TERKINI :

Tuesday, August 11, 2015

SEDARLAH NAJIB, PENOLAKAN SUDAH ADA DI MANA-MANA!!



Shahbudin Husin, 

http://1.bp.blogspot.com/-fpLeyPVCg6U/VQgZR6KP1yI/AAAAAAABXO8/p5MgYfc_jRY/s1600/RARA%2B%2B2med.jpg
Perdana Menteri Najib Razak seharusnya lebih sedar diri ketika ini. Hakikat bahawa beliau semakin ditolak dan tidak dikehendaki lagi memimpin negara ini sudah boleh dilihat di mana-mana.

Jika selama ini penolakan itu lebih banyak tersimpan dalam hati atau lebih kerap diluahkan di kedai-kedai kopi atau dalam kata-kata melalui hujung jari, tetapi kini ia tidak lagi dilakukan secara sembunyi-sembunyi.

Sudah ada yang berani meluahkannya dalam mesyuarat perwakilan UMNO sendiri. Di Langkawi, seorang perwakilan bernama Anina Saaduddin menyifatkan Najib selama ini telah "kencing" tiga juta ahli UMNO  serta menyarankan MT UMNO membawanya segera berubat.

Di Pasir Gudang, seorang Ketua Wanita UMNO cawangan yang juga AJK Bahagian, Norwati Abdul Manaf telah menyerahkan sendiri memorandum 12 perkara kepada Najib ketika beliau hadir merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Pasir Gudang, Ahad lalu.

Memorandum yang didakwa mewakili 107 cawangan itu antaranya meminta Najib berehat daripada jawatannya dan membatalkan penangguhan pemilihan parti selama 18 bulan yang dibuat sebelum ini.

Pergerakan Pemuda UMNO Labis juag mahukan Najib berehat buat sementara sehingga siasatan mengenai 1MDB diselesaikan.

Selain itu, pelbagai cara lagi dilakukan unfuk meluahkan perasaan bagi menunjukkan penolakan itu. Ada yang membuat kain rentang, pelekat kereta, tulisan di baju dan macam-macam lagi. 

Anwar: Ini caranya Najib bayar hutang budi itu?

 
Negara di dalam krisis ekonomi dan politik, namun kerajaan BN bagai tidak mampu atau tidak mahu mengambil tindakan yang tegas dan pantas.

Dakwaan berat terhadap perdana menteri di dalam skandal kewangan 1MDB telah ditambah dengan kejadian-kejadian terkini, termasuk pemecatan peguam negara dan gangguan yang jelas terhadap SPRM.

Akibatnya nilai mata wang ringgit telah merudum ke tahap yang amat rendah dan keyakinan pelabur terus hilang; ini akan mendatangkan kesan amat buruk terhadap kehidupan rakyat.

Namun Datuk Seri Najib Razak dan pentadbiran beliau kelihatan lebih mementingkan masa depan politik diri mereka sendiri berbanding masa depan negara.

Dengan tidak memberi penjelasan dan tidak mengambil tindakan yang pantas, seluruh kabinet dan BN terlibat dan bertanggungjawab di atas krisis ini.

Khalid Samad menjawab kenapa beliau tidak menjadi seperti Khalid Al-Walid

Fastabiqul Khairat

Saya telah menerima email kiriman seorang hamba Allah yang kandungannya adalah seperti di bawah. Balasan kepada email tersebut saya kongsikan disini agar dapat dimanafaatkan oleh mereka yang berpandangan sama.

Fikirlah dgn bijaksana sesuai dgn ilmu sdr. Sejauh mna parti baru mampu menggugat? Jika sekadar kecewa maka sama seperti S46 dulu mmg dpt sambutan ahli2 umno pro ku li tetapi akhirnya mati. Mrk masih berjiwa umno dan semangat yg sama. Rasanya HB pun sama menjiwai perjuangan pas. Bertahun bersama tapi alangkah malunya bertindak begini.

Ahli2 pas yg istiqomah dlm perjuangan marah dgn sdr sbb cara adab sdr, kami tak nafikan ilmu dan ketokohan sdr dan lain2 tetapi ahli2 pas tak rela prinsip perjuangan dan pimpinan ulama dihina. Klau kami marah dan nyahkan sdr pun bkn tanda kami membuang terus. . nama sebijik khalid alwalid tetapi sikap sdr jauh sekali.

Adakah hasrat nk ke Putrajaya tercapai jika berlaku pertembungan? Ahli2 pas tidak akan biarkan pengkhianat dan munafik menghalang laluan. .sama2 kita bertempur!!

AsSalaamuAlaikum wrt.

Terima kasih di atas email tuan.

Saya tidak menganggap diri saya sehebat Khalid Al-Walid. Saya juga berharap agar tidak ada yang berasa dirinya sehebat Umar Al-Khattab.

Untuk makluman tuan, apabila Khalid Al-Walid dipecat, beliau tidak difitnah sebagai Jebon, Sekular, Liberal dsbnya terlebih dahulu. Apatah lagi dituduh sebagai munafik. Tuduhan sebegitu dijauhi ramai kerana nifaq merupakan satu sifat yang digeruni semua, khususnya untuk diri sendiri. Saidina Umar sendiri risau dirinya tersenarai sebagai seorang munafik dan pernah bertanya kepada Huzaifah (RA) mengenainya.

Saya dan sahabat HB yang lain insyaAllah akan meneruskan apa yang telah kami usahakan sekian lama sejak dulu, iaitu menjadikan perjuangan Islam sebagai perjuangan yang membela nasib rakyat keseluruhannya, yakni Islam dan bukan islam. Terpulang pada PAS jika ingin bersama atau sebaliknya.

Berhubung para ulama, perlu tuan fahami sesuatu. Tiada yang mampu menghina para ulama. Mereka tidak menjadi hina di atas sebab tindakan pihak lain. Sekiranya ulama menjadi hina, ianya merupakan di atas sebab tindakan mereka sendiri. Jangan sesekali ulama berdiri bersama pihak yang zalim atau menjadi pembela atau mengulangi dakyah mereka.

Dalam soal hubungan PAS dan HB, saya mencadangkan agar semua pihak berpegang kepada konsep fastabiqul khairat. Itu pilihan kami dalam HB. Terpulang pada tuan untuk memilih pendirian untuk PAS.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

BERSIH 4.0: TITM Buat "U-turn" Untuk Ikut Kehendak Presiden


PAS konsisten menuntut sistem pilihan raya yang adil dan bersih bagi menjamin kelangsungan sistem demokrasi dalam negara ini.

Pelbagai bantahan terhadap penyelewengan dalam pilihan raya seperti penggunaan jentera kerajaan, daftar pemilih yang dipertikaikan, persempadanan pilihan raya dan penggunaan media perdana oleh parti pemerintah sahaja adalah antara sebahagian isu dari pelbagai isu utama yang ada.

Pelbagai bentuk bantahan digunakan bagi melaksanakan tuntutan seperti menghantar memorandum, dialog bersama SPR, perhimpunan aman, dan mengumpulkan tandatangan adalah sebahagian usaha bagi menjayakan tuntutan tersebut. PAS mengambil bahagian dalam semua bentuk tuntutan secara aktif.

Tunggu arahan

PAS akan terus bersama kebangkitan rakyat khasnya anak-anak muda bagi menyatakan bantahan terhadap kemelut ekonomi, politik dan urustadbir negara kini.

Walau bagaimanapun oleh kerana kedudukan PAS kali ini bukan lagi penganjur bersama sebagaimana himpunan Bersih sebelum ini, maka parti telah bersetuju menghantar Naib Presiden PAS, YB Ustaz Idris Ahmad dan Saudara Kamaruzaman Mohamad bagi mendapatkan maklumat lanjut himpunan tersebut. Sebarang arahan kepada ahli akan dikeluarkan setelah kita mendapat gambaran sebenar format himpunan dan tentatif program sepanjang rally yang akan diadakan nanti.

Dalam suasana politik negara yang tidak stabil kini, PAS tidak akan bersetuju dengan apa jua usaha yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang yang ada, kerana ia akan diambil kesempatan oleh parti pemerintah bagi mengalih isu utama kepada tindakan provokasi bagi mencetuskan kegawatan dalam negara.

Sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Presiden, bahawa PAS tidak akan membuat kerahan atau larangan kepada ahli. Kita akan hantar wakil parti bagi mendapat gambaran sebenar format himpunan tersebut.

Kongres Rakyat

Insya Allah, bagi melunaskan maksud mendukung cita-cita perjuangan rakyat yang mahukan perubahan positif dalam negara ini, PAS akan menganjurkan Kongres Rakyat yang menghimpunkan NGO, tokoh-tokoh masyarakat, parti politik, gerakan mahasiswa dan lainnya yang bakal diadakan dalam tempoh masa terdekat bagi meneruskan agenda dan tuntutan rakyat.

Kongres ini adalah kesinambungan pelbagai himpunan parti bersama rakan-rakan NGO yang diadakan sebelum ini. Kongres ini akan dikendalikan oleh Lajnah Penerangan PAS Pusat bersama pelbagai pihak yang akan turut serta sama ada sebagai penganjur bersama atau sebagai peserta. - HARAKAHDAILY 10/8/2015

DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
10 Ogos 2015

Najib PM terbaik berbanding sebelum ini

Abdul Rahman Dahlan
KUALA LUMPUR - Tiada seorang pun daripada lima Perdana Menteri Malaysia yang memberikan perkhidmatan, bantuan, buah fikiran dan kerjasama yang lebih mantap melainkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Demikian kata Setiausaha BN Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan sambil menegaskan perkara itu adalah hakikat sebenar dan beliau mengatakan sedemikian bukan kerana ada agenda tertentu.
 
"Itu fakta, saya tidak kata perkara ini untuk tujuan tertentu, perkara itu sangat jelas kepada Sabah dan Sarawak dalam sokongan kepada Perdana Menteri.
 
"Inilah yang kami tunggu dan idam-idamkan berpuluh-puluh tahun sejak merdeka. Satu pendekatan terbaru perdan menteri untuk memberikan kuasa-kuasa autonomi yang berpatutan.
 
"Kita juga tidak boleh menidakkan dalam konteks Persekutuan ini bahawa kerajaan Persekutuan itu penting," katanya di sini, hari ini.
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berkata, lebih banyak kuasa pentadbiran membabitkan jabatan dan agensi persekutuan bakal diserahkan kepada kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak dalam usaha merangsang pembangunan di kedua-dua negeri terbabit. 
 
Najib berkata, inisiatif berkenaan juga mampu meningkatkan sistem penyampaian dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat, sekali gus menangani masalah pertindihan kuasa yang sering berlaku sebelum ini hingga menyebabkan berlaku kelewatan projek pembangunan dilaksanakan. 
 
Dalam pada itu, beliau menegaskan pertukaran Perdana Menteri bukan sahaja urusan rakyat di Semenanjung Malaysia bahkan ia perlu mengambil kira suara rakyat di Sabah dan Sarawak.
 
"Kita adalah tulang belakang kepada BN... jangan sekadar tukar Perdana Menteri kerana mereka fikir boleh tukar Perdana Menteri, pergi tanya rakan komponen, pergi tanya rakyat Sabah dan Sarawak.
 
"Bila kita buat keputusan besar seperti ini, ianya mestilah inklusif, pandangan rakyat Sabah dan Sarawak mesti dipertimbangkan," katanya lagi.

Ringgit akan menjunam jika kerajaan curiga Bank Negara

KUALA LUMPUR: Akibat krisis hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pelabur telah mula meragui integriti kepimpinan negara.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keadaan bertambah parah selepas tindakan polis menyiasat terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara dan sidang Jawatankuasa Kira-kira Awam ditangguhkan tatkala siasatan terhadap 1MDB rancak dijalankan.

"Ura-ura sedang rancak bahawa tindakan seterusnya akan disasarkan kepada Bank Negara. Tun Dr Mahathir Mohamad juga dapat menghidunya," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ia bermula sejak kemunculan blog-blog misteri sejurus pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri yang cuba membangkitkan keraguan terhadap Bank Negara dan Gabernornya Tan Sri Zeti Akhtar Aziz  hangat dipromosikan di sosial media.

Katanya, jika kerajaan melakukan apa-apa yang mencemar dan menimbulkan curiga terhadap Bank Negara dan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tanpa asas yang kukuh, nilai Ringgit dijangka akan menjunam lebih teruk, dan kemungkinan melepasi paras krisis kewangan 1998.

Justeru, beliau mengingatkan kerajaan agar berfikir sebelum bertindak dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

"Apa yang diperlukan waktu ini ialah ketelusan dan siasatan diteruskan tanpa gangguan dan bukannya tindakan membalut kertas dengan api untuk mengembalikan keyakinan pelabur," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 11/8/2015

Adik Zahid runding sistem urus 1.5j pekerja Bangladesh


Sebuah syarikat yang dimiliki oleh adik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang berbincang dengan Dhaka dan Putrajaya untuk menyediakan satu sistem pengurusan bagi 1.5 juta pekerja Bangladesh, yang Malaysia berhasrat membawa masuk bekerja di negara ini.

Real Time Networking Sdn Bhd, di mana adik Zahid - Abdul Hakim Hamidi - adalah pengerusi eksekutifnya, mencadangkan penyediaan satu sistem dalam talian di mana, dengan bayaran, pekerja boleh didaftar dan dipantau dari Bangladesh dan Malaysia.

Zahid juga adalah menteri dalam negeri, dan kelulusan bagi pekerja asing ke Malaysia adalah di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Sistem dalam talian Real Time - yang dikenali sebagai Workforce Management & Networking System (Workman) - adalah sama seperti yang disediakan oleh Bestinet, firma yang dimiliki oleh bekas menteri dalam negeri, Datuk Azmi Khalid.

Perjanjian Bestinet dengan kerajaan digantung pada awal tahun ini selepas bantahan agensi pekerjaan di negara penghantar, terhadap bayaran perkhidmatan yang tinggi.

Ketika dihubungi, Hakim mengesahkan perkara itu tetapi menekankan bahawa ia bukan satu kontrak kerajaan.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah dengan kerjasama Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (Baira).

"Kami mempunyai model sistem di mana kita akan mendapat bayaran untuk satu pakej (perkhidmatan) dan kita boleh menghantar orang (dari Bangladesh) untuk 60,000 taka Bangladesh (RM3,000), termasuk tiket penerbangan.

"Ini bukan kontrak kerajaan. Ya, kerajaan mereka perlu meluluskannya kerana ia melibatkan rakyat tetapi mereka hanya memantau," kata Hakim.

Jika diluluskan, agensi-agensi seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Manusia akan dihubungkan dengan sistem Real Time dan semua agen pekerjaan mesti melalui Real Time untuk menghantar pekerja ke Malaysia.

Beliau juga menafikan dakwaan berlaku nepotisme, dengan alasan bahawa beliau berpengalaman dalam bidang tersebut.

"Abang saya seorang menteri tetapi saya seorang ahli perniagaan. Ini sebuah negara demokratik dan saya boleh buat apa-apa pun, selain daripada menjadi pengedar dadah," katanya kepada Malaysiakini.

"Di Malaysia ni susah sangat. Mereka kata jika abang saya seorang menteri, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka mahu kami semua jadi penganggur," kata beliau yang kini berada di Dhaka.

Pemuda Umno Kedah selar ahli wanita Umno Langkawi Gelar Najib 'kencing' keterlaluan

Pemuda Kedah: Gelar Najib 'kencing' keterlaluan

Ketua Pemuda Umno Kedah, Datuk Saiful Hazizi Zainal Abidin menyifatkan tindakan seorang ahli wanita Umno Langkawi yang mengkritik keras presidennya Datuk Seri Najib Razak sebagai keterlaluan.

Malah, beliau juga kesal dengan tindakan ketua wanita bahagian itu kerana gagal mengawal keadaan sehingga mesyuarat tersebut sebagai medan melepas geram para perwakilan.

"Tindakan tersebut amat keterlaluan dan kalau tak suka sekalipun dengan tindakan presiden itu janganlah hina beliau di khalayak.

"Ketua wanita bahagian Langkawi kena ambil tindakan, kawal keadaan dan jangan biarkan mesyuarat bahagian sebagai tempat untuk lepaskan geram," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Malaysiakini semalam melaporkan rakaman Anina membuat ucapan berapi-rapi itu tersebar meluas di Internet, walaupun Najib sebelum ini berkata tidak akan berundur daripada kedudukannya kerana tiga juta anggota Umno berdiri di belakangnya.

Anina antaranya dilaporkan dilontarkan dalam mesyuarat Wanita Umno Langkawi pada Ahad.

Dalam ucapan keras dan bernada tinggi itu, Anina Saaduddin, tuan punya badan berkata tiga juta anggota Umno kini menjadi mangsa "kencing" Najib.

DAP Sedia dedah dana selepas bentang di Parlimen

http://www.siperubahan.com/data/2014/12/04/ilustrasi---foto-istimew.jpg
SHAH ALAM – DAP sedia mendedahkan dana politik partinya sekiranya ada peraturan yang mengkehendaki pihaknya berbuat demikian, kata Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Beliau berkata, saranan itu hanya akan disambut sebaik perkara itu sudah dibahas di Parlimen terlebih dahulu.

"Kita tidak ada masalah untuk menyokong pembaharuan (peraturan) itu. Tetapi bawalah dulu ke Dewan Rakyat dan buat peraturan," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Seremban itu lagi, pihaknya tidak akan mendedahkan sumber dana mereka hanya atas sebab tuntutan parti lain.

"Saya rasa  kerajaan BN cuba untuk alih isu yang berlaku dengan menuntut kita dedahkan. Sedangkan isu yang ditimbulkan adalah wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).

"Mereka (BN) sedaya upaya untuk alihkan perhatian umum mengenai isu itu kerana sudah tidak boleh jawab dengan persoalan yang ditimbulkan," katanya.

Najib sebelum ini berkata, akan mencadangkan semula usaha mewujudkan peraturan yang mengehendaki parti politik mendedahkan senarai sumber dana politik yang diterima bagi membiayai pergerakan mereka.

Katanya, cadangan itu bagi membolehkan parti politik bersikap lebih telus dan jujur dalam pengurusan dana serta sumber yang diperolehi, walaupun sebelum ini ditolak oleh pembangkang khususnya DAP.

Menurut Anthony, perdana menteri patut mendahului cadangan itu dengan mendedahkan siapa penderma RM2.6 bilion itu.

"Bukan sahaja kita hendak tahu, tetapi orang Umno sendiri juga nak tahu malah semua rakyat tertunggu-tunggu siapa penderma itu," katanya.

Kelmarin, sekutu DAP, PKR turut menyatakan kesediaan untuk mendedahkan sumber dana politik mereka kerana perkara itu telah pun diamalkan pada kongres tahunan mereka.

KEMBALINYA DUA PENGARAH SPRM BUKTI SUARA RAKYAT MASIH KERAMAT

Shahbudin Husin, 

Sekurang-kurangnya dua pengajaran yang boleh diperolehi daripada keputusan Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam mengembalikan semula dua pengarah SPRM yang sebelum ini ditukarkan serta-merta ke JPM kepada jawatan asal masing-masing.

Pertama, suara rakyat tetap suara keramat dan  mampu mengubah apa saja manakala yang kedua, menteri-menteri senior yang hanya tahu bersuara ketika membodek tetapi mengunci mulut apabila berdepan dengan kebenaran seharusnya malu dengan Khairy Jamaluddin yang lebih junior.

Lebih dari itu, apabila suara rakyat akhirnya menang dan apa yang dilakukan KJ adalah betul, menteri-menteri senior itu juga sepatutnya menghantukkan kepala ke dinding agar sel-sel otak segera bercantum dan menjadi pemimpin yang prihatin selepas ini.

Melalui keputusan terbaru KSN dan JPA itu, Bahri Mohamad Zin dan Rohaizad Yaakob akan kembali semula memegang jawatan Pengarah Operasi Khas dan Pengarah Komunikasi SPRM.

Bahri juga akan kembali mengetuai siasatan mengenai SRC International yang dilapor menyumbang RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib Razak.

Walaupun kebangkitan suara rakyat di negara kita masih baru apabila berhadapan dengan kebejatan pemimpin dan mungkin agak ketinggalan berbanding Mesir, Libya dan Tunisia atau jiran tetangga Indonesia, Thailand dan Filipina, tetapi apa yang berlaku kini memperlihatkan bahawa kekeramatan suara rakyat itu tetap ada.

Selain kuasa Tuhan, usaha, ikhtiar dan kebangkitan rakyatlah yang dapat menolak sesuatu yang buruk yang dipamerkan oleh pemimpin atau kerajaan.

Ini jawapan kenapa HADI tidak serang NAJIB!!!

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mengambil kesempatan menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Pusat daripada beberapa isu yang dibangkitkan di media sosial atas sebab lebih penting iaitu kesejahteraan agama, rakyat serta negara.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuk, walaupun ada antara isu itu merupakan kesempatan terbaik untuk Abdul Hadi menyerang, tetapi pendirian dibuat oleh Presiden PAS adalah untuk menyelamatkan negara dan mensejahterakan rakyat.

“Sikap yang ditonjolkan seperti ini menjadi satu lagi petunjuk penting Pas semakin menjadi inklusif berbanding sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd. Zuhdi turut memberi contoh sifat inklusif Pas yang kini lebih menyerlah kerana turut menjemput kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam majlis-majlis sambutan Hari Raya Puasa berbanding hanya anggota pakatan rakyat sebelum ini.

“Salah satu pendekatan yang akan diterapkan kepada organisasi akar umbi Pas ialah berikhtiar menutup ruang bermusuh atau ruang bersaing bersandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Janganlah kamu bercita-cita menemui musuh”,” katanya.

Beliau dalam pada itu menjelaskan, keputusan Majlis Syura Ulama Pas memutuskan hubungan dengan DAP membuka ruang lebih besar untuk Pas berhubung langsung dengan rakyat khususnya kaum Cina.

Jelasnya, hubungan Pas dengan kaum Cina sebelum ini dibuat melalui DAP yang bertindak sebagai jambatan penghubung tetapi kini PAS mencipta ruang sendiri tanpa memerlukan lagi perantaraan DAP mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Apa yang penting organisasi PAS di semua peringkat perlu kreatif mencipta ruang bersama dan menutup ruang bermusuh dengan mana-mana pihak kecuali terhadap mereka yang jelas chauvinist dan bersifat anti Islam,” katanya

Dr Mahathir harap SPRM teruskan niat panggil Najib jelaskan RM2.6 bilion

Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada sesi dialog di Universiti Tunku Abdul Rahman di Kajang, Selangor hari ini. Beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia meneruskan rancangan memanggil Datuk Seri Najib Razak berhubung RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.– Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 10 Ogos, 2015.
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan rancangannya memanggil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan mengenai derma RM2.6 bilion yang diterima dalam akaun peribadinya.

Gesaan tersebut dibuat Dr Mahathir susulan Putrajaya menarik semula keputusan penukaran dua pegawai atasan agensi anti-rasuah tersebut ke Jabatan Perdana Menteri hari ini.

"Ini satu-satunya perkara positif yang saya dengar ketika ini. Hakikatnya ialah apabila mereka ditukar semula (ke SPRM) adakah mereka akan memanggil Najib?

"Mereka sudah umumkan bakal memanggil Najib untuk bertanyakan mengenai sumber dana tersebut dalam akaun peribadinya.

"Saya harap dua mereka ini akan memanggil Najib untuk menjelaskannya," kata Dr Mahathir selepas dialog di Universiti Tunku Abdul Rahman hari ini.

Menteri - Dana politik hanya boleh masuk akaun parti

Paul Low Seng Kuan
Paul Low Seng Kuan

PUTRAJAYA -  Mana-mana dana politik hanya boleh dimasukkan ke dalam akaun parti bukan mana-mana akaun peribadi pemimpin parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, perkara itu penting dan ditekankan dalam perancangan untuk mewujudkan akta berkaitan dana politik di negara ini.

"Parti-parti politik boleh peroleh dana dengan pelbagai cara termasuk keahlian, kutipan derma, dana dari orang ramai dan dana dari korporat. Kita boleh benarkan syarikat korporat menyumbang kepada parti tapi ia mesti didedahkan kerana rakyat perlu tahu.

"Kita juga kena pastikan dana disalurkan bukan ke akaun peribadi ia mesti masuk ke akaun parti kerana jika masuk ke akaun peribadi, agak sukar untuk dipertanggungjawabkan (nanti)," katanya dalam satu temu bual, baru-baru ini.

Menurutnya, mutakhir ini, ahli-ahli politik dan rakyat sudah bersedia untuk menerima perubahan itu kerana ia baik untuk negara.

"Ketika saya di TI (Tranparensi Antarabangsa Malaysia), kami cuba untuk usahakan peraturan dalam dana politik ini. Memang sukar, ada banyak masalah. Tapi hari ini, berdasarkan perbincangan dengan ahli-ahli politik dan juga orang awam menunjukkan mereka sudah bersedia.

"Jadi, kami kena teliti perkara ini. Bagi memastikan kami gubal rangka yang sesuai untuk membuat peraturan itu bagi memastikan dana-dana yang tidak sepatutnya tidak memasuki parti-parti politik," katanya.

Tegasnya, sumber-sumber dana politik perlu ditapis bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh ahli-ahli politik yang menerima dana daripada sumber yang menuntut 'bayaran balik'.

Katanya, kerajaan sedang meneliti dan berusaha untuk menyiapkan kajian bagi mewujudkan akta ini secepat mungkin dan dibentangkan di Parlimen.

'Nak buat macam mana orang dah tak suka saya' - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin
PETALING JAYA - Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau terlibat dalam komplot untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, segala pandangan dan teguran yang diutarakan hanyalah untuk kebaikan parti dan bukan menjatuhkan sesiapa.

“Ada saya dengar cakap-cakap menyatakan saya tidak disenaraikan dalam Kabinet adalah kerana saya nak menjatuhkan perdana menteri.

“Saya dituduh bersekongkol dengan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng. Perkara itu sudah dinafikan oleh mereka. Jadi saya tidak perlu nafikan lagi.

“Pada hakikatnya, saya hanya menegur mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilihat amat kritikal dan sehingga sekarang masih belum dapat diselesaikan.

Tetapi nak buat macam mana, orang dah tak suka saya,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, semalam.

Najib sibuk pertahan diri, siapa tadbir negara?


SHAH ALAM - Perdana Menteri sekali lagi dinasihatkan agar bercuti dan menunaikan umrah bagi memberi ruang kepada semua pihak kembali fokus kepada tugas masing-masing.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sekiranya siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat diselesaikan sekali gus membersihkan nama Najib sekiranya beliau tidak bersalah.

"Perdana menteri kini kelihatan sibuk menyelamatkan diri di dalam Umno... isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun beliau, yang seolah-olah tidak diketahui sesiapa melainkan beliau.

"Persoalan kini timbul apakah Najib masih mempunyai masa untuk mentadbir negara, mengembalikan keyakinan pelabur dan paling penting menyelamatkan nilai Ringgit?," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesibukan Najib meliputi masa untuk menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan bekas-bekas menterinya dan pemimpin Umno.

"Beliau bukan saja terpaksa menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Khairy Jamaluddin, malah beliau disibukkan dengan tuduhan mengganggu siasatan terhadap 1MDB hasil daripada penangguhan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara serta tindakan polis terhadap beberapa pegawai SPRM.

“Ringgit pasti naik semula andai #Najib berundur…”


SUNGAI BULOH – Pengunduran Datuk Seri Najib Tun Razak dari kedudukannya sebagai Perdana Menteri didakwa bakal mengembalikan nilai ringgit yang terus jatuh sejak kebelakangan ini.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, pelabur dari dalam dan luar negara menarik kembali pelaburan mereka kerana tidak lagi yakin dengan ekonomi negara susulan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya sendiri yakin, kalau Datuk Seri Najib letak jawatan dan ada seorang perdana menteri peralihan, mata wang kita akan naik balik kerana salah satu sebab utama jatuhnya mata wang kita ialah pelabur asing tidak yakin lagi dengan Malaysia. Mereka tarik balik semua wang mereka...saham, simpan duit, pegangan syarikat, mereka jual semua.

“Lambakan jualan ringgit inilah mengakibatkan ringgit jatuh mendadak sebab mereka mahu dapatkan balik dolar mereka. Bagi saya, kalaulah beliau cuti atau letak jawatan sahaja, nilai ringgit Malaysia akan naik balik. Itu mungkin jasa beliau yang boleh dibuat sekarang,” katanya kepada Sinar Online ketika ditemui, hari ini.

Sg. Petani - 1,000 penduduk terjejas ribut

1,000 penduduk terjejas ribut
SUNGAI PETANI – Sehingga lewat petang semalam, hampir 1,000 mangsa dilaporkan terjejas akibat kejadian ribut dan angin kencang melibatkan kawasan Parlimen Merbok, Sungai Petani dan Jerai.

Difahamkan, sebanyak 63 buah rumah terjejas melibatkan lebih kurang 270 orang mangsa di daerah Kuala Muda akibat kejadian itu yang berlaku pada petang Sabtu.

Maklumat daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda memaklumkan, di Dun Tanjung Dawai sahaja, sebanyak 23 buah kampung terlibat melibatkan 41 buah rumah dan 157 orang mangsa.

Manakala, di Dun Bukit Selambau, sebanyak 15 buah rumah terjejas melibatkan mangsa seramai 80 orang.

Sementara itu, kejadian yang turut menyebabkan bumbung rumah dan beberapa gerai diterbangkan angin turut berlaku di Dun Pantai Merdeka dan Dun Sidam.

Kulim - 40 rumah rosak akibat ribut

 40 rumah rosak akibat ribut
KULIM - Sekurang-kurangnya 40 rumah di tujuh mukim di daerah ini berdepan kerugian apabila kediaman mereka rosak dilanda ribut dalam satu kejadian, petang kelmarin.

Penduduk, Fatimah Said, 68, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di rumah dan hujan agak lebat dengan angin yang kuat.

"Ketika itu saya hanya bersendirian di rumah berikutan anak dan cucu keluar.

"Saya pun tak sedar bila atap di bahagian tengah rumah dibawa angin. Bila hujan sudah reda baru saya sedar bahagian tengah rumah sudah basah dimasuki air hujan," katanya yang tinggal di Taman Bunga Raya, Padang Serai.

Menurutnya, beberapa barangan elektrik juga turut rosak akibat terkena air hujan dan kerugian dianggarkan ribuan ringgit.

"Saya tak sempat nak selamatkan apa-apa. Kejadian berlaku tanpa diduga dan sepantas kilat," katanya.

Lapan ekor gajah mengganas di Baling

Gajah ditangkap
Gambar hiasan

BALING - Lapan ekor gajah berkeliaran dan memusnahkan tanaman kelapa sawit dan pokok pisang milik penduduk di kawasan kampung Seri Ketengga, mukim Siong, Baling sejak dua hari lalu.

Ini mengakibatkan lebih 1,000 anak pokok kelapa sawit yang baru ditanam milik dua pekebun di sini musnah sama sekali, selain memusnahkan lebih 1,300 pokok kelapa sawit yang baru mengeluarkan hasil seluas 87 hektar di Kampung Seri Ketengga milik ladang Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Seri Ketengga, Md Zali Mat Piah, 56, kumpulan gajah itu dikesan sejak beberapa bulan lalu, bagaimanapun semakin agresif dan ganas sejak dua hari lalu terutama pada waktu malam.

Jelasnya, kejadian itu sudah pun dilaporkan kepada polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Wanita UMNO tuduh Najib ‘kuat kencing’, nasihat pergi berubat

umno-women_600
PETALING JAYA: Kelantangan seorang Ahli Wanita UMNO mengkritik Presiden Parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi video sensasi dan mendapat perhatian pengguna alam maya.

Menerusi sebuah video yang menjadi viral, wanita tersebut yang dikenali sebagai Alina menuduh Najib sebagai `penipu’ apabila membuat kenyataan tiga juta ahli UMNO menyokong terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Visual tersebut yang berdurasi 2.52 minit telah dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, Mohd Hanizam Yunos.

Alina berkata demikian ketika ucapan penangguhan Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Langkawi pada Ahad.

“Why Datuk, kamu nak kencing (tipu) tiga juta ahli UMNO. Datuk Seri Presiden dah kencing tiga juta ahli UMNO. Jangan kata tiga juta ini menyokong penuh kepimpinan beliau, saya minta MT (anggota Mesyuarat Tertinggi) bawa Najib pergi berubat.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...