TERKINI :

Monday, August 17, 2015

Mahathir: Alamat buruk buat Malaysia jika Najib kekal sebagai PM

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat Malaysia perlu menghadapi keadaan lebih buruk apabila ekonomi negara jatuh teruk jika Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai perdana menteri.

Reaksi ekonomi pada masa ini sudahpun menunjukkan kejatuhan ketara namun ia akan lebih merosot jika Najib terus kekal, kata Dr Mahathir dalam tulisan di blog chedet.cc.

“Najib mungkin boleh membayar wang untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang tetapi dia tidak akan boleh mendapatkan dana untuk menampung pembelian popularitinya.

“Kerajaan yang dipimpinnya tidak akan dapat meminjam wang. Ekonomi negara akan jatuh. Inilah alamat buruk yang menanti rakyat Malaysia kerana Najib sudah mencuri kerajaan,” kata Mahathir.

Dr Mahathir berkata ekonomi memberi tindak balas terhadap krisis politik yang berlaku apabila kadar ringgit mencatatnya kejatuhan.

Menurutnya, kadar sebelum ini pada RM3.80 bagi AS$1 tetapi kini mencecah lebih RM4 dan dilihat terus menjunam pada masa akan datang.

"Kesannya ia menjadikan negara miskin. Membayar hutang oleh 1MDB dalam Dolar Amerika akan lebih mahal. Dan 1MDB tidak mampu walaupun untuk perkhidmatan hutangnya," katanya.

Dr Mahathir berkata, pasaran saham semua akan runtuh apabila para pelabur, terutamanya dari luar memindahkan dana mereka ke tempat yang lebih selamat.

Selain itu, beliau berkata Putrajaya kini kekurangan wang dan telah mengurangkan peruntukan bajet bagi banyak kementerian.

"Pengenalan GST hanya menyebabkan peningkatan kos sara hidup membuatkan kejatuhan nilai ringgit lebih teruk," kata Mahathir, yang pernah menjadi menteri kewangan.

Surat Bab Balak Husam sudah dijawab oleh Kjaan Negeri Kelantan

Dato Haji Husam Musa

* Saya telah menerima jawapan daripada YB Dato’ Hj Hanifa Bin Ahmad (Pengerusi Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd.

Berikut ialah surat jawapan tersebut:

Firman Allah swt yang bermaksud “Dan katakanlah: Bekerjalah kamu! Maka Allah dan RasulNya dan orang-orang yang beriman akan melihat pekerjaan kamu, dan kamu akan dikembalikan kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib dan yang ternyata, lalu diberitahukan kamu tentang apa yang kamu kerjakan” Surah At-Taubah : 105

YB Dato’

PENJELASAN TENTANG KELULUSAN PEMBALAKAN DI HUTAN SIMPAN ULU SAT YANG TERLIBAT DENGAN LALUAN LEBUHRAYA RAKYAT

Saya dengan ini merujuk kepada surat YB Dato’ (tidak bertarikh) yang saya terima pada hari Khamis, 28 Syawal 1436H bersamaan 13 Ogos 2015 jam 12:30 tengahari. Penjelasan adalah seperti berikut:

A. Faedah daripada tebangan hutan berkaitan adalah untuk Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd, Syarikat Tujuan Khas (SPV) Kerajaan Negeri yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perlaksanaan Projek Lebuhraya Rakyat. Ianya adalah antara lain digunakan untuk kos yang berkaitan Projek Lebuhraya seperti bayaran kepada konsultan dan lain-lain termasuk juga untuk kos operasi Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd.

Tiada penglibatan YB Dato’ dalam tebangan balak di kawasan yang diluluskan.

B. Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk mengeluarkan kayu di kawasan berkenaan pada 19 Oktober 2014.

Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah mengeluarkan tawaran sebutharga terbuka pada 23 Oktober 2014. Pada 8 Disember 2014, Lembaga Pengarah Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah bermesyuarat dan bersetuju menawarkan kontrak penebangan kepada syarikat Alaf Ulung Sdn Bhd berdasarkan kepada tawaran syarikat ini yang terendah.

C. Tuduhan bahawa Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah melantik Syarikat Lucky Wong sebagai kontraktor kerja penebangan balak adalah TIDAK BENAR SAMA SEKALI. Kontrak untuk kerja-kerja penebangan telah dibuat secara sebutharga terbuka seperti yang dinyatakan di para B di atas. Lain-lain soalan YB Dato’ berkenaan Syarikat Lucky Wong adalah tidak
berkaitan.

Sebanyak 2,300 tan kayu telah ditebang. Hanya sebanyak 1,700 tan telah dijual dengan nilai jualan sebanyak RM1.28juta. Setelah ditolak kos penebangan, cukai kayu, premium dan lain-lain kos Jabatan Perhutanan, hasil bersih ialah sebanyak RM465,000.00.

D. Di dalam kawasan R&R, walaupun kelulusan tebang habis diberi oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd hanya menebang pokok yang berukuran diameter 6 inci keatas, sesuai dengan hasrat Almarhum YAB Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Sila rujuk kepada suratkhabar Sinar Harian, Jumaat 14 Ogos 2015 (mukasurat 38),gambar disebelah atas adalah kawasan R&R yang jelas nampak ada tebangan terpilih.

Manakala gambar disebelah bawah adalah jajaran lebuhraya yang sudah tentu ditebang habis bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan lebuhraya dijalankan.

E. Penahanan sementara kerja-kerja penebangan di kawasan berkenaan adalah untuk membolehkan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan menjalankan siasatan hasil dari laporan yang dibuat oleh pihak tertentu. Saya juga mengadakan perbincangan dengan Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan, Pegawai Hutan Daerah Machang dan Ketua Pegawai Operasi Baldah Toyyibah
(Prasarana) Kelantan Sdn Bhd supaya siasatan yang rapi dijalankan bagi menangani masalah ini dengan segera.

Hasil daripada siasatan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, mereka telah mengesahkan bahawa tiada penebangan dibuat di luar kawasan oleh kontraktor yang dilantik oleh Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd. Maknanya, pihak Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd dan kontraktor yang dilantik tidak terlibat di dalam kes ini.

Sebanyak lebih kurang 600 tan (bukannya 1,000 tan seperti dakwaan YB Dato’) kayu yang telah ditebang tetapi belum dijual, telah ditahan sementara oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tujuan siasatan.

Walaubagaimanapun, pada 30 Julai 2015, kebenaran telah diberikan kepada Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd untuk menjual kayu-kayu tersebut sebanyak 550 tan, manakala 50 tan kayu sahaja yang masih ditahan sementara menunggu laporan siasatan dikeluarkan yang dijangka pada minggu
hadapan.

Sebagaimana dakwaan YB Dato’ bahawa kawasan ini adalah kaya, bagi memaksimakan perolehan dari sumber yang diamanahkan oleh Kerajaan ini, kawasan ini tidak dijual terus berdasarkan keluasan yang mana hasilnya adalah antara RM2,500 – RM3,000 seekar sahaja. Sebaliknya, kawasan ini telah diusahakan sendiri oleh Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd dengan melantik kontraktor untuk kerja-kerja penebangan sahaja manakala penjualan kayu dilaksanakan sendiri oleh Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd yang mana ianya dibuat secara sebutharga terbuka dengan kelulusan oleh Jawatankuasa Sebutharga Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd.

Dengan hasil bersih sebagaimana yang dinyatakan di Para C di atas,berdasarkan kawasan yang telah ditebang seluas 23 hektar (56.8 ekar), bermakna setakat ini Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah memperolehi keuntungan sebanyak RM8,200/ekar, 3 kali ganda lebih berbanding sekiranya penjualan terus kawasan dibuat.

Pihak Baldah Toyyibah Prasarana) Kelantan Sdn Bhd sedang berusaha untuk membuktikan bahawa mengusahasilkan sendiri kawasan pembalakan oleh agensi Kerajaan akan memberi pulangan yang jauh lebih baik berbanding dengan hanya menjual terus kawasan tersebut.

Sekian, saya berharap agar penjelasan di atas ini dapat memberi pencerahan kepada isu-isu yang YB Dato’ bangkitkan. Sebenarnya saya lebih suka sekiranya ada apa-apa masalah ditanya terus kepada saya, tidak ditulis dalam whatsapp kerana ia boleh mengelirukan dan menimbulkan persepsi yang
tidak baik kepada Kerajaan.

Terima kasih.

tt : YB Dato' Hj Hanifa

……………………………………………….
YB Dato’ Hj Hanifa Bin Ahmad
Pengerusi Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd

Pasanan kepada puak GHB : Jangan membawa budaya lama yang keras dan kaku.

BismillahirRahmanirRahim

PESANAN

Kepada Pendokong HARAPAN BARU (HB)

1. Jangan membawa budaya lama yang keras dan kaku.

2. Jangan menulis status atau membalas komen di FB dengan perkataan atau gambar kesat dan jijik kepada sesama rakan FB walau seteruk mana sekalipun anda dihina dan dikeji.

3. Berlatihlah menjadi seorang Islam yang baik akhlaknya samada dalam tulisan, menjawab perbualan telefon, bersemuka secara individu atau di pentas umum.

4. Jadilah anda sebagai sepohon.pokok yang manis buahnya, walaupun dilontar dengan kayu atau dijolok-jolok dengan buluh yang panjang, namun pohon tersebut tetap melontarkan buah yang manis.

5. Yakinilah bahawa segala kesabaran dan keramahan anda akan membuahkan hasil untuk mengecapi kejayaan di dunia ini dan seterusnya di akhirat nanti.

Semoga saya dan kita semua di HARAPAN BARU dapat menggerak budaya murni penuh kasih sayang dalam masyarakat  FB selepas ini.

Amanah - Peduli - Progresif

Aris bin Awang
Setiausaha Harapan Baru
Negeri Kedah

Tak tahu hal sebenar jangan cakap, tegur TMJ

Tunku Mahkota Johor menegur seorang pemimpin Umno negeri itu kerana membuat kenyataan bahawa tiada masalah antara sultan Johor dan perdana menteri.

Brigadier Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata seseorang itu tidak perlu membuat sebarang kenyataan tanpa menyedari cerita sebenar berkaitan perkara itu.

“Merujuk pernyataan yang dibuat oleh seorang ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengatakan tidak ada masalah antara sultan Johor dan perdana menteri; ini adalah pendapat saya bahawa seseorang tidak perlu membuat kenyataan tanpa menyedari cerita yang sebenar,” katanya.

Menulis di Facebook Johor Southern Tigersk Tunku Ismail juga berkata hanya ayahandanya Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sahaja yang tahu keseluruhan cerita tentang perkara tersebut.

“...dan oleh itu, buat masa ini, hanya kita perlu tahu dan tidak ada sebab untuk ia didedahkan kepada umum,” tulisnya.

Mstar kelmarin melaporkan Puad (gambar) sebagai berkata tiada sebarang masalah antara Sultan Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak

Kenyatan itu dibuat selepas muncul gambar Sultan Ibrahim dan Najib menghadiri sambutan Hari Kebangsaan Singapura di republik itu pada 9 Ogos lalu menjadi viral di media sosial.

Ia menunjukkan Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah berjalan di hadapan Sultan dan anakandanya Tunku Ismail.

"Saya bertemu dengan beliau (Najib) baru-baru ini dan beliau memberitahu saya tidak ada salah faham dengan Sultan.

"Malah, Najib turut menyapa baginda sebelum permulaan perarakan Hari Kebangsaan di Padang,” beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno bahagian di Batu Pahat.

Badan Peguam mahu RM2.6b disiasat dahulu

Buat masa ini, Majlis Peguam tidak akan mengambil bahagian dalam jawatankuasa yang dicadang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menyelia pembiayaan politik.

Apa-apa perbincangan mengenai undang-undang baru perlu menunggu selesainya siasatan yang sedang berjalan terhadap pemindahan dana 1MDB, kata Presiden Badan Peguam Malaysia, Steven Thiru dalam satu kenyataan hari ini.

Ini, terutamanya, kerana sesuatu sumbangan derma, seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak sebanyak kira-kira RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya, masih dalam definisi "suapan" di bawah Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, kata Thiru.

Langkah menubuhkan sebuah panel mengenai pembiayaan politik dibuat secara agak tiba-tiba, selepas pendedahan baru-baru ini oleh Wall Street Journal dan Sarawak Report mengenai pemindahan dana ke dalam akaun bank peribadi Najib dan pengumuman SPRM bahawa RM2.6 bilion itu adalah satu "sumbangan derma".

Malah, kata Thiru, cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa itu akan sentiasa dilihat sebagai usaha untuk mengalihkan perhatian daripada penyiasatan terhadap 1MDB, atau daripada dakwaan serius rasuah dan juga kesan daripada dakwaan-dakwaan itu, jika terbukti benar.

Cadangan itu, katanya, tidak seharusnya menjadi satu alat untuk mengurangkan kepentingan penyiasatan itu.

Majlis Peguam, katanya, tetap dengan pendiriannya bahawa tumpuan harus diberikan kepada satu siasatan bebas dan menyeluruh terhadap dakwaan yang nampaknya telah mengaitkan Najib dan siasatan itu perlu diselesaikan dengan segera.

Ia telah diiktiraf untuk beberapa waktu, katanya, bahawa terdapat keperluan untuk undang-undang bagi mengawal pembiayaan politik.

Bagaimanapun, kata beliau, tidak ada langkah-langkah yang nampaknya telah diambil berkaitan perkara itu.

Menurutnya lagi, ini bukannya masa untuk membabitkan isu-isu sampingan yang boleh dilihat sebagai tabir untuk menutup salah laku dalam perkara ini.

GHB akan tubuhkan parti baru diberi nama "AMANAH"

Parti Islam baharu diberi nama "Amanah"

Parti Amanah Rakyat akan terdiri daripada kumpulan Gerakan Harapan Baru (GHB) dan ahli badan bukan kerajaan Islam.

Parti Amanah Rakyat atau “Amanah” dijangka menjadi nama rasmi parti Islam baharu yang ditunggu-tunggu, ditubuhkan daripada kumpulan serpihan pemimpin PAS dan ahli badan bukan kerajaan Islam. Dijangka dilancarkan pada Hari Kemerdekaan, menurut sumber, parti yang berteraskan Islam itu akan menggunakan warna Gerakan Harapan Baru (GHB) sekarang iaitu oren sebagai warna tema partinya.

Nama dan logonya akan dihantar ke Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak lama lagi sebelum dilancarkan secara rasmi pada 31 Ogos.

Keputusan mengenai nama, logo dan warna parti itu dimuktamadkan pada mesyuarat di Shah Alam semalam yang dihadiri pemimpin-pemimpin Gerakan Harapan Baru (GHB), yang merupakan sebahagian daripada ahli Parlimen dan pemimpin politik PAS yang paling menonjol.

GHB adalah pelopor kepada parti baharu ini.

Menurut satu temu bual terdahulu dengan bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, keanggotaan ahli dan pemimpin PAS akan terbatal sebaik sahaja mereka menyertai parti politik yang lain.
Selain ahli PAS dari seluruh negara kata sumber itu, Amanah akan terdiri daripada pemimpin utama beberapa NGO Islam terbesar negara seperti Abim, Ikram dan Haluan.

Difahamkan hampir 70% pemimpin PAS dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan akan meninggalkan parti itu dan menyertai Amanah sebaik sahaja ia ditubuhkan nanti.

Sehingga kini, Amanah yang bakal ditubuhkan sudah sedia dengan penyelarasnya di setiap negeri dan kawasan Parlimen di seluruh negara yang terdiri daripada bekas pemimpin kanan PAS sebelum ini yang dilantik menerusi GHB.

Parti itu dijangka bekerjasama dengan DAP dan PKR membentuk pakatan pembangkang baharu selepas Pakatan Rakyat dibubarkan apabila hubungan PAS dan DAP secara rasmi berakhir pada Jun lalu.
PAS dijangka bergerak sendiri tetapi akan cuba mengekalkan hubungannya dengan PKR bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru dengan parti yang baharu pada Pilihan Raya Umum nanti.

Najib bantai Tun Mahathir depan Pak Lah di Kepala Batas

'Kalau Tun M nak kritik biarlah berasas' - Najib

KEPALA BATAS: Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan perbelanjaan RM10 juta untuk setiap pilihan raya di negara ini sebagai tidak munasabah.

Merujuk kepada kenyataan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa hanya membelanjakan kurang RM50 juta untuk kesemua lima Pilihan Raya Umum (PRU) sepanjang mentadbir negara, Najib berkata setiap kenyataan yang diberikan haruslah boleh diterima akal.

"Kalau buat kenyataan tu mestilah munasabah, dia belanja RM10 juta sahaja.

"Saya dah congak deposit kerusi Parlimen dengan DUN (Dewan Undangan Negeri) perbelanjaan minimum RM41 juta, tidak termasuk lagi papan iklan.

"Kalau nak kritik mestilah ada asas, masuk akal malah ini tidak rasional langsung," katanya ketika merasmikan mesyuarat UMNO bahagian Kepala Batas di sini, hari ini.

Perdana Menteri berdepan kritikan kerana menerima derma dana politik RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya sebelum PRU 13 pada 2013.

Dr Mahathir dalam entri blog beliau baru-baru ini menempelak dakwaan perbelanjaan lebih RM2 bilion untuk satu pilihan raya sebagai tidak masuk akal.

Katanya, beliau hanya memerlukan kurang RM10 juta bagi setiap pilihan raya malah memenangi semuanya dengan lebih daripada dua pertiga majoriti.

Beliau juga memaklumkan membelanjakan lebih RM2 bilion untuk pilihan raya di Malaysia oleh mana-mana pihak adalah salah dan pada masa sama menyuarakan kebimbangan bahawa dana politik dalam jumlah yang terlalu tinggi itu mungkin membawa kepada penipuan undi dan rasuah.

Baik punya mainan, last pasukan Khas siasat RM2.6 BILION tak sah..!

MENTERI KATA PASUKAN KHAS SIASAT RM2.6BILION TAK SAH

Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan pasukan petugas khas untuk menyiasat dakwaan wang RM2.6 bilion didepositkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah "tidak sah".

"Sejak awal, pasukan khas itu ditubuhkan secara tidak sah. Mereka tidak sepatutnya menyiasat perdana menteri atau mana-mana individu berkaitan hal itu.

"Pasukan khas asal ditubuhkan bagi melihat keseluruhan polisi sistem perbankan seperti pengubahan wang haram, aliran dana haram, pengurup wang yang menggunakan cara yang haram untuk memindahkan wang dari dalam dan luar negara, transaksi wang secara haram melibatkan pengganas dan penjualan dadah serta kelemahan yang ada di dalam sistem.

"Ini adalah sebab kenapa peguam negara, Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis terlibat," katanya dalam wawancara dengan The Star Online.

Selain itu, Abdul Rahman berkata, peguam negara tidak sepatutnya terlibat dalam penyiasatan itu demi memastikan pengasingan kuasa.

Pasukan petugas khas itu dibubarkan dengan serta merta selepas Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail telah dipecat daripada jawatan tersebut dan diganti dengan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali.

Walaupun pembubaran pasukan petugas khas itu, Abdul Rahman, yang juga menteri kabinet menegaskan bahawa siasatan masih boleh diteruskan.

Tepukan buat Muhyiddin, 'boo' untuk Ahmad Maslan

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan disambut dengan 'boo' dan ejekan sewaktu Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Pontian sekalipun beliau adalah timbalan bahagian kawasan itu.

Ia berbeza dengan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disambut dengan tepukan sewaktu ketibaannya dan ketika sampai ke kemuncak ketika menyampaikan ucapannya.

Laungan "Hidup Tan Sri!" beberapa kali turut bergema dalam dewan sepanjang beliau menyampaikan ucapan.

Bagaimanapun, Ahmad, yang juga MP Pontian di'boo' dan diejek sewaktu nama beliau disebut.

Keitka beliau diperkenalkan oleh pengerusi majlis, beliau di'boo'. Ketika Ketua Umno bahagian Hasni Mohammad menyebut nama Ahmad dalam ucapnnya, tepukan perlahan oleh hadirin.

Sewaktu Muhyiddin menyampaikan ucapan, beliau mengucapkan tahniah kepada Ahmad yang dilantik menjadi timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri. Hal ini juga mengundang ejekan 'boo' oleh hadirin.

Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno serta merta menegur hadirin supaya tidak melakukan demikian.

"Beliau timbalan ketua bahagian Umno Pontian, jangan 'boo'," kata Muhyiddin.

Ketika ditemui Malaysiakini kemudiannya, Ahmad ditanya mengenai reaksi beliau berhubung penerimaan perwakilan hari ini.

"Dua orang saja kan?" kata beliau sebelum beredar.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...