Ada yang menamakan perubahan saff kepimpinan sebagai kejayaan mengembalikan PAS kepada “landasan yang betul” – kononnya berubah kembali seperti asalnya. Kata-kata ini seolah-olah menuduh pimpinan sebelum ini telah menyimpang dari landasan asal PAS.
Maka ahli menunggu-nunggu supaya pembaharuan dan perbezaan ini dizahirkan. Pada masa sama, mereka menunggu juga penjelasan berhubung penyimpangan yang telah dilakukan pimpinan lama.
Mereka ingin tahu sama ada pendekatan almarhum Tuan Guru Yusuf Rawa, Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Aziz turut dianggap sebagai suatu penyimpangan dari landasan asal PAS.
Usul Dewan Ulama
Persoalan usul DUPP ini terus dipolemikkan oleh saf pimpinan baru. Seolah-olah ingin lari dari kenyataan. Ianya merupakan persoalan yang akan menentukan hidup mati Pakatan Rakyat tetapi malangnya satu kata putus masih tidak mampu diberikan oleh saf pimpinan baru.
Ketua Pemuda pula mula mengejek DAP dengan jolokan seolah-olah DAP adalah perempuan yang tak boleh melafazkan talak dan hanya mampu menunggu dicerai.
Tetapi mungkin dia lupa bahawa PAS sekarang ini yang dilihat terencat tindakan kerana membuat usul tetapi tidak berani melaksanakannya. Oleh itu, dikhuatiri jolokan yang sama lebih tepat diguna pakai terhadap PAS sendiri.