TERKINI :

Wednesday, July 22, 2015

Tiada halangan guna pegangan Nik Aziz

http://www.roketkini.com/wp-content/uploads/2015/02/nik-aziz-650x400.jpg
KUALA LUMPUR - Semua pihak perlu menggunakan pendekatan yang baik dalam menarik sokongan rakyat terhadap mana-mana parti politik termasuk mengguna pakai pegangan bekas Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, tidak menjadi kesalahan jika kumpulan progresif Pas G18 mahu menggunakannya untuk menubuhkan parti Harapan Baru.

"Bagi saya semua orang harus guna pendekatan baik, pendekatan siapa yang lebih baik tak ada masalah, sebab Umno dan BN pun tiru pendekatan Nik Aziz.

"Umno pun terpaksa mengambil apa yang dilakukan Tok Guru, apa yang terbaik dari mana-mana (pihak) kita boleh ambil asal tidak bercanggah dengan Islam," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri di pekarangan bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Pendirian bekas Pesuruhjaya Pas Kedah itu senada dengan kenyataan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang mengatakan penubuhan Harapan Baru itu selari dengan pegangan bekas Menteri Besar Kelantan itu.

Husam berkata, Nik Aziz selama ini berharap agar agenda islah bernegara dan berkerajaan dapat diteruskan dengan keyakinan kerajaan sedia ada wajib digantikan secara total.

Jumpa Tok Guru di lubang kubur, kata Nik Abduh

Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Abduh. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB

KOTA BHARU - Nik Abduh Nik Abduh Aziz mengecam sesetengah bekas pimpinan Pas yang menggunakan nama ayahandanya yang juga bekas Mursyidul Am Pas  Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menghalalkan tindakan menubuhkan parti baru.

Ketua Pemuda Pas itu berkata, tindakan itu seolah-olah menipu diri sendiri dan ahli Pas sudah pasti menyedari pemimpin berkenan tidak bercakap benar.

"Ahli Pas tahu mereka sedang bercakap bohong, jumpa Tuan Guru di lubang kubur nanti,"katanya ringkas kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu  Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun Allahyarham Nik Abdul Aziz sentiasa menyokong penuh PR tetapi tidak pernah menggadaikan prinsip yang dipegangnya.

"Pada saya tidak wajar menggunakan nama tokoh yang meninggal dunia untuk menyokong pendirian kita apatah lagi pendirian tersebut untuk menghancurkan parti itu sendiri,"katanya yang pernah menjadi setiausaha Akhbar Nik Abdul Aziz dari 2010 hingga 2013.

Dalam nada sindiran kepada Gerakan Harapan Baru, Ahmad Fadhli berkata,  sikap berprinsip dan tidak mudah putus asa tunjang kepada perjuangan Nik Abdul Aziz seperti mana isu perlaksanaan hudud.

"Allahyarham menyokong penuh tindakan dan hasrat kerajaan negeri untuk meneruskan perjuangan menguatkuasakan hudud selepas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa kerajaan pusat akan memberi laluan kepada Kelantan.

"Bukan isu mempercayai janji kerajaan pusat tetapi untuk membuktikan komitmen Kelantan dan Pas yang tidak pernah undur di dalam isu ini (hudud).

"Malah, Tok Guru pernah menyatakan bahawa jika hudud menyebabkan DAP keluar PR, hasrat itu tetap diteruskan kerana ia merupakan dasar perjuangan parti ini (Pas),"katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fahdli mencadangkan agar Pas melucutkan keahlian pemimpin veteran Pas Kelantan,  Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang merupakan kerana secara terang-terangan  menyerang Pas ketika berucap dalam satu majlis penerangan Harapan Baru baru-baru ini.

Mahfuz masih setia dengan Pas, bukan Harapan Baru

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau masih setia bersama Pas dan barisan kepimpinan baharu parti itu.

"Saya masih Yang Dipertua Pas kawasan Pokok Sena, itu saja saya boleh bagi tahu," katanya dengan ringkas kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri di pekarangan Parlimen, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang tewas jawatan Naib Presiden Pas pada muktamar parti itu, baru-baru ini sudah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat untuk menjaga Hal Ehwal Parlimen.

Beliau sebelum ini dikatakan lantang bersuara seperti kumpulan progresif Pas atau G18, namun Ketua Whip Parlimen Pas itu masih mendapat tempat dalam parti itu.

Ketika ditanya mengenai sebarang pelawaan Harapan Baru terhadapnya, beliau bagaimana enggan mengulas lanjut, sambil mengulangi masih mengepalai Pas Pokok Sena.

"Saya masih YDP Pas kawasan Pokok Sena, itu saja saya boleh kata," ujarnya.

Sementara itu, Mahfuz turut menyerahkan soal bai'ah atau sumpah janji setia Ahli Parlimen dan Adun yang menyertai parti Islam baharu itu kepada Pas Pusat.

"Soal bai'ah saya serahkan kepada kepada golongan ulama (kerana) ia bukan bidang saya," ujarnya.

Ditanya mengenai sebarang usaha untuk memujuk wakil rakyat Pas dalam kumpulan G18 agar kembali setia kepada parti itu, beliau bagaimanapun berkata kepimpinan baharu perlu melakukan sesuatu dengan segera.

"Saya tak boleh kata apa-apa, apa yang berlaku kepada melibatkan kepimpinan sekarang terpulang kepada mereka apa yang harus mereka lakukan,"
katanya lagi.

Isu jatuhkan Najib sudah dispin

http://media.themalaymailonline.com/images/sized/ez/20150706_Najib_02_620_394_100.JPG
Tampaknya para pendokong Najib Razak tidak mudah kekeringan idea dalam merekayasakan strategi untuk mempertahankan perdana menteri itu. Serangan Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib juga bukan mudah untuk mencapai kemuncaknya. Mahathir diletakkan sebagai dewa penyabut nyawa Najib, tetapi sehingga kini masih gagal.

Satu-satu masa keadaan menunjukkan kedudukan Najib sangat mencemaskan, tetapi sekejap kemudian Najib seakan mendapat kekuatan baharu semula. Lantaran itu saya menyifatkan peperangan di antara Najib dan Mahathir tak ubah seperti perbalahan antara bokbon dengan ular senduk, di mana mereka sama handal dan punya senjata rahsia masing-masing.

Terbaharu berlaku pemanipulasian keadaan, atau pun spin - memusingkan keadaan sebelum ini kepada keadaan baharu yang menampakkan simpati kepada Najib Razak. Dalam usaha ini menyebabkan isu utama mengenai kehilangan wang 1MDB sebanyak RM42 billion dan juga "pencurian" wang dikatakan ada kaitan dengan 1MDB sebanyak USD700 juta (RM2.62 billion) sudah mulai hilang dengan tektik pemusingan isu ini.

Demikian juga kemasukan wang RM2 juta ke dalam akaun Rosmah Mansor yang diaanggap memelikkan (sebenarnya tidak pelik), sudah dilupai.

Kini orang mula tertumpu kepada persepsi baharu yang dibuat oleh pendokong Najib, kononnya ada konspirasi oleh pihak tertentu untuk menggulingkan kerajaan. Usaha ini dilakukan oleh orang tertentu di luar negara, kata mereka.

Sekurang-kurangnya dua bekas Ketua Polis Negara juga turut mengambil bahagian membuat tanggapan baharu ini bagi menyakinkan rakyat mengenai pusingan itu. Dengan strategi ini mengharapkan rakyat akan membela Najib dan membenci para konspirator itu dan pembangkan yang ditarik dalam permainan ini. Pusiangan isu ini meringankan kemarahan rakyat kepada Najib.

Plot ini direka cita hanya dengan mengambil kenyataan liar kononnya ada pemimpin pembangkang telah mendapat maklumat mengenai Najib dan juga kerajaan Malaysia di luar negara. Maklumat itu digunakan untuk menjatuhkan kerajaan. Walhal maklumat itu masih bersifat kabur dan prejudis. Pada saya pemberian maklumat kabur itu juga satu lagi bentuk perniagaan melumayakan.

Sebenarnya tidak timbul kalau isu yang menjadi riuh randah kini ia adalah satu konspirasi untuk menggulingkan kerajaan. Apa yang berlaku ialah usaha untuk menggulingkan Najib sebagai perdana menteri. Semua pihak kena memahami situasi ini dan tidak mudah dikelirukan dengan persepsi liar itu.

Isu-isu berhubung ketidaktelusan dalam 1MDB, pendedahan berlaku penyonglapan wang ke dalam akaun peribadi Najib dan isterinya, adalah isu untuk menyerang Najib sebagai PM. Isu itu mahu menggelupurkan Najib sebagai perdana menteri. Hakikat ini diakui sendiri oleh bekas PM Dr Mahathir Mohamad apa yang didesak ialah Najib berundur.

Menggulingkan Najib dengan mengguling kerajaan (UBN) dua perkara yang berbeza yang tidak boleh disamakan. Menggulingkan Najib menjatuhkan seorang individu manakala menggulingkan kerajaan menjatuh dan menukarkan sistem pemerintahan. Ia berbeza sama sekali. Apa yang berlaku kini usaha untuk menjatuhkan Najib.

Mahathir dan mereka yang sewaktu dengannya mahu Najib berundur kerana PM itu sudah hilang integriti dan gagal mentadbir negara dengan baik. Mereka mahukan Najib diganti dengan seorang tokoh lain yang boleh menyelamatkan keadaan negara.

Dr Mahathir dan mereka yang lain juga masih mahukan Umno dan BN kekal berkuasa. Ironisnya lagi kemahuan agar Najib dan isterinya berundur adalah untuk menyalamatkan kerajaan Umno-BN yang ditinggalnya itu. Mahathir perpendapat kalau Najib kekal di kerusinya, menyebabkan kerajaan UBN yang bertahan selama lebih 55 tahun akan ghuyub.

Jelas mereka yang spin isu yang berlaku hari ini kononnya wujud konspirasi untuk menggulingkan kerajaan dibuat oleh mereka yang barang kali sudah mendapat upah daripada "kerajaan" Najib. Apakah wang upahan untuk mempertahankan Najib itu diambil dari sebahagian RM42 billion wang 1MDB yang dikatakan masih ada tetapi entah di mana itu?  [wm.kl.10:29 am 21/07/15]

Nukilan mso.im at KLIK SINI

Projek untuk dana pertahankan Kelantan?

EKSKLUSIF
 


Seorang
ahli perniagaan asal Kelantan dikata diberi kontrak memajukan sebidang tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan syarat kontrektor berkenaan akan menyediakan dana kepada Pas Kelantan untuk mengekalkan kerajaan Kelantan pada pilihan raya akan datang.

Tanah yang diperuntukan itu merupakan bekas tapak kilang sebuah syarikat luar negara yang sudah tamat tempoh pajakannya. Nilai tanah yang terletak di Bangsar itu mencecah ratusan juta ringgit.

Penganugerahan tanah berkenaan kepada kontrektor asal Kelantan itu masih belum terdedah kepada umum. Bagaimana pun cerita mengenainya sudah menjadi cakap-cakap dalaman.

Kontra pemberian itu jelas menunjukkan sudah ada persefahaman awal di antara Umno dengan Pas untuk sama-sama menerajui Kelantan.

Dalam pada itu ada maklumat mengatakan perundingan awal untuk memberikan tanah itu kepada ahli perniagaan berkenaan melibatkan salah seorang ahli parlimen dari Kelantan? [wm.kl.9:05 pm 22/07/15]

Nukilan
mso.im
at KLIK SINI

WSJ Sedang Mencabar Pahlawan Bugis

oleh

http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2015/07/najibrakyat.jpg
Najib Razak barangkali merupakan Perdana Menteri Malaysia yang akan tercatat dalam sejarah kerana paling banyak mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin pembangkang dan media yang tidak sehaluan dengannya.

Sehingga ini, sekurang-kurangnya tiga pemimpin pembangkang iaitu Pengerusi DAP Selangor Tony Pua, Naib Presiden yang juga Setiauasa Agung PKR Rafizi Ramli dan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming telah disamannya.

Ketiga-tiga mereka juga adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Pandan dan Taiping.

Media yang disamannya pula ialah Harakahdaily dan Malaysiakini.

Jika akhbar perniagaan The Wall Street Journal (WSJ) juga turut disamannya dalam waktu terdekat ini, ia akan menjadi pihak keenam yang diambil tindakan undang-undang Najib.

Semalam tempoh 14 yang diberi oleh Najib kepada penerbit WSJ terhadap tuntutan penjelasannya sama ada laporan akhbar itu bermaksud Najib menyeleweng atau sebaliknya sudah pun berakhir.

WSJ tidak memberi sebarang respon  atau "bo layan" terhadap tuntutan Perdana Menteri dan ianya secara jelas bermaksud mereka hanya ingin berhujah dan mengemukakan bukti-bukti mengenai pengaliran masuk dana RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib sebagaimana dilaporkan sebelum ini di mahkamah saja.

Ia adalah cabaran terbuka yang sedang dilontarkan oleh WSJ terhadap Najib sama ada berani meneruskan saman atau sebaliknya. Dan sepatutnya sebagai Pahlawan Bugis yang gagah berani, waima kononnya sehingga bumi berkeping dua sekali pun, tindakan saman tidak harus dilengah-lengahkan lagi.

Namun peguam Najib, sepertimana yang dilaporkan oleh media, sedang menunggu arahan selanjutnya mengenai perkara tersebut.

Sekarang segala-galanya terserah kepada Najib, dunia sedang menanti sama ada beliau berdarah Bugis sejati atau tidak lagi.

Menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam dan tempoh pentadbirannya juga baru melepasi enam tahun, tetapi sejarahnya telah terukir dengan enam tindakan undang-undang tentulah merupakan satu lagi "mercu tanda" kukuh segagah KLCC dan Putrajaya yang bakal diingati tentang makna sebenar kebebasan dan keterbukaan yang diamalkannya.

Tidak seperti Perdana Menteri sebelumnya, mereka juga berhadapan dengan kritikan dan serangan media, tetapi jarang sekali memilih untuk mengambil tindakan saman. Ini kerana sebagai ketua negara dalam sebuah negara demokrasi, kritikan, serangan dan kadang-kadang fitnah, adalah lumrah serta asam garam dalam kehidupan seharian.

Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Razak dan Tun Hussein mungkin tidak banyak menerima serangan, kritikan dan fitnah kerana negara ketika itu masih di peringkat awal pembangunan dan masyarakatnya belum begitu berkembang, tetapi harus diakui Tun Mahathir dan Tun Abdullah hampir sepanjang masa pentadbirannya tidak pernah sunyi dengannya.

Berapa banyak agaknya tindakan saman yang diambil oleh Tun Mahathir dan Tun Abdullah kepada pemimpin pembangkang serta media di era pemerintahan mereka?

Wibawa dan hebatnya seorang Perdana Menteri yang hampir seluruh kehidupannya ditanggung oleh cukai rakyat bukanlah dengan menutup mulut pengkritiknya melalui tindakan undang-undang, sebaliknya sejauh mana mampu memberikan penjelasan terhadap setiap perkara yang dibangkitkan.

Sebab itu, antara punca Tun Mahathir terus disanjung ialah keupayaannya memberi hujah dan penjelasan terhadap apa juga isu yang ditujukan terhadapnya. Di eranya, beliau bukan saja dituduh memiliki kekayaan luar biasa, menghilangkan wang negara, membantu kroni dan mengamalkan nepotisme - sesuatu yang tidak banyak bezanya dengan Najib, malah dituduh "maha zalim" dan "maha firaun".

Setiap tuduhan, tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepadanya, Tun Mahathir hanya memilih untuk memberi jawapan dan penjelasan yang mampu meyakinkan rakyat saja, bukannya menyaman mereka.

Menjadi pemimpin, lebih-lebih lagi ketua negara, tidak banyak bezanya dengan mendirikan rumah di tepi pantai. Deru dan pukulan ombak adalah mainan seharian. Bunyi dan mainan ombak juga adalah penyeri dan hiburan sehari-hari.

Seronokkah berumah di tepi  pantai jika tiada bunyi ombak yang didengar dan dirasai setiap hari?

Orang yang memilih berumah di tepi pantai biasanya hanya perlu membina struktur rumahnya lebih kukuh bersesuaian dengan cabaran cuaca dan pukulan ombak yang mungkin boleh membawa kerosakan, tetapi tentulah amat ganjil dan "poyo" jika  tinggal di tepi pantai tapi membina benteng penahan ombak di tepi laut lantaran tidak mahu terganggu dengan desirannya. (SH 22/07/2015)

WSJ pertahan laporan, peguam Najib timbang langkah seterusnya

http://media.themalaysianinsider.com/assets/uploads/articles/NAJIB_RAZAK_130415_TMINAZIRSUFARI_03.jpg
Peguam Datuk Seri Najib Razak sedang memikirkan tindakan seterusnya yang akan diambil terhadap The Wall Street Journal (WSJ) selepas akhbar itu mengulangi pendiriannya berdiri teguh di belakang laporannya yang jutaan ringgit dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

Najib akan dinasihatkan langkah berikutnya untuk diambil selepas mereka mengkaji jawapan daripada WSJ dan penerbitnya Dow Jones & Company, kata peguam perdana menteri Wan Azmir Wan Majid kepada The Malaysian Insider dalam satu kiriman teks melalui SMS.

"Saya tidak boleh mengulas perkara ini sehingga saya melihat jawapannya," kata Wan Azmir, yang mengendalikan arahan menghantar surat kepada WSJ itu, sambil menambah beliau kini berada di luar negara.

Dow Jones hari ini berkata ia sudah memberi respons kepada permintaan penjelasan daripada peguam yang mewakili Najib, lapor Malay Mail Online memetik jurucakap penerbit itu.

Jurucakap itu berkata, penerbit itu mempertahankan kesahihan laporannya. – 22 Julai, 2015.

Nik Amar - Pakatan baru pembangkang nie 'Silap-silap mati dalam kandungan, keluar cacat'

PAS akan mengambil sikap 'tunggu dan lihat' cadangan penubuhan pakatan baru pembangkang yang dilaporkan akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, "Tunggu ia tubuh dulu (sebelum beri komen)..silap-silap mati dalam kandungan atau keluar cacat, mana kita tahu," katanya sinis.

Beliau berkata adalah pramatang untuk mengulas penubuhan pakatan baharu itu memandangkan ia belum direalisasikan.

"(Pakatan baharu pembangkang) Tidak tubuh lagi...siapa yang hendak tubuh dan siapa yang terlibat, kita tidak tahu lagi," katanya.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sebuah pakatan baru pembangkang yang akan bekerjasama dengan semua kumpulan progresif akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Anwar, yang juga ketua umum PKR dilaporkan dalam kenyataan menerusi peguamnya, sedang berusaha ke arah mengukuhkan pakatan yang akan merangkumi semua kumpulan progresif, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti gabungan BERSIH, Abim, Ikram dan Gerakan Harapan Baru yang bakal ditubuhkan.

Penubuhan pakatan baru pembangkang itu dikatakan tidak melibatkan PAS.

-Bernama

'Gerakan' usah risau kata #HarapanBaru

Kerisauan parti Gerakan tentang Harapan Baru menggunakan nama 'Gerakan' tidak berasas kerana ia bukan sebahagian daripada nama perikatan longgar itu, kata salah seorang pemimpinnya, Khalid Samad.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata demikian ketika ditanya tentang bantahan Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng, kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung perkara itu, hari ini.

"Perkataan 'gerakan' itu bukan kata nama khas. Ia bagi menggambarkan Harapan Baru ini sebagai satu gerakan sosial.

"Jadi, ketakutan mereka itu tidak berasas," katanya

Katanya, orang ramai mungkin akan keliru dengan penggunaan perkataan itu oleh Harapan Baru.

Menjawab perkara ini, Khalid berkata perkataan 'gerakan' bukan harta intelek parti Gerakan.

"Dia tiada hak membantah kerana perkataan itu bukan hak milik cipta mereka.

"Jika sekali pun ia hak milik mereka, ia tiada dalam nama kita," katanya.

"Mungkin mereka mahu orang tahu yang mereka masih wujud," katanya lagi dengan nada menyindir.

IGP: Polis tangkap 'Papagomo Original'

Pemilik laman Facebook 'Papagomo Original', yang menuduh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kerana meminta rasuah berhubung rusuhan di Plaza Low Yat, telah ditangkap.

"Syabas Jabatan Siasatan Jenayah D5 berjaya tangkap Papagomo Original di Perak," tulis beliau dalam Twitternya.

Syabas JSJ D5 @PDRMsia berjaya tangkap Papagomo Original di Perak 1:45 PM - 22 Jul 2015

133 46

Khalid Abu Bakar @KBAB51 Follow

Sebelum itu, beliau juga menafikan berkomunikasi dengan 'Papagomo Original'.

"Saya tak ada whatsapp dengan dia. Itu fitnahnya.

"Saya menafikan (bahawa) saya pernah berwhatsapp dengan orang ini ataupun beruk ini," katanya kepada wartawan di Shah Alam pagi ini.

Beliau turut menjeaskan bahawa pegam kepada penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang menguruskan blog asli Papagommo, telah membuat laporan polis menafikan anak guamnya mempunyai kaitan dengan laman 'Papagomo Original'.

"Peguamnya telah buat laporan. Kita sedang menyiasat tuan punya (Papagomo Original). Biarlah kami menyiasat," katanya.

Wan Muhammad antara tiga individu yang disiasat bawah Akta Hasutan berhubung rusuhan di luar Plaza Low Yat.

Pas yang langgar bai'ah bukan kami - Khalid Samad

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad tidak akan menceraikan isterinya kerana PAS Selangor tidak pernah mengangkat sumpah bai'ah sedemikian jika ahlinya bertindak keluar daripada parti itu.

Bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu sebaliknya membidas parti Islam itu yang disifatkannya "melanggar bai'ah kepada ahlinya" dan lari daripada perjuangan asal.

"Parti yang langgar bai'ah, bukan kami. PAS yang lari daripada perjuangan sebenar," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya di Parlimen hari ini.

Khalid merupakan salah seorang daripada kumpulan progresif PAS yang menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB), yang akan menjadi tapak kepada penubuhan gabungan parti politik pembangkang yang baharu.

Beliau menafikan ada mengangkat "bai'ah cerai isteri" seperti yang dikatakan, menjelaskan yang sumpah tersebut tidak dimasukkan dalam bai'ah semasa pilihan raya umum 2013 (PRU13) lalu.

"Masa PRU13, sumpah cerai isteri tidak termasuk dalam bai'ah PAS Selangor," katanya.

Mengenai kemungkinan dipecat daripada PAS susulan menyertai GHB, Khalid berkata, keputusan muktamad terletak di tangan parti.

Beliau bagaimanapun mengakui menyedari risiko terkeluar daripada parti serta-merta dengan penyertaannya dalam parti baharu itu.

"Kalau tak dipecat pun, jika saya menyertai kumpulan baharu ini, secara automatik saya pun terkeluar daripada PAS," katanya. – 22 Julai, 2015.

Anwar: Muafakat politik lebih utuh selamatkan M'sia

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan usaha mewujudkan permuafatakatan politik yang lebih utuh bersama pelbagai NGO progresif termasuk Gerakan Harapan Baru demi meneruskan perjuangan menyelamatkan Malaysia.

Menurutnya, negara kini terus berada dalam krisis yang semakin teruk termasuk nilai ringgit yang merudum, dakwaan rasuah dan skandal kewangan yang belum pernah disaksikan sejak Merdeka lagi, walaupun kerajaan BN terus menafikannya.

"Di saat genting ini, rakyat Malaysia perlu bersatu dan bertekad untuk menyelamatkan negara kita," tegasnya dalam satu perutusannya melalui peguamnya.

"Kita sedang berusaha mewujudkan muafakat politik yang lebih utuh, dan akan bekerjasama dengan semua gerakan progresif termasuk NGO seperti BERSIH, ABIM, IKRAM dan Gerakan Harapan Baru yang baru sahaja diwujudkan.

"Permuafakatan ini merupakan kesepakatan kumpulan-kumpulan yang komited kepada reformasi dan perubahan, yang akan memberikan pilihan yang benar-benar demokratik dan adil kepada Rakyat," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Malaysia supaya mengetepikan segala pertimbangan dan perbezaan yang lain sebaliknya memberikan fokus kepada perjuangan untuk menyelamatkan Malaysia.

Bila Pakatan 2.0 wujud..mana satukah pilihan PKR, GBH + DAP atau PAS?

PKR perlu utamakan Pakatan 2.0, bukan Pas

SHAH ALAM – Kerjasama politik PKR dengan Pas dijangka tidak akan berkekalan sekiranya Pakatan 2.0 ditubuhkan selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pendaftaran Harapan Baru sebagai parti politik baharu tidak lama lagi.

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi menegaskan PKR perlu memberi keutamaan kepada rakan komponen dalam Pakatan 2.0 terlebih dahulu sebagai sebuah gabungan bagi menghadapi PRU14.

“Kalau sudah wujud satu Pakatan baharu, dia (PKR) kena bantu parti komponen yang kita persetujui, keutamaan mesti diberi kepada parti komponen dulu.

“Bermakna ia (PKR) akan kena hadapi satu pihak saja (PR 2.0), (Pas) tak boleh ambil satu komponen (untuk bekerjasama), mesti ada satu persetujuan untuk bantu-membantu dalam gabungan terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Dalam pada itu, Phahrolrazi juga berkata, pertembungan Pas dengan calon Harapan Haru tidak dapat dielakkan pada pilihan raya akan datang khususnya di kerusi yang pernah dimenangi pemimpin progresif Pas atau G18 pada PRU13 lalu.

“Pertembungan itu mungkin berlaku, Pas bukan sahaja kena hadapi Harapan Baru bahkan gabungan baru dalam Pakatan 2.0.

“Kita akan pergi sebagai satu gabungan seperti BN, pada masa itu Pas pergi (bertanding) sebagai sebuah parti sahaja berbanding Harapan Baru dalam gabungan,” ujarny

Dalam pada itu, beliau meletakkan keyakinan tinggi bahawa harsat G18 untuk menubuhkan parti Islam baharu itu akan menjadi realiti

“Setakat yang saya turut serta dalam setiap perbincangan itu, Insya-ALLAH akan menjadi realiti, setakat ini komitmen mereka begitu tinggi.

“Sambutan akar umbi mahukan parti politik baharu, asasnya untuk membina semula gabungan PR baharu yang telah terbubar,” jelasnya.

Ditanya tentang hala tuju Ahli Parlimen dan Adun Pas yang menyertai Harapan Baru, beliau berkata perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat entiti itu minggu ini.

“Saya akan cadangkan dalam mesyuarat supaya mereka ini membuat perbincangan khusus, mungkin sesetengahnya tak bersedia ke depan, kita nak tengok apa dia halangan-halangan untuk mereka ke hadapan dari sekarang.

“Saya mahu bawa dalam perbincangan itu supaya dapat selaraskan pendirian Ahli Parlimen dan Adun yang ingin menyertai parti baharu ini.

1MDB: CEO The Edge Beri Keterangan Kepada Polis

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan penerbit The Edge, Ho Kay Tat telah memberikan keterangannya kepada pihak polis berhubung pemilikan dokumen berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ho berkata, kesemua dokumen itu telah diserahkan kepada Bank Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bagi membantu siasatan mereka.

"Saya juga telah memberi keterangan kepada JSJK," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ho berkata, The Edge memiliki dokumen-dokumen berkaitan dengan usahasama 1MDB dengan PetroSaudi International selepas mengadakan pertemuan dengan seseorang yang sedia memberi penerangan berhubung perkara itu awal tahun ini.

Beliau tidak mendedahkan sama ada individu berkenaan merupakan bekas eksekutif PetroSaudi, Xavier Justo yang ditahan polis Thailand kerana cuba memeras ugut bekas majikannya.

Justo didakwa telah bertemu dengan beberapa pemimpin pembangkang dan pihak media, termasuk Ho dan pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

"Individu ini menunjukkan kami beribu-ribu emel dan lampiran dokumen. Kami membaca kesemuanya dan kesahihannya diyakini kerana jumlahnya yang besar dan kemasukan emel.

"Kami mempunyai seorang pakar forensik IT (teknologi maklumat) yang mengesahkan bahawa tiada sebab untuk bimbang bahawa kesemuanya adalah palsu.

"Apa yang kami baca mengejutkan kami. Apa yang sepatutnya menjadi usahasama bagi membawa manfaat dari segi ekonomi kepada negara tidak lebih daripada satu skim penipuan berbilion ringgit dari Malaysia oleh satu kumpulan kecil rakyat Malaysia bersama rakan asing mereka," kata Ho.

Pada Selasa, The Edge kini bersedia ke mahkamah untuk mempertahankan artikelnya berhubung firma pelaburan 1MDB dan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

"Kami ingin mengulangi apa yang telah dinyatakan sebelum ini bahawa kami bersedia mempertahankan apa yang disiarkan berkaitan Jho Low dan 1MDB," kata akhbar kewangan itu dalam catatan editorialnya pada Selasa.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...