TERKINI :

Monday, August 3, 2015

Kenapa pecat Muhyiddin, Gani, jika RM2.6 bilion cuma derma, soal PAS

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan mengapa beliau mengambil masa yang begitu lama menjelaskan berkenaan derma RM2.6 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Ogos, 2015.
PAS hari ini mengajukan 10 soalan yang perlu dijelaskan susulan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan mendesak Najib menjelaskan mengapa beliau mengambil masa yang begitu lama menjelaskan berkenaan derma itu.

"Mengapa Najib mengambil masa sebegitu lama untuk menjawab persoalan ini, lebih-lebih lagi setelah pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Gani Patail serta penahanan beberapa pegawai Bank Negara dan SPRM berkaitan dengan kebocoran maklumat siasatan?" soalnya.

Beliau merujuk kepada Muhyiddin yang digugurkan dari Kabinet sebagai timbalan perdana menteri pada 28 Julai dan Gani yang digantikan dengan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai peguam negara berkuatkuasa 27 Julai.

Tuan Ibrahim turut menggesa agar dermawan yang menyumbangkan wang itu ke dalam akaun Najib didedahkan, serta syarat-syarat yang dikenakan ke atas penerimaan derma itu dinyatakan.

"Siapa penderma yang sebegitu murah hati? Mengapakah akaun itu ditutup jikalau ia dianggap bukan satu kesalahan?

"Apakah syarat-syarat derma RM2.6 bilion? Susah dibayangkan derma sebesar ini dilakukan tanpa syarat ke akaun Perdana Menteri," katanya.

Surat Terbuka Kepada Bukan Islam Yang Pernah Sokong PAS, Tapi Kini Membenci PAS

Tuan tuan Semua,

http://2.bp.blogspot.com/-0eskwjEWNxs/UEoeivIb05I/AAAAAAABAUk/GjF4Nd3OFwQ/s1600/cina_pas2.jpg
Sedih dan rindunya bila terkenang saat saat tuan tuan yang bukan Islam mesra dengan kami. Kami juga terkenang kenangan indah ketika tuan tuan semua tanpa segan silu memakai baju berlambangkan PAS. Kami gembira sambil mengalir airmata bila melihat dari kalangan tuan tuan yang bukan islam, memanjat tiang untuk memasang bendera PAS. Saat itu terasa, antara anda dan kami sudah tidak ada lagi benteng yang memisahkan kita, kemesraan kita memang lahir dari lubuk hati yang paling ikhlas. Tetapi maafkan kami, tanpa kami sendiri duga, pemimpin kami sendiri yang merosakkan segalanya. Maafkan kami tuan

Maafkan kami tuan,

Kami sendiri bingung dan seolah putus harapan, kekadang mengeluh sendiri kenapa keadaan sekarang telah berlaku dek permainan pemimpin pemimpin jijik yang menggunakan agama sebagai alat jualan. Ke mana kami sahaja kami pergi sekarang, kami mendengar berulang ulang ucapan tuan tuan, :"tidak akan percaya lagi kepada PAS", Senyuman kami yang inginkan kemesraan dulu telah dibalas dengan senyuman hambar dari tuan tuan, maafkan kami tuan.

Maafkan kami tuan,

Jika diingat kembali, pernah satu masa kami merasa sangat gembira. Ketika RoS memainkan peranan jahat untuk mengharamkan DAP, kami merasa sangat dihargai bila DAP ingin menggunakan lambang PAS jika seandainya RoS memang menjalankan agenda jahatnya. Walaupaun iannya tidak berlaku dan tidak sempat DAP menggunakan logo PAS, tetapi kami rasa sangat dipercayai dan dihargai. Terimakasih kami ucapkan atas kepercayaan tersebut.

"Saya rasa pihak polis tak akan buat kerja gila kecuali ada pihak lain memaksa" kata Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM

Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zin berkata beliau juga terkejut apabila timbalan pendakwa raya (SPRM) mereka ditangkap polis di malam hari. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 3 Ogos, 2015.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disiasat polis Cawangan Khas selama lebih 3 jam di pejabatnya hari ini melahirkan rasa terkejut dan kesal terhadap siasatan polis ke atas siasatan mereka terhadap operasi dana sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin berkata beliau juga terkejut apabila timbalan pendakwa raya (SPRM) mereka ditangkap polis di malam hari.

"Saya cukup kesal perkara ini berlaku kerana kami menyiasat dengan sepenuh hati siang dan malam bagi mencari kebenaran.

"Tiba-tiba DPP kami diambil pada pukul 1 pagi dan ia amat menghairankan kenapa boleh berlaku perkara gila sedemikian," katanya sewaktu ditemui wartawan selepas disiasat polis di pejabatnya di Putrajaya, petang tadi.

Bahri adalah sebahagian daripada pasukan khas yang menyiasat 1MDB.

Beliau turut melahirkan rasa curiga dengan individu lain yang dipercayai berada di belakang siri serbuan polis ke atas mereka yang menyiasat 1MDB.

"Saya rasa pihak polis tak akan buat kerja gila begini kecuali ada pihak lain memaksa pihak polis melakukannya," katanya.

Maknanya laporan WSJ, Serawak Report & The EDGE benerlah selama ini..!!!

MAKNANYA BENARLAH LAPORAN WSJ, SARAWAK REPORT DAN THE EDGE SELAMA INI...
Shahbudin Husin, 

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/07/najib-WSJ-UMNO.jpg
Kita selalu melihat lambang "u turn" di jalan-jalan dan perbuatan "u turn" juga kerap berlaku dalam kehidupan seharian manusia. Di jalanraya banyak jalan susur untuk pergi ke mana-mana destinasi lain daripada jalan utama dan dalam kehidupan seharian juga kerapkali sesuatu perkara disusurkan daripada matlamat asal yang mahu dituju.

Begitulah lumrah dan rencah dalam kehidupan manusia. Hanya mereka yang teguh pendirian, sentiasa berbuat yang benar dan tidak takut dengan kebenaran saja yang tidak memilih laluan "u turn" atau jalan susur jika sudah membuat keputusan untuk melalui jalan lurus sehingga sampai ke matlamat yang mahu dituju sejak awal lagi.

Melalui penubuhan pasukan petugas khas oleh Peguam Negara sebelum ini, ia adalah untuk menyiasat dakwaan kemasukan wang berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

Selepas melakukan lima tangkapan dengan terakhir seorang despatch dan kemudian Gani Patail disingkirkan sebagai Peguam Negara atas alasan kesihatan, kita tidak pernah mendengar apa-apa khabar berita lagi tentang pasukan itu.

Cuma yang kita tahu kemudiannya tiga orang telah ditahan untuk membantu siasatan. Mereka ialah bekas pengerusi sebuah panel penasihat SPRM, Tan Sri Rashpal Singh, kakitangan di Jabatan Peguam Negara, Jessica Sidhu dan seorang yang berjawatan timbalan pendakwaraya di SPRM, Ahmad Sazilee Abdul Khairy.

SPRM : Duit RM2.6B duit derma bukan 1MDB


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak adalah sumbangan penderma.

Ia, kata suruhanjaya itu lagi, bukan berpunca daripada dana syarikat pelaburan negara 1MDB.

"Laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion telah dirujuk dan dimaklumkan kepada peguam negara," kata SPRM.

"Hasil siasatan mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sumbangan penderma, dan bukannya dari dana 1MDB," kata SPRM.

Dalam kenyataannya hari ini, SPRM juga mengingatkan bahawa badan itu hanya menumpukan siasatan terhadap dakwaan kemasukan dana ke akaun Najib dan  SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Siasatan berkaitan 1MDB dilakukan oleh pihak polis manakala Bank Negara pula meneliti hal berkaitan kaedah dan tatacara kewangan, kata SPRM.

"Bagaimanapun, siasatan berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih berjalan oleh SPRM," kata suruhanjaya itu lagi.

SPRM juga terus memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional.

"Diharap semua pihak akan bersabar dan memberi ruang kepada SPRM dalam menjalankan siasatan dengan menyeluruh," katanya.

Tiada satu sen derma p'raya masuk akaun saya - Mahathir


http://media.themalaymailonline.com/images/sized/ez/mahathir-mohamad2-080813_600_419_100.jpg
KUALA LUMPUR:
"Tidak ada satu sen pun dari wang derma untuk pilihan raya yang dimasuk dalam akaun saya," tulis bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau sedia semua akaun peribadi selama 22 tahun diperiksa oleh orang yang tidak ada kepentingan bagi mengesahkan pengakuannya itu atau sebaliknya.

Berikut tulisan penuh beliau menerusi blognya hari ini yang bertajuk Akaun Peribadi.

1. Dalam usaha menghalalkan tuduhan terhadap Najib kerana memasukkan dalam akaun peribadinya wang sebanyak RM2.6 billion yang kononnya adalah untuk pilihanraya ke-14, saya dituduh berbuat perkara yang sama. Tuduhan ini tidak berasas, semata-mata fitnah.

2. Di waktu saya jadi Presiden UMNO, Ibu Pejabat mempunyai tiga trustees, iaitu pemegang amanah. Saya adalah antara pemegang amanah ini. Pemegang amanah memiliki akaun dalam bank. Semua derma, terutama semasa pilihanraya dimasukkan dalam akaun ini. Dua dari mana-mana tiga pemegang amanah diberi kuasa untuk mengurus akaun Ibu Pejabat dan menandatangani cek apabila mengeluarkan wang.

3. Pemegang amanah ini juga dinamakan sebagai pemilik saham-saham dan hartanah milik UMNO.

4. Di waktu saya letak jawatan sebagai Presiden UMNO, saya telah arah wang tunai dalam bank dan saham-saham serta surat milik hartanah diserah kepada Dato Abdullah Badawi. Pegawai yang menyerah ialah Nor Mohamad Yacob dan Noordin Bachik.

5. Jumlah wang tunai yang diserah melebihi 200 juta Ringgit. Jumlah nilai saham dan hartanah melebihi 1.2 billion Ringgit.

6. Tidak ada satu sen pun dari wang derma untuk pilihanraya yang dimasuk dalam akaun saya. Saya sedia semua akaun peribadi saya selama 22 tahun diperiksa oleh orang yang tidak ada kepentingan bagi mengesahkan pengakuan saya ini atau sebaliknya.

7. Pada pilihanraya 1964 dan 1969, wang tunai berjumlah 20,000 Ringgit dari Ibu Pejabat diserah kepada saya untuk diagih kepada kawasan parlimen 40% dan kawasan DUN 30% tiap satu. Kerana saya tidak sanggup simpan wang tunai sebanyak RM20,000 ini, saya masukkannya dalam akaun saya, dan saya keluarkan cek kepada jawatankuasa pilihanraya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri mengikut agihan yang ditentukan oleh Ibu Pejabat. Wang ini bukan dari penderma tetapi ini adalah wang UMNO yang memang pun diberi kepada bahagian untuk kegunaan calon.

8. Di waktu saya disingkir dari parti pada 1970, Jabatan Hasil Dalam Negeri telah geledah rumah dan klinik saya. Mereka jumpa cek stub yang telah dikeluarkan oleh saya dan mereka mendakwa bahawa saya tidak lapur pendapatan saya sepenuhnya.

9. Mereka mendenda saya sebanyak RM300,000 dengan amaran jika saya bantah dan pergi ke mahkamah saya akan dikenakan denda tiga kali ganda.

10. Saya tidak pergi ke mahkamah. Sebaliknya saya merayu bahawa duit yang dimasukkan dalam akaun saya ialah dari parti. Tetapi Ibu Pejabat UMNO tidak mengaku wang itu dari UMNO.

11. Akhirnya saya dikenakan denda sebanyak RM130,000. Diwaktu denda ini dikenakan saya sudah dilantik Menteri dalam Kerajaan. Saya membayar secara beransur-ansur dan selesai bayaran semasa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri.

12. Ada sedikit perbezaan antara wang tunai sebanyak RM20,000 yang saya terima dan cek sebanyak USD 700 juta bersamaan RM2.6 billion yang dikatakan dimasuk ke dalam akaun peribadi Datuk Sri Najib.

13. Jikalau disemak perbelanjaan pilihanraya lima kali yang diadakan semasa saya Presiden UMNO, tidak ada banyak wang yang diguna, terutama peruntukan dari Ibu Pejabat. Namun BN tidak pernah menang kurang dari 2/3 kerusi di parlimen.

14. Jika sekarang UMNO perlu 2½ billion Ringgit untuk pilihanraya, ia tetap melanggar aturan peraturan dan undang-undang pilihanraya. Akaun perbelanjaan pilihanraya tiap seorang calon pilihanraya perlu dilapor kepada pihak berkuasa. Adalah salah jika ia melebihi jumlah tertentu. Saya pohon maaf jika peraturan ini sudah digugur. Ia diadakan untuk mengelak dari rasuah berlaku.

15. Saya tidak hendak soal dari mana datang USD 700 juta ini. Saya akan tunggu sehingga Auditor-General dan PAC buat lapuran terakhir, walaupun saya tidak lagi dapat terima bulat-bulat segala kenyataan yang akan diperbuat.

16. Saya tidak ingin sentuh 1MDB walaupun saya sebagai rakyat yang membayar cukai berhak untuk menyoal kewangan negara. Tetapi seperti yang saya jelaskan saya terpaksa bayar cukai pendapatan dan denda ke atas wang yang terdapat dalam akaun saya.

17. Soal yang saya ingin tanya ialah apakah Lembaga Hasil Dalam Negeri telah bertindak dengan kuasa yang diberi kepadanya ke atas wang sebanyak RM2.6 billion yang terdapat dalam akaun peribadi Datuk Sri Najib.

Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang dari PAS berhasrat sertai GHB

Mhd Nasir Yahya berhasrat sertai GHB



Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Mhd Nasir Yahya yang dilantik semula ke jawatan itu berhasrat menyertai Gerakan Harapan Baharu (GHB) selepas parti baru itu didaftarkan.

Namun, buat masa ini Mhd Nasir berkata beliau masih lagi ahli PAS sehingga keanggotaannya terbatal selepas beliau menyertai GHB secara rasmi kelak. 

"Secara teknikalnya, saya masih ahli PAS, nama saya masih dalam senarai pendaftaran ahli. GHB masih dalam proses pendaftaran dan kemungkinan besar saya akan menyertainya.

"Saya sudah pertimbangkan keputusan ini kerana fitrah saya selari dengan apa yang diperjuangkan GHB," katanya ketika ditemui selepas majlis pengakuan penerimaan pelantikan ahli Majlis MBPP di sini hari ini.

Selain Mhd Nasir, Dahalan Fazli daripada PAS turut dilantik semula sebagai Ahli Majlis Seberang Perai (MPSP) berkuat kuasa 1 Ogos lepas.

Mhd Nasir dan Dahalan sebelum ini meletak jawatan sebagai ahli Majlis itu berikutan keputusan Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-61 Jun lepas menerima usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Ditanya sama ada beliau ada memaklumkan hasrat itu kepada kepimpinan tertinggi PAS Pulau Pinang, Mhd Nasir berkata: "(Mereka) tidak dimaklumkan. Mereka boleh baca melalui akhbar, media dan Facebook. Boleh boleh baca mesej di situ".

Mengenai pelantikan semula sebagai ahli Majlis, beliau yang telah lapan tahun menjadi ahli PAS, berkata pihaknya menerima kritikan daripada sesetengah pihak berhubung perkara itu.

Menyifatkan ia sebagai lumrah kehidupan, Mhd Nasir yang pernah menjadi naib yang dipertua PAS kawasan Bukit Gelugor berkata dalam politik tidak ada istilah berkawan dan bermusuh selamanya.

- Bernama

Pembangkang sedia dedah dana politik


Parti pembangkang sedia mendedahkan maklumat berkaitan dana politik sekiranya diminta.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata pembangkang sudah bersedia sejak awal bulan lalu dan sudah sedia untuk berbuat demikian kerana ia seiring dengan dasar parti, lapor Sinar Harian.

"Malahan setiap sumbangan yang diterima itu perlu di dedah secara terbuka dan dilaporkan secara telus," Azmin dilaporkan sebagai berkata.

Sebelum ini, ada dakwaan yang mengatakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dimasukkan ke dalam akaun Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata peruntukan dalam perlembagaan Umno membenarkan presiden parti mempunyai akaun amanah bagi pihak parti.

Namun katanya, duit yang berada di dalam akaun amanah itu bukan datang daripada 1MDB sebagaimana yang cuba dikaitkan pihak pembangkang sebelum ini.

Sementara itu, Azmin berkata, pendedahan setiap dana yang diperoleh parti politik bukan sahaja melibatkan pembangkang, malah BN harus melakukan perkara yang sama bagi memastikan ketelusan dalam pembiayaan tersebut.

"Hal ini kita dapat lihat ia telah menjadi amalan di negara Jerman apabila setiap parti politik itu perlu dibiayai dengan akta dan peruntukan jelas.

"Pendedahan tersebut perlu dilakukan secara terbuka dan telus," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Akhirnya siasatan 1MDB oleh PAC ditangguhkan kesatu tarikh yang akan dimaklumkan semula

1MDB

KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berkata, prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah ditangguhkan kepada satu tarikh lain.
    
Dalam satu kenyataan hari ini, 1MDB berkata, ia menerima notis rasmi melalui Kementerian Kewangan daripada setiausaha Dewan Rakyat, yang juga setiausaha panel bipartisan itu yang prosiding yang dijadualkan, telah ditangguh ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
    
Tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini ialah 4, 5, 6, 17 dan 18 Ogos di samping 8 dan 10 September 2015, katanya.
   
1MDB berkata, ia akan memberi kerjasama penuh kepada PAC dan akan hadir prosiding pada tarikh baru nanti.     
"1MDB menghormati PAC sebagai pihak berkuasa yang sah dan forum yang sesuai untuk soalan mengenai 1MDB ditanya dan dijawab.
    
"Kami mempunyai keyakinan jawatankuasa bipartisan itu memberi peluang yang adil kepada 1MDB untuk menjelaskan kedudukan syarikat kepada pihak berkuasa sebagaimana diperlukan proses terbabit," katanya. - Bernama

Pak cik sultan Terengganu keluar PAS

Bapa saudara kepada sultan Terengganu, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim hari ini mengumumkan keluar PAS.

Beliau yang sudah enam tahun menjadi ahli parti Islam itu mengambil keputusan tersebut kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan muktamar lalu yang menolak kumpulan profesional.

Katanya, hasil dari muktamar itu menyebabkan terdapatnya pergolakan dalam PAS yang menyebabkan hala tuju perjuangan parti tidak lagi kondusif untuknya bersama dengan parti itu.

Beliau berkata keputusan yang diambil tidak ada kaitan dengan keputusan PAS kawasan itu yang memutuskan hubungan dengan anak saudaranya ahli parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Bahrin semalam.

Sebaliknya, kata Tengku Ibrahim, beliau sudah berfikir sejak sebelum ini lagi untuk berbuat demikian.

*gambar sewaktu beliau menyerah borang menyertai pas

Kabinet baharu Kabinet 1MDB – Sanusi Junid

PETALING JAYA: Bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Sanusi Junid menyifatkan Kabinet baharu yang dipilih Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ‘Kabinet 1MDB’.

Katanya, Menteri dan Timbalan Menteri yang baharu dilantik oleh Perdana Menteri terdiri daripada mereka yang menentang Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik 1MDB.

“Yang jelas orang-orang yang dilantik dalam Kabinet baharu itu adalah orang-orang yang bersuara menghentam Dr Mahathir.

‘Seolah-olah Kabinet ini Kabinet 1MDB!. Kabinet untuk mempertahankan 1MDB. Kabinet untuk menutup segala usaha untuk mendedahkan 1MDB,” katanya menerusi temubual khas yang dimuatnaik dalam blog, dirturtle.blogspot.com.

Beliau turut mempertahankan kritikan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap 1MDB yang didakwa sesetengah pihak sebagai punca Muhyiddin digugurkan Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, kritikan itu bukan sebab Muhyiddin dipecat kerana apa yang diucapkan oleh Muhyiddin itu adalah perkara biasa dan tidak sensitif.

“Saya rasa apa yang Muhyiddin kata itu tidak ada yang sensitif. Apa yang Muhyiddin kata itu perkara biasa. Yang orang duk cakap hari-hari dah.

“Muhyiddin tunjukkan patutnya begini, patutnya begitu, tiba-tiba dia dipecat.

“Saya tak fikir dia dipecat kerana ucapan itu. Saya fikir ucapan itu adalah sebab terakhir. Kerana nak siapkan senarai nak lantik Kabinet baru ini makan masa,” katanya.

Sanusi turut mengkritik pelantikan empat anggota Jawantakuasa Wang Kira-Kira Negara (PAC) sebagai Menteri dan Timbalan Menteri yang dianggapnya telah melumpukan siasatan terhadap 1MDB.

Katanya, tugas PAC lebih sebenarnya penting berbanding menjadi Timbalan Menteri.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilantik Timbalan Menteri Dalam Negeri, dan Ahli Jawatankuasa PAC, Datuk Seri Rizal Merican (Timbalan Menteri Luar ) dan Mas Emieryati Samsudin (Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) manakala Datuk Wilfred Madius Tangau dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sanusi juga mempertikaikan penamatan tugas Tan Sri Gani Patai sebagai Peguam Negara yang dibuat secara mendadak kerana didakwa mengalami masalah kesihatan.

“Pasukan Petugas pula, sorang dah kena berhenti pasal sakit. Patutnya orang yang sakit tu minta berhenti tapi ini tidak. Orang yang dikatakan dah lama sakit ni tak minta berhenti pun, dia nak menyelesaikan tugasnya, tiba-tiba dia diberhentikan. Itu kan jadi tandatanya.

“Hasil dari penyelidikan (siasatan) ini, dah ada tangkapan … dan ada yang nak ditangkap dah lari. Rakyat tertanya-tanya, dunia pun dah tertanya-tanya. Kawan-kawan saya dari luar negeri yang duk ikut (perkembangan negara kita ) pun hairan, Kenapa orang kerana dah ada tindakan dari Pasukan Petugas …. tiba-tiba ada pemecatan,” katanya.

Naib Presiden PKR dedah dana mereka datang dari mana

PKR: Dana kami dari derma, potongan gaji

PKR menjelaskan sumber dananya untuk membiayai operasi parti itu walaupun mengesyaki isu itu ditimbulkan bagi menutup isu berkaitan 1MDB dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata operasi harian, termasuk bayaran gaji dan sewaaan pejabat PKR, ditampung oleh potongan gaji 29 anggota parlimen dan 40 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka.

Katanya, wakil rakyat di Selangor dan Pulau Pinang menyumbang 20 peratus daripada gaji bulanan manakala di negeri lain sebanyak 10 peratus.

“Bagi perbelanjaan lain, PKR mengadakan majlis mengutip derma dari semasa ke semasa terutamanya menjelang pilihan raya.

“Kutipan dana dari majlis mengutip derma ini bergantung kepada kehadiran – ada yang berjaya mengutip dari RM50,000 sehingga RM500,000 bergantung berapa banyak tiket dijual,” jelasnya.

Mukhriz dedah rahsia bagaimana mereka ambil semula Kedah pru 13 dahulu

Nasihat untuk ahli Umno di negeri pembangkang

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang juga menteri besar Kedah menasihatkan ahli Umno khususnya di negeri dikuasai pembangkang supaya benar-benar menjuarai rakyat dalam usaha mengembalikan negeri itu semula kepada BN.

"Seperti kami di Kedah, ketika kami kehilangan negeri ini pada PRU12, kami ambil pandangan daripada Terengganu yang berjaya dirampas semula daripada pembangkang dan dari situ kami benar-benar faham apa sebenarnya rintihan rakyat, juarainya dan kami tunjuk bagaimana nak selesaikannya.

"Kami bergerak seperti NGO dengan berkempen di sana sini dan respons kami terima begitu luar biasa di mana kami dapati memang banyak perkara rakyat tidak puas hati dengan kerajaan negeri.

"Saya bukan nak mengajar tetapi ingin berkongsi pengalaman, saya tahu situasi dan pecahan penduduk di Selangor dan Kedah berbeza namun mungkin ada sedikit iktibar untuk dicungkil dan dijadikan suntikan semangat," katanya.

Beliau yang juga ahli Majlis Tertingi Umno menegaskan demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Tanjong Karang semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjong Karang Datuk Shamsuddin Lias, Naib Ketua Umno bahagian Tanjong Karang Datuk Sulaiman Abdul Razak dan Ketua Pemuda Umno bahagian Tanjong Karang Maruwan Ahmad.

Mukhriz juga menasihatkan ahli Umno yang hilang jawatan atau tewas dalam pilihan raya umum (PRU) supaya tidak kecewa kerana segala yang berlaku mempunyai hikmah di sebaliknya.

Apa yang penting, katanya, ialah mengambil iktibar daripada setiap kegagalan atau kekalahan.

PAC masih cukup korum dan boleh berfungsi macam biasa

Oleh ZULHAZMI SHARIFF

http://3.bp.blogspot.com/-zah_kbBONvs/VVdmpzh4ocI/AAAAAAAAKSg/sSYxc7ehUOc/s640/Pandikar-Amin-Mulia-MyKMU-M-600x359.jpg
Sebelum ini Tan Sri Pandikan Amin Mulia, Yang DiPertua Dewan Rakyat semasa menafikan kenyataan Tun Mahathir bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai Yang DiPertua Dewan Rakyat berkata, beliau hanya mahukan Parlimen yang bebas yang tidak mengikut telunjuk kerajaan. Sekarang nampaknya Tan Sri Pandikar bukan seperti yang beliau idamkan sebelum ini.

Baru ini Tan Sri Pandikar dilaporkan berkata bahawa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak boleh bermesyuarat sehingga dilantik seorang Pengerusi yang baru pada sidang Oktober nanti memandangkan Pengerusi PAC sebelum ini Datuk Nur Jazlan mengosongkan jawatan kerana dilantik menjadi Timbalan Menteri dalam rombakan Jemaah Menteri baru-baru ini.

Lebih pelik apabila Tan Sri Pandikar memetik Peraturan Mesyuarat 77 (3) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dengan mengatakan bahawa walau pun Peraturan 77 (3) memberikan kuasa kepada ahli-ahli PAC melantik seorang ahli lain sebagai Pengerusi jika Pengerusi dan Naib Pengerusi tiada akibat uzur atau sebab-sebab lain.

Mat Sabu enggan komen apa-apa berkaitan PAS lagi

 Pengerusi protem Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu berkata beliau sudah menjadi ahli biasa dan enggan mengulas apa-apa yang berkaitan dengan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 2 Ogos, 2015.
Pengerusi protem Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu menyatakan hari ini, beliau kini enggan mengulas apa-apa yang berkaitan dengan PAS.

Bekas timbalan PAS itu, lebih mesra dikenali sebagai Mat Sabu, berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang seolah-olah berpihak kepada perdana menteri sejak kebelakangan ini.

"Itu kena tanya dia (Hadi). Kena tanya isi hati dia. Saya tak nak komen atas pandangan peribadi dia.

"Saya tak nak komen lagi hal PAS. Saya dah jadi ahli biasa," katanya selepas majlis 'Dialog Terbuka #Harapanbaru bersama Mat Sabu dan Pimpinan' di Kuala Lumpur hari ini.

Selasa lalu, susulan rombakan Kabinet, Hadi menggesa wakil rakyat PAS memerhatikan terlebih dahulu barisan Kabinet yang baru diumumkan sebelum membentangkan usul tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat.

Cerita UG dari mulut UMNO iaitu Datuk Md. Alwi Che Ahmad, Jika tipu PRESIDEN PAS sila saman..!!


MH370 : Objek ditemui bertulisan Cina, Melayu

MH370 : Objek ditemui bertulisan Cina, Melayu
LA REUNION – PERANCIS. Sebuah portal berita antarabangsa, Sky News hari ini melaporkan terdapat objek dipercayai daripada besi yang ada corak dengan pemegang yang kelihatan diperbuat daripada kulit atau plastik ditemui di pantai La Reunion dengan tulisan Cina dan Melayu.

Memetik laporan Sky News, wartawannya yang bertugas di lokasi, David Bowden memberitahu objek itu ditemukan di lokasi yang berbeza dengan sayap pesawat Boeing 777, beberapa hari lalu.

Gambar objek besi yang dipercayai ada kaitan dengan pesawat MH370 itu dirakam sebelum diambil oleh pihak polis

“Bowden memberitahu meskipun tidak dapat disahkan objek itu dari pesawat malang MAS atau Boeing 777, ia memiliki tulisan China dan Melayu padanya dan mereka agak ia berasal dari dalam pesawat,” lapor portal berita itu.

Ulasan Ustaz Fawwaz Md Jan Berkaitan Gerakan Harapan Baru (GHB)

Isu Gerakan Harapan Baru(GHB) - Ustaz Fawwaz Md Jan

Ulasan Ustaz Fawwaz Md Jan Berkaitan Gerakan Harapan Baru (GHB)~Nak cari kumpulan cari yang bawa kita selamat sampai akhirat~Islam ini 1 sahaja, selain daripada Islam semuanya batil

Posted by Terus Istiqomah Bersama Kepimpinan Ulama' on Saturday, August 1, 2015
Nak baca komen KLIK SINI

Turunkan Najib tak selesai skandal, kata Pas

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
KUALA LUMPUR - Kemelut yang melanda negara ini susulan penyelewengan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad tidak akan selesai dengan menurunkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Sebaliknya, menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan sekarang perlu bertanggungjawab.
 
"Isu penyelewengan dana negara, apa jalan keluar? Kita tak mahu tumbang satu sistem jahiliah kemudian dibina satu lagi sistem jahiliah yang baharu. Yang akhirnya masuk empat tahun...lima tahun, sepenggal, dua penggal, balik kepada kerosakan...kehancuran.
 
"Sekarang isu, 1MDB...Ia tidak selesai dengan turunnya timbalan perdana menteri dan tidak selesai dengan turunnya, Najib sebagai Perdana Menteri.
 
"Kerajaan yang ada mesti bertanggungjawab, sebab itu kita kata mesti buat perubahan secara menyeluruh di mana rakyat mesti diberi keyakinan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan Peringkat Pas Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Kabinet baru atau kerajaan campuran?

Oleh Awang Azman Awang Pawi


Pembersihan kabinet daripada unsur-unsur penentangan khususnya dalam isu IMDB merupakan langkah berani dan tegas daripada Perdana Menteri. Sebelum itu, terdapat persepsi beliau lemah dan tidak tegas, walaupun beliau sudah beberapa kali menegaskan dan mengingati akan keturunannya sebagai pahlawan Bugis.

Kata beliau ketika di Sarawak, “darah dalam diri saya ini bukan darah sembarangan, saya mungkin dilihat adakalanya bersemangat diplomatik, tapi semangat kepahlawanan tetap ada dalam diri saya….Jangan pandang rendah saya, saya akan terus berjuang…” Di Sabah pula beliau membacakan falsafah Bugis bagi menegaskan pendiriannya itu yang berbunyi, “Kendati tergantung awan di langit. Telah terlanjur ku bentang layar. Walau badai datang menggunung. Walau berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua, tak kan mungkin ku berbalik haluan.” (Malaysiakini, 10 Mei, 4 Mei, 2015).

Ternyata keberanian dan ketegasan menangani pihak berani bersuara dalam kabinet tersebut dan seterusnya membawa pengguguran ahli kabinet itu dapat diukur berdasarkan beberapa aspek.

Yang pertama, sudah menjadi pengetahuan umum Umno dan BN bukanlah parti yang kuat pada masa kini. Buktinya, dibawah penguasaannya, beliau hanya mendapat 133 kerusi pada tahun 2013 berbanding era Pak lah yang mendapat 140 kerusi dalam pilihan raya 2008. Era itulah beberapa tokoh politik penting berstatus menteri Umno dan MCA tewas seperti Mohd Ali Rustam, Abdul Ghani Othman, Raja Nong Chik, Kong Cho Ha dan Chor Chee Heung.

Isu Kubur berlapis daripada sebuah masjid di Pantai Johor, MBAS beri penjelasan

MBAS tidak terima sebarang permohonan 

Mat Noh Ahmad
ALOR SETAR – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengesahkan tidak menerima sebarang permohonan daripada sebuah masjid di Pantai Johor, di sini, untuk membina kubur berlapis.

Difahamkan, pembinaan kubur berlapis itu dibuat ketika kerja menaik taraf masjid tersebut yang dilaksanakan tahun lalu.

Datuk Bandar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, beliau akan menyiasat semula perkara itu supaya ia tidak menimbulkan sebarang kesulitan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Sehingga ini saya masih belum menerima sebarang perkembangan dan permohonan daripada pihak berkenaan mengenai kerja menaik taraf masjid dan pembinaan kubur berlapis.

“Sekiranya Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) mengizinkan pembinaan itu daripada segi hukum, maka ia juga perlu melalui MBAS untuk mendapatkan kebenaran,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...