TERKINI :

Tuesday, August 18, 2015

BR1M pemberian pelik kerajaan

SHAH ALAM – Presiden Ikram Siswa Nasional, Marwan Abdullah menyifatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai salah satu insentif kerajaan yang pelik.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel ketika menjadi panel dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-36 bertajuk ‘Kuasa Politik Baharu, Apa Anak Muda Mahu’, di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Menurutnya, sebagai wakil NGO, beliau menghargai segala sumbangan kerajaan meskipun ada usaha tersebut yang tidak baik dan pelik.

Malah katanya, BR1M umpama kerajaan memberikan ikan ke mulut rakyat.

“Tadi panel-panel cakap soal dasar awam panjang lebar. Saya selaku NGO, kita hargai segala sumbangan yang kerajaan berikan kepada kita.

“Kita tidak nafikan sumbangan-sumbangan tersebut. Ada yang baik, ada yang tidak baik. Ada yang pelik, ada yang tidak pelik.

“Kalau yang pelik sekali, BR1M lah. Dia bagi ikan tapi tak beri pancing. Tapi kita ambillah ikan itu kan?,” katanya.

Sebelum itu beliau ada melahirkan pendapat bahawa ruang untuk anak muda menyatakan hasrat mereka tidak cukup di pentas negara ini.

“Kalau kita lihat pada perspektif mahasiswa, memang ruang itu tidak cukup.

“Buktinya apa yang berlaku kepada pelajar UIA baru-baru ini yang telah digantung dua semester hanya kerana nak membawa Naib Presiden PKR ke dalam universiti,” katanya.

Selain beliau, wacana itu turut disertai Ahli Majlis Eksekutif Dapsy Kebangsaan, Dyana Sofya Mohd Daud; Exco Pemuda Umno, Rahman Hussin dan Exco Pemuda Harapan Baru, Faiz Fadhil.

Moderator wacana kali ini akan dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Isu Rumah Banjir Kelantan : JKR salahkan kerajaan negeri

JKR jawab tohmahan Harakah

KUALA LUMPUR - Jabatan Kerja Raya menyangkal tohmahan akhbar tabloid Harakah dalam ruangan Fokusnya yang bertajuk "Peruntukan Pusat Besar, Rumah dibina Perlahan".

JKR berkata, kelewatan yang didakwa oleh lidah rasmi Pas itu dalam terbitan 17-20 Ogos 2015 sebenarnya kerana Kerajaan Negeri lambat memberi tanah untuk membina rumah.

Dalam satu kenyataan hari ini, JKR berkata peruntukan bukan isunya, tetapi masalah timbul sebab tanah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Sehingga 10 Ogos tahun ini, Kerajaan Persekutuan telah diberi tanggungjawab untuk membina 1,255 daripada 1,827 jumlah unit di Kelantan, dan bakinya oleh Kerajaan Negeri.

Pembinaan membabitkan empat jajahan - Gua Musang (185 unit), Kuala Krai (1,028), Tanah Merah (30) dan Machang (12).

Menurut kenyataan itu, jumlah dalam peringkat pembinaan, iaitu prabina dan bina adalah 387 unit, manakala 58 unit telah siap dan diserah.

Jumlah tersebut telah dibina secara berperingkat mengikut pemberian tanah dan pengesahan tapak oleh kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah, kata JKR.

Katanya masih terdapat 810 tapak yang belum dimuktamadkan pengesahan tapak bergeran milik atau diberikan tapak baru berkelompok oleh kerajaan negeri, iaitu sebanyak 76 unit di Gua Musang dan 734 di Kuala Krai.

"Tanpa pengesahan tapak dan pemberian tanah baru berkelompok oleh kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan tidak dapat membina rumah berdasarkan angka atau bilangan yang dipersetujui.

"Peruntukan untuk membina rumah tidak pernah menjadi persoalan, namun tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan kelewatan pemberian atau pengesahannya adalah punca kelewatan pembinaan," kata JKR. - Bernama

Zahid.!! Jadilah TPM, jangan jadi Ketua pemuda Umno tahun 60/70an

Kenyataan Media.

ZAHID! JADILAH TPM, JANGAN LAH JADI KETUA PEMUDA UMNO TAHUN 60AN/70AN.

1.Saya terkejut dengan cara Datuk Zahid Hamidi Timbalan Perdana Menteri memberi respon terhadap isu konon adanya akuan bersumpah nak guling kerajaan,termasuk respon beliau terhadap kenyataan saya terhadapnya.

2.Cara beliau memberi respon tidak menggambarkan yang beliau seorang TPM.Beliau seharusnya lebih bertenang dan tidak menampilkan sifat panas baran dan berang tak tentu pasal seperti orang hilang pertimbangan.Rakyat Malaysia khususnya generasi muda sedang memerhati watak orang nombor dua dalam negara yang bakal mengambil alih teraju pimpinan nombor satu.Generasi muda bekhehendak pimpinan yang bijak menyesuaikan diri dengan cabaran baru zaman kini.Penampilan Zahid seperti penampilan Ketua Pemuda Umno tahun 60an/70 an.

3.Nasihat saya untuk beliau yang merupakan sahabat yang pernah menerajui kepimpinan pemuda parti masing masing agar beliau banyak bersabar,kepala dingin,berlapang dada,tidak panas baran dan berang dalam berhadapan dengan situasi yang sukar melanda negara.Jangan amalkan politik ugut dan akulah yang berkuasa.Utama dan dahulukan kepentingan rakyat dan negara dari kepentingan politik kepartaian.

4.Semoga beliau lebih cermat dalam memposisikan diri beliau dalam kepimpinan negara.Jangan mencipta permusuhan.Selamat maju jaya.

"SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA"

Dato'Mahfuz Hj Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena
18 Ogos 2015/3 Zulkaedah 1436H.

Shahrir: Adakah Dr Mahathir masih relevan?

Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) hari ini mempersoalkan sama ada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed masih relevan untuk memberi pandanganya.

"Adakah beliau (masih) relevan?" soal Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad kepada pemberita dalam sidang media di bangunan Parlimen petang ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Johor Bharu mengulas tindakan Dr Mahathir yang dilihat begitu lantang mengkritik kepimpinan sedia ada.

Menurut Shahir lagi, beliau percaya kritikan atau sokongan Dr Mahathir terhadap BN tidak membawa sebarang perbezaan terhadap prestasi parti itu baik semasa mahu pun selepas pilihan raya.

Katanya, prestasi BN pada pilihan raya umum 2008 merosot kerana negarawan itu dilihat begitu rancak mengkritik perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.

Kata Shahrir, jumlah undi BN pada 2013 juga merosot walaupun Dr Mahathir berkempen untuk BN.

"Saya berikan fakta-fakta ini. Kita harus meletakkan perkara ini menurut perspektifnya," katanya lagi.

TPM dituntut namakan 'tokoh besar Umno'

Ayahanda tuntut TPM namakan 'tokoh besar Umno'

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini digesa mendedahkan nama 'tokoh besar Umno' yang didakwa mahu menggulingkan kerajaan kepada umum.

Ini kerana, menurut pengerusi Yayasan Ayanhanda SeMalaysia (YAS) Syed Husain Al Shahab, rakyat tertanya-tanya perkara itu.

"Kita minta timbalan perdana menteri keluar senarai nama tersebut.

“Mesti keluarkan, supaya rakyat tidak tertanya-tanya," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Abim : Jika Duit RM2.6Bilion tu Sunni punya, pulangkan pada Sunni

Perdana menteri didesak menjelaskan dakwaan Umno Kuantan bahawa derma RM2.6 bilion ke dalam akaunnya susulan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah negara ini.

Angkata Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata, jika benar dakwaan itu, ia seharusnya disalurkan kepada rakyat dan bukan Datuk Seri Najib Razak secara peribadi.

“Ini kerana setiap rakyat yang memerangi radikalisme IS (kumpulan bersenjata Negara Islam) berhak untuk menikmati sumbangan tersebut,” kata presidennya Amidi Abdul Manan.

Malah, kata Amidi lagi, usaha Malaysia memperteguhkan aliran Sunni bukan ikhtiar Najib semata-mata, tetapi dipelopori rantaian ulama dan pendakwah dari zaman kesultanan Melayu Melaka lagi.

“Oleh itu sewajarnyalah ia dipulangkan kepada rakyat khususnya yang beraliran Ahlus Sunnah wal Jamaah kerana terus komited mempertahankan rantau ini khususnya Malaysia sebagai rantau Sunni,” katanya lagi.

Ketua Umno Kuantan Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat pada 16 Ogos lalu berkata derma ke dalam akaun Najib adalah sumbangan politik daripada Arab Saudi.

Ia, katanya, sebagai penghargaan kepada Malaysia yang memperjuangkan agama Islam dan mengamalkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beberapa negara lain turut menerima sumbangan wang daripada Arab Saudi selain daripada negara ini.

Menurutnya penderma sebenar wang tersebut didedahkan dan dijelaskan kepada 146 Ketua Umno Bahagian ketika perjumpaan bersama perdana menteri pada Rabu lalu di mana wang tersebut adalah sumbangan politik dari Arab Saudi kepada negara ini.

Selain itu, Amidi juga berkata penjelasan seperti dibuat Wan Adnan itu “cubaan yang mengelirukan” dan tidak mampu memberikan kesan positif kepada imej Najib yang kian buruk.

“ABIM menegaskan jika benar seperti yang didakwa dan dilaporkan oleh media maka Umno apatah lagi Najib tidak layak ke atas sumbangan tersebut.

“Ini kerana segala usaha memerangi pengaruh IS dan mempertahankan ajaran Sunni adalah usaha bersama secara kolektif semua pihak yang terlibat,” katanya.

Majlis Penasihat GHB tidak sama dengan Majlis Syura Ulama PAS

Ahmad Awang 'mursyidul am' parti Islam baru

Zulaikha Zulkifli

Bekas naib presiden PAS Ahmad Awang dipilih menjadi penasihat umum bagi parti Islam baru yang akan dilancarkan bulan depan.

Menurut Ahmad, walaupun jawatan penasihat umum itu dilihat menyerupai mursyidul am PAS, namun terdapat perbezaan bagi dua jawatan tersebut.

Katanya, sebagai penasihat umum, beliau tidak akan campur tangan dalam urusan eksekutif parti dan hanya fokus dalam Majlis Penasihat yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang tertentu bagi memberi nasihat kepada parti Islam baru itu.

Ahmad berkata lagi, Majlis Penasihat untuk parti Islam baru itu juga akan terdiri daripada golongan ulama serta profesional.

"Kita punya Majlis Penasihat pakar ini tak macam Majlis Syura (PAS). Majlis Syura itu, dia juga dalam Majlis Syura, dia juga (orang sama) di eksekutif. Kita tidak.

“Biar betul-betul duduk dalam Majlis Penasihat dengan kepakaran yang ada dan tak campur tangan urusan eksekutif.

"Baru nanti tak timbul isu, dialah (anggota) Majlis Syura dialah presiden.

"Majlis penasihat pakar itu terdiri daripada golongan ulama dan juga mereka yang pakar dalam bidang lain seperti kemasyarakatan, ekonomi, perbankan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selain itu, ditanya siapakah lagi individu yang akan turut berada dalam Majlis Penasihat itu, Ahmad berkata perkara itu tidak boleh didedahkan lagi buat masa ini.

"Belum boleh isytiharkan," katanya ringkas.

Ahmad, bekas presiden 17 tahun Persatuan Ulama Malaysia (PUM), tewas mencabar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pemilihan parti lalu.

Parti politik berteraskan Islam yang baru itu diasaskan daripada kumpulan profesional

yang kalah dalam pemilihan PAS Jun lalu melalui kumpulan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Ia bertujuan untuk memperjuangkan usaha penubuhan gabungan pembangkang.

Pembentukan parti baru yang belum diumumkan namanya itu secara rasmi dijangka akan dibuat menjelang 31 Ogos nanti.

Misi Kedah malam nie, "JARINGKAN gol dan raih kemenangan!"

Kedah wajib menang
Wartawan Sinar Harian

"JARINGKAN gol dan raih kemenangan!"

Itu ketegasan disuarakan jurulatih skuad Kedah, Tan Cheng Hoe menjelang aksi wajib menang menentang Sabah dalam saingan Liga Perdana 2015 di Stadium Darul Aman, malam ini.

Menurut Cheng Hoe, sebarang keciciran mata tidak boleh berlaku andai mahu meneruskan peluang layak ke kancah liga elit negara musim depan.

"Saya katakan kepada pemain supaya bermain bersungguh-sungguh bertemu sabah. Ini adakah aksi terakhir liga di laman sendiri dan Kedah harus memanfaatkan peluang yang ada.

"Sabah pasti turun dengan motivasi terbaik kerana mereka juga mahu mencari slot playoff Piala Malaysia. Jadi, kita kena berhati-hati untuk mengelak kekalahan," katanya akan menurunkan bintang sensasi Nigeria, Chidi Edeh pada pertemuan berkenaan.

Katanya, Edeh mula mempamerkan aksi positif biarpun gagal meledak gol ketika bertemu Negeri Sembilan Matrix pada Jumaat lalu.

Sementara itu, beliau memberitahu, ketiadaan Liridon Krasniqi akibat penggantungan perlawanan akan segera digantikan pemain muda skuad itu.

"Saya ada beberapa pemain dan berkemungkinan tempatnya diisi oleh Hanif Mat Dzahir," katanya.

Setelah mengharungi 20 perlawanan, Lang Merah kini berada pada tangga teratas liga dengan pungutan 42 mata.

Bekas MB Selangor : Terima maaf tindakan terbaik

SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan tindakannya menerima pernyataan maaf daripada bekas Setiausaha Agong PKR, Datuk Saifuddin Nasution sebagai terbaik bagi menyelesaikan kes saman yang difailkan.

Katanya, beliau mengambil pendekatan itu dengan berlapang dada dan tidak mahu memanjangkan persengketaan.

“Saya sedar ramai yang agak kecewa apabila saya menyelesaikan kes ini dengan menerima pernyataan maaf daripada Saifuddin.

“Pada saya ini adalah tindakan terbaik yang perlu dilakukan apatah lagi ketika berada di dalam bulan Syawal, bulan kemenangan bagi umat Islam,” katanya menerusi facebook miliknya, semalam.

Menurutnya, pernyataan maaf sudah mencukupi untuk menebus maruah dirinya yang tercalar akibat fitnah dilemparkan oleh orang kuat parti berkenaan.

Namun begitu, beliau mengakui kes tersebut memberi tamparan hebat kepada dirinya serta pasukan di pejabat menteri besar yang sentiasa mementingkan amalan berteraskan ketelusan, pertanggungjawaban, dan kemahiran pengurusan selama menerajui pentadbiran kerajaan Selangor.

"Tidak dinafikan juga kami berasa amat kecewa kerana ditewaskan oleh fitnah, meskipun setelah bekerja keras selama enam tahun melakukan reformasi pentadbiran khusus untuk kesejahteraan rakyat.

"Langkah Kajang berjaya mengaibkan saya yang akhirnya menyebabkan saya kehilangan jawatan, lebih malang, strategi politik tidak bermoral itu turut menyebabkan keretakan dalam permuafakatan antara parti komponen Pakatan Rakyat akibat sikap politik retorik dan hipokrit," katanya.

Abdul Khalid berkata, Langkah Kajang juga menyebabkan Pas sebagai sebuah parti politik yang akar umbinya sangat kukuh diketepikan, bahkan pemimpin mereka turut diaibkan.

"Permainan politik yang begitu dahsyat itu merugikan rakyat terutama di Selangor di mana isu-isu pokok seperti penstrukturan semula air yang masih belum dilaksanakan dengan lancar, masalah tanah termasuk masalah sampah serta hala tuju pentadbiran negeri yang masih kabur.

"Setelah maruah saya ditebus dengan kenyataan maaf, terbukti segala tohmahan dilemparkan adalah fitnah dan sebagai ahli parlimen serta Adun saya mahu bekerja keras untuk mewujudkan satu keadaan politik yang akan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Terdahulu, Abdul Khalid telah memfailkan saman ke atas Saifuddin kerana mengeluarkan dan mengedarkan satu laporan setebal 91 muka surat yang mengandungi pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap dirinya.

Kes tersebut berakhir apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya secara baik di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan merekodkan Penghakiman Persetujuan yang menyaksikan Saifuddin mengemukakan permohonan maaf, kelmarin.

Selain memohon maaf, Abdul Khalid berkata, Saifuddin turut menyatakan rasa kesal dan memberi akujanji agar tidak mengulangi tuduhan serta fitnah yang dilemparkan kepada beliau.

“Saifuddin mengakui bahawa pernyataan dalam laporan sepatutnya tidak diperkatakan, dikeluarkan dan disedarkan bagi menjelaskan mengapa saya perlu dilucutkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor.

“Namun, ia bukanlah satu bukti muktamad bahawa saya telah melakukan kesalahan seperti yang dinyatakan dalam laporan tersebut,” katanya.

Politik Malaysia asyik cerita soal wala’, Melayu

RAZIATUL HANUM A.RAJAK

SHAH ALAM – Anak muda sekarang tidak dididik dengan ilmu politik yang sebenar sebaliknya hanya di momok-momokkan dengan frasa-frasa seperti ketaatan kepada pemimpin dan ketuanan terhadap kaum.

Presiden Ikram Siswa Nasional, Marwan Abdullah berkata, konsep itu diamalkan oleh parti-parti politik di negara ini.

“Peranan kami sebagai NGO, kita buat pendidikan politik, bagi anak muda faham sistem politik Malaysia ini bagaimana? Sama ke dengan sistem politik di Amerika Syarikat, United Kingdom, Indonesia, atau sama ke dengan Arab Saudi yang ada raja?

“Itu perlu diajar, dididik. Masalahnya sekarang, anak-anak muda kita tidak dididik begitu. Kita dididik...minta maaf saya kata, kalau parti pembangkang, dia akan mainkan isu dosa dan pahala, taat ataupun tak taat wala’ ataupun tak wala’. Itu tidak mendidik. Itu doktrin.

“Kalau yang satu lagi, ‘hang kalau tak sokong aku, habis masa depan Melayu. Betul ke? Siapa kata? Apa buktinya? Sebab itu pendidikan penting. Jangan cemas, kita mendidik, insya-ALLAH,” katanya ketika menjadi panel dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-36 bertajuk, ‘Kuasa Politik Baharu, Apa Anak Muda Mahu’, di sini, hari ini.

Menurutnya, seiring perkembangan semasa yang berteknologi tinggi, anak muda tidak lagi mengalami kekangan untuk menimba ilmu.

“Isunya adalah pendidikan politik dalam memperkasakan kita. Dulu dalam keadaan kita tidak ada media sosial, informasi pun tak banyak, jadi, medan kita terhad, wacana terhad.

“Tapi dalam keadaan sekarang, banyak ruang atau medium yang boleh dimanfaatkan seperti di media massa jadi anak muda lebih dididik,” katanya.

Dalam sesi menjawab soalan juga beliau melahirkan kekesalan susulan masih ada pihak yang tidak yakin terhadap anak muda di negara ini.

“Cemas dengan anak muda...nampaknya masih wujud dalam kalangan kita ini yang tidak yakin dengan anak muda...ada juga keadaan yang memandang rendah kepada anak muda, sedangkan anak muda boleh buat perubahan,” katanya.

Sebelum ini, ada penonton yang membangkitkan soal kebimbangannya terhadap anak muda melibatkan halal haram dalam berpolitik.

“Anak muda bikin saya cemas terutama melibatkan soal halal haram terutama dalam politik. Anak muda seolah-olah tiada 'guideline' untuk pandu mereka sama ada ia benar atau salah?

“Saya harap anak muda pilih platform yang betul,” tanya salah seorang penonton.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...