Pemilik syarikat bas lapor polis

ALOR SETAR - Pemilik syarikat bas persiaran tampil membuat laporan polis susulan penyebaran viral pelajar tahfiz dan anak yatim dari sebuah pusat tahfiz di Jitra ditinggalkan di tepi jalan sewaktu mengikuti rombongan ke Melaka, petang kelmarin.

Berdasarkan maklumat viral terbabit, pemandu bas dikatakan menghalau semua pelajar tahfiz setelah diminta mematikan lagu dangdut yang dipasang semasa perjalanan.

Susulan itu, laman rasmi syarikat bas itu dihujani dengan pelbagai luahan kesal terhadap tindakan terbabit.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, pengadu membuat laporan setelah terbaca dalam laman Facebook sekitar jam 2.02 petang, semalam yang mengatakan bas milik syarikatnya terlibat dalam kes meninggalkan penumpang yang terdiri dari sekumpulan pelajar dan kakitangan pusat tahfiz itu.