TERKINI :

Friday, July 31, 2015

PAS Masih Boleh Terima Ahli GHB Kembali Kepada Parti - Iskandar

SHAH ALAM: Anggota Gerakan Harapan Baru (GHB) masih boleh kembali menyertai PAS sekiranya mereka mahu berbuat demikian, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Beliau berkata, secara teknikalnya mereka masih lagi ahli PAS memandangkan kumpulan itu belum didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Tambah Iskandar, beliau menerima maklum balas terdapat beberapa anggota GHB yang tidak pasti sama ada mereka mahu berada di dalam pergerakan itu.

"Jika mereka mengatakan bahawa mereka tidak pasti untuk bersama dengan GHB dan mahu kembali bersama PAS, kita mengalu-alukan mereka," katanya ketika ditemui di rumah terbuka PAS Selangor pada Jumaat.

Iskandar berkata, PAS percaya ia perlu menerima ahli yang mungkin hilang keyakinan dan mahu kembali kepada parti.

"Kita tiada masalah dengan perkara itu kerana setahu kami, mereka masih lagi ahli PAS," jelas Iskandar.

Beliau menambah, PAS boleh menerima mereka selagi setia kepada parti dan prinsip.

Menurut Iskandar, GHB dilihat menumpukan untuk mendapatkan undi PAS dan Pakatan Rakyat apabila ia menjadi parti politik.

"Jika mereka jujur dengan agenda mereka, mereka sepatutnya pergi mendapatkan undi untuk Barisan Nasional (BN) berbanding memberi tumpuan kepada PAS dan Pakatan," tambahnya.

Beliau berkata, masanya sudah tiba bagi pembangkang untuk merampas kerusi BN.

Hikmah di sebalik pemecatan #Muhyiddin oleh #Najib

Oleh A Kadir Jasin


Yang terbaru menjadi "viral" - tersebar luas - di media sosial ialah gambar apa yang kelihatan seperti kertas tuduhan (charge sheet) yang melibatkan Perdana Menteri dan seorang lagi dalam kes RM27 juta duit SRC International, anak syarikat Kementerian Kewangan. Wallahuaklam.Mohon sabar kalau cerita ini panjang. Sukar hendak dipendekkan.

Jadi saya mulakan dengan membuat kesimpulan iaitu:

Penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pada 28 Julai dan penamatan undur tarikh (back-dated) perkhidmatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail 27 Julai tidak menyelesaikan apa-apa masalah sebaliknya memburukkan lagi keadaan negara dan imej Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Implikasi dua peristiwa itu serta perubahan-perubahan lain yang menyusurinya di Jabatan Peguam Negara, PDRM, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (MACC) dan PAC adalah seperti berikut:-

Perdana Menteri terselamat daripada kemungkinan diheret ke mahkamah bersabit 1MDB dan SRC International. Satu “donia” sudah dengar cerita duit SRC International yang nawaitunya untuk kegiatan CSR (tanggungjawab sosial korporat) tetapi masuk akaun peribadi Perdana Menteri.

Menyiasat dan merangka pertuduhan melibatkan wang CSR SRC International lebih mudah kerana jumlah yang lebih kecil dan melibatkan hanya dua buah bank tempatan berbanding 1MDB yang membabitkan AS$700 juta.

Najib berjaya mengekalkan kuasa eksekutif tetapi di mata khalayak yang mengerti beliau hilang kuasa moral (moral authority) untuk memerintah.

Kuasa eksekutif beliau menjadi semakin kukuh kerana pengkritik beliau dalam Umno dan kerajaan disingkirkan atau digula-gula dengan pemberian jawatan menteri dan timbalan menteri.

Pasukan Petugas Lumpuh

Sekali gus pemberhentian undur tempoh Abdul Gani memporak-perandakan penyiasatan Pasukan Petugas 1MDB. Penyiasat akan terhenti atau dialih matlamatnya, pegawai ditukar dan fail-fail hilang atau dibakulsampahkan. (TI Malaysia berkata, Pasukan Petugas itu boleh dianggap terkubur tetapi MACC berkata ia akan meneruskan penyiasatan).

Tetapi maklumat berkaitan dengan penyiasatan 1MDB akan terus tersebar kerana banyak pihak dalam dan luar mempunyai maklumat dan dokumen mengenainya. Sudah terlambat menimbus bangkai gajah kerana sudah ditokak-tokak dan cebisannya dilarikan singa, cheetah, harimau bintang, dubuk (hyena), rubah, hereng, biawak dan helang.

Dengan melantik pembesar-pembesar Umno yang kemaruk kuasa dan bermuka-muka menjadi menteri dan timbalan menteri, Najib boleh mengarahkan mereka mengesan dan membinasakan pencuri-pencuri bangkai gajah itu. Inilah yang sedang berlaku dengan rancak sekarang iaitu mengalihkan perhatian daripada menyiasat jenayah kepada memburu pihak-pihak yang mendedahkan jenayah.

Gerakan taktikal Najib juga melumpuhkan PAC. Hatta pengerusi PAC, Nur Jazlan Mohamed Rahmat, yang bunyi begitu komited, ikhlas dan berani sebelum ini tetapi dengan riang rianya menerima jawatan timbalan menteri.

Speaker Dewan Rakyat sudah pun berkata anggota baru PAC tidak akan dilantik (sehingga Dewan bersidang Oktober ini). Namun Timbalan Pengerusi PAC, Tan Seng Giaw, wajib meneruskan tugas dengan ahli yang tinggal sekali pun tidak mendapat kerjasama pengurusan Parlimen atau hasil siasatan mereka tidak diiktiraf.

Agen Bebas Muhyiddin Yassin

Dengan penyingkirannya daripada kabinet, Muhyiddin boleh bertindak sebagai free agent mewakili Umno akar umbi kerana beliau adalah Timbalan Presiden Umno.

Tetapi beliau harus berhati-hati meniti buih kerana Majlis Tertinggi yang berada dalam poket Presiden boleh menyingkirkan beliau atas alasan melanggar disiplin.

Muhyiddin boleh menjadikan Umno terangkum (inclusive) sekali lagi dengan berinteraksi dengan akar Umbi walaupun percubaan sudah mula dibuat bagi menyekat beliau mendampingi ahli.

Muhyiddin dan para penyokong beliau mungkin tidak berupaya mengubah keadaan di peringkat atas sama ada dalam Umno atau kerajaan tetapi mereka boleh mengubah persepsi dan sokongan rakyat jelata dan pengundi.

Mohd Najib mungkin berjaya berpaut kepada kuasa tetapi setiap hari berlalu ekonomi bertambah goyah, ringgit dibedal, pasaran modal lesu dan Malaysia menjadi bahan ketawa satu dunia.

Sebagai renungan, apakah berkat apabila, sebaik sahaja menteri polis, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri, menara dua Bukit Aman tiba-tiba dijilat api? Satu kebetulan yang sangat menakjubkan!

Wallahuaklam. – kadirjasin.blogspot.com

Najib sedang cari idea untuk hadapi serangan balas Muhyiddin

SEBELUM JUMAAT
http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/05/najibmuhyiddin-MT.jpg
Petang ini Najib Razak akan mengadakan pertemuan tertutup dengan Pengerusi Perhubungan Umno negeri-negeri yang mana ia dilihat sebagai penjelasan terperinci berhubungan tindakan mengejut yang dibuatnya memecat Muhyuddin Yassin sebagai TPM Selesa lalu.

Walaupun pengerusi perhubungan negeri-negeri sudah menerima hakikat yang berlaku lebih 72 jam lalu, tetapi ada yang berasakan tindakan Najib itu sebagai janggal. Makanya Najib perlu memberi justifikasi atas tindakannya.

Pertemuan petang ini juga dilihat sebagai langkah susulan sebagai menghadapi sebarang kemungkinan serangan balas daripada Muhyiddin dan penyokongnya yang tidak berpuas hati dengan tindakan Najib itu. Apa ditunggu Najib ialah gerak balas dari Dr Mahathir Mohamad. Sehingga kini Dr Mahathir masih belum berbuat apa-apa ekoran pemecatan Muhyuddin itu.

Walaupun Muhyuddin mengatakan beliau reda dengan tindakan itu, tetapi ia bukan satu kenyataan yang iklhas dan Najib boleh menerima ia sebagai jawaban Muhyiddin yang tidak perlu dipertikaikan. Kebimbangan bagi Najib juga kerana bukan sahaja dia terpaksa berhadapan dengan penyokong bekas TPM itu tetapi penyokong Shafei Afdal juga yang turut sama dipecat. Ketumbukan Muhyiddin akan menjadi lebih besar kalau ada gabungan dengan armada perang dari Shafei Afdal.

Harga runcit RON95, RON97 dan diesel turun 10 sen bagi Ogos


KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel turun 10 sen seliter bagi Ogos 2015 berkuat kuasa tengah malam ini (1 Ogos).

Harga baharu RON95 ialah RM2.05 seliter, RON97 pula RM2.45 seliter selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dan diesel RM1.95 seliter.

"Harga tersebut berkuat kuasa mulai 12.01 pagi, 1 Ogos ini," kata Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia Datuk Zulkifli Mokti.

Makluman ini sekali gus menafikan penyebaran tidak bertanggungjawab di media sosial oleh pihak tertentu yang mendakwa kerajaan telah menaikkan harga ketiga-tiga bahan api setinggi 35 sen seliter.

Dakwaan itu menggunakan "Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan" sebagai sumber maklumat tersebut.

Tak Betul Berita 'Hadi beri amaran jangan sokong undi tidak percaya'.. - Dr Ahmad Samsuri



TAJUK berita dalam akhbar cetak Berita Harian "Hadi beri amaran jangan sokong undi tidak percaya" bertarikh 31 Julai 2015 itu adalah salah dan mengelirukan.

 

Presiden PAS menyebut bahawa undi tidak percaya di parlimen adalah salah satu proses demokrasi. PAS akan menelitinya.


Bagaimana pula ia telah dispin sedemikian rupa oleh Berita Harian dengan tajuk dan isi yang bercanggah dengan apa yang disebut oleh Presiden PAS. Melainkan Berita Harian berniat jahat dan mempunyai agenda pecah perintah.

 

Kami mendesak pihak Berita Harian meminta maaf dan membuat pembetulan dalam masa 24 jam.

 

Sekiranya pihak Berita Harian enggan berbuat demikian, pihak kami akan mengambil tindakan selanjutnya.

 

Disertakan pautan temuramah tersebut:

Watch "UNDI TIDAK PERCAYA ADALAH PROSES DEMOKRASI" on YouTube -https://youtu.be/FrtduqAGCBU

DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Setiausaha Politik Presiden PAS

31 Julai 2015.

Tidak Salah Terima Wang, Ayuh Menteri UMNO BN... Kautlah selagi boleh..!!!

Shahbudin Husin,

 
Jika ada yang berasa gembira dan lega dengan pengguguran Hasan Malek daripada kabinet, harap simpan dulu perasaan tersebut kerana nampaknya "kebebalan" dan "kedunguan" mungkin bertambah dahsyat di kalangan sesetengah menteri yang baru dilantik ini.

Hanya selepas dua tiga hari dilantik semula sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri setelah digugurkan pada 2009 dulu, Azalina Othman Said muncul yang pertama, bukan saja menunjukkan ciri-ciri pengganti kepada Hasan Malek, malah tahapnya nampak lebih kronik lagi.

Azalina ternyata sudah mula  mengidap penyakit "ampu dan bodek tahap empat" sehingga sanggup memberi pandangan di luar kewarasan pertimbangan akal dan menghumban jauh ilmu serta pelajaran yang diterimanya selama ini.

Asalkan dapat ampu dan bodek, semua perkara yang lain ditolak ke tepi dan boleh dilanggar begitu saja. 

Mengulas mengenai isu wang RM2.6 bilion yang didakwa mengalir masuk ke dalam akaun Najib yang dipercayai menjadi antara punca Muhyiddin Yassin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Azalina antara lain berkata:-

-  wang sejumlah itu bukanlah suatu isu besar kerana ia adalah budi bicara orang yang memberi duit itu.

- tiada salahnya seseorang menerima pemberian sebesar RM2.6 bilion asalkan mendapat kebenaran penerima dan tidak menafikan hak mereka yang patut menerimanya.

- kalau orang derma duit pada saya suruh jaga anda semua dan simpan atas nama saya, itu hubungan saya dengan penderma...apa salahnya?

Pemberontakan Umno sudah bermula di Johor

Pemberontakan Umno bermula di Johor, tiga pemimpin sayap letak jawatan

Pemberontakan akar umbi Umno bermula di Selatan tanah air pada ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin pulang ke Pagoh hari ini selepas tiga pemimpin sayap bahagian di Johor mengumumkan peletakan jawatan mereka.

Dua ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda Umno Bahagian Tenggara hari ini meletakkan jawatan mereka susulan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Presiden Datuk Seri Najib Razak selepas tindakan drastiknya memecat Muhyiddin daripada Kabinet pada Selasa lalu.

"Peletakan jawatan ini kerana saya melihat perjuangan kepimpinan tertinggi pada hari ini terpesong jauh daripada perjuangan asal pemimpin-pemimpin terdahulu.

"Kes pemecatan Muhyiddin daripada Kabinet juga menyaksikan yang bercakap benar itu dicantas, yang membela rakyat akan dipecat," kata AJK Pemuda Umno Bahagian Tenggara Asrul Esreen Mohd Salleh dalam satu kenyataan menerusi Whatsapp hari ini.

Dalam kenyataan bersama itu, seorang lagi AJK daripada bahagian sama, Saiful Zakry Ripin juga mengumumkan peletakan jawatan daripada sayap parti tersebut.

Asrul membidas tindakan ke atas Muhyiddin sebagai pengkhianatan kepada perjuangan Umno yang sepatutnya mendengar keluhan rakyat.

"Perkara yang berlaku ini sangat ketara untuk rakyat seperti saya berasa pengkhianatan kepada bangsa saya, agama dan parti saya.

"Ini tidak sehaluan dengan perjuangan saya dan perjuangan pemimpin terdahulu, kepimpinan sekarang tidak banyak mendengar keluhan rakyat," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin sayap, Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Tebrau Suriyani Subar juga sudah meletakan jawatan pada 13 Julai lalu.

Surat peletakan tersebut sudah dihantar kepada Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Sementara itu, sumber memberitahu bakal terdapat lagi pemimpin akar umbi dari Johor khususnya daripada sayap parti yang bakal mengikut jejak sama.

Difahamkan, mereka tidak berpuas hati dengan cara layanan presiden terhadap Muhyiddin, pemimpin nombor 2 parti yang berasal dari Johor itu.

"Ini maruah orang Johor, bagaimana boleh seorang pemimpin nombor dua diberikan layanan begitu.

"Ramai lagi yang akan meletak jawatan, terutamanya daripada Johor," kata sumber Umno Johor itu.

Terdahulu sebelum kontroversi pemecatan Muhyiddin daripada Kabinet, penganjur kontroversi Nothing 2 Hide Datuk Khairul Anuar Rahmat juga sudah meletak jawatan selaku naib ketua Pemuda Umno Johor dan ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang.

Sebut wang RM2.6b bukan jenayah, kata IGP

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak menemui sebarang bentuk jenayah dalam rakaman video menunjukkan tuduhan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, ia tiada unsur jenayah kerana rakaman menunjukkan perbualan bekas timbalan perdana menteri itu hanya menunjukkan dakwaan wang dimasukkan ke dalam satu akaun.

“Ia hanya satu rakaman video pendek mengenai perbualan yang menyebut mengenai sejumlah wang tertentu dipindahkan ke akaun seseorang.

“Saya tidak fikir ia merupakan satu kesalahan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media bersama dengan pengganti Muhyiddin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur.

Khalid semalam menyebut, pasukan petugas khas yang menyiasat 1MBD akan meneliti rakaman video itu. MK

'Najib rasa kabinetnya baik, rakyat tidak'

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin menganggap kabinet terkini yang dibentuknya baik untuk kerajaan, namun rakyat tidak berkongsi pendapat itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditemui media di Kuala Lumpur hari ini veteran Umno yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu berkata pandangan itu dibuat berdasarkan pembacaan beliau di blog serta komen umum di Facebook.

"Saya rasa perdana menteri berfikir ia adalah kabinet yang lebih baik.

"Tapi saya baca blog-blog, komen Facebook dan saya tak nampak (rakyat berfikir) begitu. Kalau kamu baca semua ini kamu akan tahu apa yang rakyat fikir," katanya.

'Sebab itu saya puji Hadi' - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini memuji Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana boleh membuat "penilaian yang betul" berhubung dakwaan terhadap dirinya dan 1MDB.

Ini kerana, kata Najib, dalam isu 1MDB seseorang yang beragama Islam perlu memegang prinsip mencari kebenaran sebelum menuduh seseorang bersalah.

"Sebagai orang yang berpegang pada agama, kita mesti pegang prinsip mencari kebenaran. Kita mesti pegang prinsip tiada sesiapa bersalah selagi tak terbukti kesalahannya.

"Sebab itu saya nak puji Presiden PAS," katanya.

Menurut Najib, walaupun kedua-dua mereka bersaing kerana perbezaan politik, mereka bersependapat bahawa tiada sesiapa boleh dianggap bersalah selagi tidak dibuktikan.

"Ini presiden PAS (yang) cakap. Presiden PAS pun boleh buat penilaian," katanya ketika berucap di sebuah majlis di Putrajaya hari ini.

PAS tidak boleh bertahan jika sebagai parti politik sahaja


KUALA LUMPUR: "PAS tidak boleh bertahan lama jika hanya bergerak sebagai sebuah parti politik sahaja," kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Menurutnya, PAS mampu bertahan sejak tahun 1951 kerana ia juga bergerak sebagai sebuah gerakan Islam yang tidak kira musim dan masa.

"Ia bukan bergerak pada musim pilihan raya sahaja, tetapi sepanjang masa," ujarnya menerusi laman facebook.

Beliau berkata, apabila tutup peti undi pada hari pilihan raya, PAS terus menjalankan aktiviti dakwah dan tarbiah secara berterusan.

"Jamaah kita mesti kuat dan tersusun," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang itu.

Justeru, ujar beliau ahli dan pemimpinnya pula mesti berusaha untuk melengkapkan diri sebagai seorang yang berperibadi mulia dan cakna kepada permasalahan rakyat.

1MDB: Pasukan Petugas Khas mula diganggu



KUALA LUMPUR: "Seperti yang dijangka daripada kenyataan saya semalam, Pasukan Petugas Khas mula diganggu dengan tuduhan-tuduhan dan khabar angin yang bakal mengganggu kelancaran penyiasatan ke atas skandal 1MDB," kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, ura-ura yang sedang melanda Gabernor Bank Negara Tan Seri Zeti Akhtar Aziz selepas kemunculan blog misteri ekoran pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Gani Patail adalah buktinya.

Katanya, mereka yang menyiasat kini dilihat menjadi sasaran siasatan yang tidak tahu lagi hujung pangkal tuduhannya.

"Di sini, saya ingin mengulangi gesaan saya kepada Tan Sri Zeti agar mendedahkan semua identiti para penyiasat Pasukan Petugas Khas kepada pihak awam dengan kadar segera," ujarnya dalam satu kenyataan.

Ini, kata beliau adalah langkah terbaik untuk melindungi mereka dan membolehkan mereka terus menyiasat tanpa sebarang kerisauan melalui sokongan rakyat.

Kabinet baru ibarat drama tiada penghujung - Rafidah Aziz

FMT Reporters

Beliau memberi nasihat kepada mereka yang dilantik agar tidak membiarkan negara ini terjerumus ke dalam lohong hitam ekonomi dan politik yang merosakkan.


Rafidah-Aziz_comt_600
PETALING JAYA: Rombakan barisan jemaah menteri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Selasa diibarat seperti babak baru dalam drama yang tiada penghujung.

Luahan itu dibuat bekas Ketua Pergerakan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz di laman Facebooknya.

Katanya, mereka yang dilantik perlu memastikan apa yang dilakukan masuk akal dan bergerak ke hadapan dengan menjadikan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan.

“Jangan biarkan negara ini terjerumus ke dalam lohong hitam ekonomi dan politik yang merosakkan” tulisnya.

Dalam status berasingan bekas Menteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri meluahkan isi hatinya dengan situasi politik yang berlaku.

Am I imagining things …OR am I really hearing the collective sigh of the Rakyat on whats happening in Malaysia , and to Malaysia , now ? Some friends tell me they dont know whether to laugh or to cry.. Maybe we need to do both for our sanity”, tulisnya.

Mat Sabu ajak penyokong #GHB sertai perhimpunan #BERSIH4.0

Khairil Ashraf

Perhimpunan aman desak Najib letak jawatan dan tubuh kerajaan peralihan demi selamatkan Malaysia.


PETALING JAYA : Gerakan Harapan Baru (GHB) mengajak penyokongnya menyertai perhimpunan aman BERSIH untuk mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Pengerusi GHB, Mohamad Sabu berkata, perhimpunan aman itu juga bagi mendesak sebuah kerajaan peralihan ditubuhkan untuk mentadbir negara sehingga diadakan pilihan raya bebas demi menyelamatkan Malaysia daripada kehancuran.

Perhimpunan BERSIH dirancang diadakan pada 29 dan 30 Ogos ini secara serentak di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Negara dalam keadaan yang sangat gawat. Ekonomi Malaysia berada pada tahap terburuk.

“Hutang negara pada 2015 berjumlah RM847.9 bilion sudah meningkat sehingga 63.8 peratus daripada GDP serta berbagai kemelut ekonomi seperti peningkatan hutang isi rumah, bebanan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), ketidaktelusan dalam urus tadbir kerajaan dan berbagai lagi persoalan yang mencemaskan,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, Najib selaku Perdana Menteri bertanggungjawab bagi semua permasalahan yang berlaku di negara ini.

KPN nafi laporan Sarawak Report yang mendakwa ada pertuduhan jenayah terhadap PM

 
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan laporan Sarawak Report yang mendakwa ada pertuduhan jenayah sedang disiapkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai "tidak sah asal-usulnya" serta boleh mengelirukan orang ramai.

Dalam satu kenyataan di Twitter, Khalid meminta khabar angin itu dihentikan.

 

Khalid kemudian memuat naik satu lagi tweet bersama satu tweet oleh Ketua Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang menafikan draf kertas pendakwaan yang didedahkan oleh Sarawak Report dikeluarkan oleh jabatan itu.

Alor Setar - Enam sekeluarga diami rumah dari bahan terbuang

Enam sekeluarga diami rumah dari bahan terbuang
Zainol Seman, 50, dan isterinya, Norizah Zainol, 36, bergambar di hadapan kediaman mereka yang daif di Kampung Kubang Jawi 1, Kuala Kedah, dekat Alor Setar. Tidur beralaskan tanah, berbumbungkan atap bocor serta bertemankan binatang berbisa sudah menjadi perkara biasa bagi enam sekeluarga itu. - Foto Bernama

ALOR SETAR - Tidur beralaskan tikar getah, berbumbungkan atap bocor sudah menjadi perkara biasa bagi enam sekeluarga yang hidup dalam keadaan daif di Kampung Kubang Jawi 1, Kuala Kedah. 

Zainol Seman, 50, dan isterinya, Norizah Zainol, 36, serta empat anaknya berumur empat hingga 13 tahun telah tinggal di situ selama tiga tahun setelah merantau di beberapa tempat lain berikutan tidak mempunyai tempat tinggal.

"Sebelum menetap di sini sejak tiga tahun lalu, kami sekeluarga banyak merantau kerana tidak mempunyai tempat tinggal tetap.

“Saya mengambil tempoh seminggu untuk menyiapkan rumah ini dengan menggunakan bahan-bahan terbuang seperti papan, buluh dan kain.

"Apabila hujan lebat, pakaian dan barangan dalam rumah akan basah kerana atap dan dinding rumah yang berlubang selain atap akan diterbangkan jika angin kencang. Baru-baru ini juga ular tedung masuk melalui papan di bahagian dapur yang tidak tertutup," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...