BUKIT KAYU HITAM - Beberapa pegawai kerajaan yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand dikesan sering masuk ke negara jiran dalam waktu kerja dan ada yang menyewa rumah di pekan-pekan negara itu, kata Penasihat Khas Perdana Menteri Mengenai Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) Datuk Mohd Johari Baharum.

Beliau bimbang tindakan pegawai kerajaan itu boleh menjejaskan kawalan keselamatan di kawasan sempadan.

"Saya tahu ramai pegawai kerajaan yang pada waktu bertugas berada di sana (Thailand). Ini yang membuatkan hendak melaksanakan tugas susah, kerana mereka sering berulang-alik ke Thailand.

"Saya juga tahu ada pegawai kita yang menyewa rumah di seberang sana (Thailand). Lepas bertugas balik sana.

Ini kerana kadar sewa (rumah) murah di sana," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di kem Batalion ke-5 Rejimen Sempadan di sini malam tadi.