parti diwakilinya itu hanya menjadikan Islam sebagai 'projek' dengan mengutip segala simbol seperti berjubah, berkopiah, mendekati tokoh ulama dan program-program Islamik secara terpilih.

Hakikatnya ujar beliau, tidak ada roh Islam diserapkan dalam kehidupan masyarakat dari pentadbiran Islam kerana asas serta tujuan kerajaannya itu sendiri bukan untuk agama.

"Maka imej Islam digunakan bertujuan untuk tarik sokongan politik dan undi sahaja, kosmetik semata-mata. Mukhriz hanya pelengkap kepada dasar-dasar sekular partinya.

"Rakyat jangan terpedaya. Kerana terbukti ketika sama mereka lebih mementingkan kebendaan. Mereka juga mengutamakan keseronokan. Tidak pantas mereka hendak bantu kesusahan rakyat, tetapi mereka boleh belanjakan hingga jutaan ringgit untuk program hiburan lawak," tempelaknya.

Isu Balak Kelantan - Dato Husam Boleh Saman Mereka Yang Memfitnahnya...

 http://media.themalaysianinsider.com/assets/uploads/articles/pakatan_rakyat_leadership_council-HUSAM_MUSA_PAS-080215-TMI-MUKHRIZ.jpg
Salinan surat balas dan soalan tambahan:

YB Dato Haji Hanipa Haji Ahmad,
Pengerusi Baldah Toyyibah (Prasarana) Sdn Bhd.

PELAWAAN LAWATAN BERSAMA KE TAPAK TEBANGAN ULU SAT

Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian YB Dato menjawab surat saya bertarikh 28 Syawal 1436/13 Ogos 2015.

Dari surat itu, saya simpulkan atau memberikan komen seperti di bawah:

A. Tiada Penglibatan YB Dato Husam Musa Dari Pembalakan Lebuhraya Rakyat

Penjelasan YB Dato dalam isu ini sangat saya alukan.

Saya berharap, melalui jawapan rasmi ini, tidak ada mana-mana pihak, termasuk YB Dato atau pegawai Baldah (saya lampirkan terbaru apa yang dicatat oleh Encik Nik Hisham dalam media sosial), memberikan versi tidak rasmi yang lain untuk mengaitkan nama saya secara tidak adil.

Mukhriz : Lesen balak terpaksa dikeluar kerana sudah lulus

Mukhriz Tun Dr Mahathir
ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah terpaksa meneruskan pengeluaran lesen penebangan balak kepada syarikat konsesi memandangkan kelulusannya sudah diperoleh sejak pentadbiran Pas, tiga tahun lepas.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, seperti diketahui, proses mengeluarkan lesen tersebut memakan masa yang panjang bermula dari proses permohonan, kelulusan, dan penandaan.

"Ia makan masa, dalam kesemua projek atau konsesi ini, kelulusan telah dikeluarkan sebelum kerajaan ini lagi, kemudian lesen itu mesti dikeluarkan setelah kerja-kerja telah diselesaikan," katanya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri katanya tiada pilihan selain memberikan lesen terbabit bagi mengelakkan daripada disaman.

Mukhriz yang juga Adun BN Ayer Hitam berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Lebai Sudin (BN-Bukit Lada) yang ingin mengetahui kenapa BN masih mengeluarkan lesen balak kepada syarikat-syarikat, sedangkan BN menetapkan untuk tidak mengeluarkan lesen penebangan balak setelah mengambil alih pimpinan daripada Pas.

PAS Sokong TSKI Dan Hentam PKR?

Mahu bersama PKR atau tidak, PAS hantar mesej keliru

PAS gagal memberi isyarat jelas kepada penyokongnya samada mahu terus bekerjasama dengan PKR atau tidak selepas berpisah dengan DAP, kata penganalisis.

Ini kerana, dalam isu saman bekas menteri besar Selangor terhadap PKR, jelas PAS terus menyalahkan PKR dan menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Bagi saya PAS gagal memberikan isyarat yang jelas kepada penyokongnya apakah mereka mahu terus bekerjasama dengan PKR atau bergaduh dengan parti itu," kata Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar.

Bagi Hisomudin, jika PAS mahu bekerjasama dengan PKR sebagaimana dinyatakan kepimpinannya sebelum ini, parti Islam itu tidak seharusnya memihak kepada individu yang sudah terpisah daripada parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti Khalid.

"Namun PAS mengambil kesempatan daripada krisis undang-undang antara PKR dan Khalid dengan memihak secara jelas kepada bekas MB itu dan secara tidak langsung menyalahkan pimpinan PKR khasnya Anwar sendiri," katanya merujuk kepada Anwar yang kini berada dalam penjara.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...