TERKINI :

Tuesday, May 12, 2015

Najib bakal ikut jejak langkah Pak Lah?



DATUK Seri Najib Razak juga mungkin senasib Tun Abdullah Ahmad Badawi. Cuma membezakan Pak Lah diasak dari segenap penjuru selepas BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum ke-12, Mac 2008.

Najib selamat buat seketika biarpun undi popular Pakatan Rakyat (PR) 51.3 peratus mengatasi BN (48.7 peratus) pada PRU-13.

Sedangkan pencapaian Pak Lah lebih baik daripada Najib ketika PRU ke-12. BN masih bertahan dengan undi popular lebih 50 peratus.

Pada pilihan raya tersebut, BN memperolehi 52.2 peratus berbanding PR – 47.8 peratus. Pak Lah juga memecah rekod pencapaian BN sejak PRU 1959 apabila mendapat peratus undi 63.9 peratus pada PRU 2004.

Sedangkan PR mengumpul undi sebanyak 36.1 peratus. Kejayaan ketika itu memberi keselesaan seketika Pak Lah di puncak kuasa.

Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menulis, beliau sukar untuk menemui Datuk Seri Najib Razak bagi meluah isu terbuku di hati, ketika Najib di posisi Timbalan Perdana Menteri.

Pakatan akan perintah negara jika Najib gagal tangani isu 1MDB - Tun M


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat dilihat akan mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 jika kerajaan gagal menangani isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan segera.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia menjadi faktor penarikan sokongannya sendiri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkesan.

"Apabila saya mula mendengar berkenaan 1MDB, saya berasa keadaan sudah menjadi amat serius. Pada masa itu maklumat tidak banyak. Saya terpaksa buat keputusan untuk hantar kepada Najib surat menyatakan saya tidak sokongnya lagi.

"Najib hanya mengarah orang berdekatan dengannya supaya saya tarik balik surat saya. Kerana ia tidak dedah penarikan sokongan saya, terpaksalah saya dedah sendiri.

Video rakaman & Transkrip ucapan Kit Siang yang berceramah menolak Hukum Allah yang dikatakan Nik Abduh

TRANSKRIPSI PENUH CERAMAH LIM KIT SIANG DI KOTA BHARU, 10 MEI, YANG MENCETUSKAN KEMARAHAN KUMPULAN PRO UMNO DLM PAS

Meneliti ucapan yang menjadi kontroversi (baca dengan teliti dan tenang). Berikut transkrip ucapan YB Lim Kit Siang semasa Ceramah Perdana di Padang Perdana, Kota Bharu pada 10 Mei 2015 anjuran Pas Kws Kota Bharu.

 -------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Terima kasih MC YB Baihaki dan YDP PAS Kota Bharu, YB Cikgu Rahim, Timbalan Presiden PAS YB saudara Mat Sabu, S/U Agung PKR YB Rafizi, YB Zailah dan pemimpin- pemimpin Pakatan Rakyat, saudara-saudara dan saudari, selamat malam salam sejahtera dan salam ubah.

Dalam dua tiga hari ini apa menjadi tajuk berita besar, dua tiga hari ini, skandal 1MDB dan masalah skandal penjualan tanah di KL kepada Lembaga Tabung Haji bukan? Itu tajuk berita besar dan selepas itu pun ada lagi satu dua tajuk besar.

Hari ini nampaknya ada satu blog yang ditulis oleh Zaid Ibrahim, bekas Menteri. Dia kata daripada Jepun dia dapat maklumat bahawa ada satu perjumpaan sulit di Milan. Kenapa di Milan? Siapa ada di Milan? Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin sekarang berada di Milan Itali. Dia ikut Zaid Ibrahim, dia dapat maklumat bahawa ada satu mesyuarat sulit Tan Sri Muhyiddin dengan Tengku Razali mengenai kemungkinan untuk menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri.

Benar tak benar dia kata pun tak tahu. Dia tak tahu, saya pun tak tahu lah. Tapi apa yang kita tahu ialah Perdana Menteri kita di Tawau Sabah hari ini malam ini. Dan dia sudah mula berperang dengan Tun Dr Mahathir. Dan dia cabar Dr Mahathir bahawa jangan kacau dia, dia rela lawan balik. Mungkin esok apabila dia jumpa dengan Ketua Bahagian Umno akan perkembangan yang berikut.

Ungkapan "Kita Akan Selalu Bincang" Petanda Najib Mulai Bimbang

Shahbudin Husin,


Apakah yang dapat disimpulkan daripada mesyuarat MT UMNO semalam di sebalik beberapa penjelasan yang diucapkan Najib Razak kepada media sebaik saja mesyuarat itu berakhir?

Adakah semuanya sudah beres dan keakraban kembali seperti sedia kala apabila Najib berkata semua ahli MT memberi sokongan penuh kepada beliau dan timbalannya, Muhyiddin Yassin?

Apakah hubungan Najib dengan Muhyiddin sudah pulih dan mereka benar-benar tiada masalah lagi hanya dengan adanya pertemuan hati ke hati pada sebelah pagi sebelum mesyuarat semalam?

Kenapa ketika bercakap dengan media wajah Najib tidak begitu ceria manakala Muhyiddin kelihatan masam mencuka?

Semua orang sedar sebelum mesyuarat MT semalam banyak tembakan telah ditujukan kepada Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO terutama berkaitan isu 1MDB, Tabung Haji dan kesannya kepada sokongan rakyat.

Muhyiddin, Zahid Hamidi, Shafie Apdal, Hishammuddin, Khairy Jamaluddin dan beberapa pemimpin peringkat bahagian tampil satu demi satu meluahkan kebimbangan mereka tentang kedudukan semasa UMNO.

Siswazah antara 400,000 individu belum bekerja di Malaysia

Menurut perangkaan, 161,000 siswazah berusia antara 20-24 tahun masih lagi mencari pekerjaan. – Gambar Reuters, 12 Mei, 2015.
Menurut perangkaan, 161,000 siswazah berusia antara 20-24 tahun masih lagi mencari pekerjaan. – Gambar Reuters, 12 Mei, 2015.

Siswazah yang menyelesaikan pengajian mereka sejak 6 bulan adalah antara 400,000 individu yang sedang menganggur dalam negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Katanya, menurut perangkaan, 161,000 siswazah atau 8.8% belia, berusia antara 20 dan 24 tahun, masih mencari pekerjaan.

Walaupun kadar pengangguran rendah, kata beliau kerajaan melancarkan beberapa program untuk menambah peluang kerja seperti 'Jobs Malaysia' dan Skim latihan 1Malaysia.

Abdul Wahid menyatakan demikian semasa menyampaikan tinjauan ringkas mengenai status ekonomi Malaysaia pada Sesi Dialog Tokoh-tokoh Perniagaan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Najib digesa jawab soalan hutang 1MDB

Rafizi Ramli
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa menjawab beberapa soalan susulan laporan mendakwa 1Malaysia Development‎ Berhad (1MDB) perlu membayar hutang yang dipinjam dari bank-bank tempatan sebanyak RM3.6 bilion menjelang September ini.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendakwa, melalui maklumat tidak rasmi ‎yang dikumpulkannya, situasi itu amat membimbangkan kerana terma-terma pinjaman itu amat membebankan rakyat.

Sehubungan itu, beliau tampil dengan tiga persoalan yang dituju kepada Najib.

"Apa cagaran yang telah dibuat oleh 1MDB untuk mendapatkan pinjaman ini? Maklumat saya peroleh menyebut cagaran pinjaman ini adalah simpanan wang di bank BSI di Singapura yang sebelum ini dilaporkan tidak wujud. Jika cagaran ini tidak wujud, ada kemungkinan besar 1MDB perlu mendapatkan dana lain untuk menggantikan cagaran itu.

"Adakah benar Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan telah mengeluarkan satu surat sokongan atau surat makluman‎ mengenai pinjaman ini? Saya dimaklumkan satu surat sokongan telah dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia yang membolehkan pinjaman ini diluluskan. Apakah terma-terma surat sokongan itu?

"Adakah benar kadar faedah bagi tempoh setahun itu ialah 11 peratus? Jika benar, kadar ini sudah mencecah kadar 'overdraf' dan menunjukkan terdesaknya 1MDB," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kembali apabila 1MDB perlu membayar hutang, kerajaan terpaksa menyuntik wang atau satu urus niaga yang merugikan rakyat.

"Pada Mac lalu, kerajaan terpaksa menyuntik RM950 juta dalam bentuk 'standby credit' yang kebetulan diluluskan beberapa minggu sebelum 1MDB perlu membayar hutang.

"Pada Mei pula, Tabung Haji (TH) membeli hartanah di Tun Razak Exchange (TRX) dari 1MDB pada kadar untung berlipat kali ganda kepada 1MDB yang kebetulan dimuktamadkan beberapa minggu sebelum 1MDB pelu membayar hutang.

"Saya yakin jika rakyat tidak mendesak Datuk Seri Najib berlaku telus mengenai hutang RM3.6 bilion yang perlu‎ dibayar 1MDB September ini, lebih banyak dana rakyat dan harta kerajaan yang akan disuntik ke dalam 1MDB untuk membayar hutang," dakwanya lagi.

Mat Sabu sokong Hadi 'pertahan' PM

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyokong pendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya Datuk Seri Najib Razak terus berkhidmat sebagai sebagai perdana menteri dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan.

Bagaimanapun, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menegaskan, Najib sepatutnya membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum dijalankan dan perdana menteri itu mendapatkan mandat baru daripada rakyat.

"Saya bersetuju dengan kenyataan presiden supaya Najib tidak meletak jawatan.

"Meletakkan jawatan menampakkan beliau lari daripada tanggungjawab dia," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Mohamad yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata, Najib perlu berdepan sendiri dengan rakyat bagi merungkai sebarang isu yang timbul dan bukannya menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada orang lain.

Beliau diminta mengulas kenyataan terdahulu Abdul Hadi (gambar) hari ini yang dilaporkan menggesa Najib terus berkhidmat sebagai perdana menteri memandangkan beliau dipilih melalui sistem pilihan raya.

Hadi: Najib tak perlu undur

Datuk Seri Najib Razak patut terus berkhidmat sebagai perdana menteri kerana beliau dipilih melalui sistem yang adil, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, Najib tidak harus tunduk pada tekanan dan harus diberi peluang menyelesaikan masalah dihadapi, lapor The Star Online.

Hadi juga berkata Najib patut diberi peluang kedua untuk menghabiskan tugasnya sebagai pemimpin nombor satu negara sehingga cukup penggal perkhidmatan.

Anggota Parlimen Marang berkata tidak guna memberi tekanan kepada Najib susulan kontroversi sekitar 1MDB, syarikat pelaburan negara cetusan ilham perdana menteri.

Beliau juga dilaporkan berkata, memberi tekanan supaya Najib berundur tindakan memalukan kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi.

Harapan tinggi kepada PAS terhempas

Oleh A Shukur Harun

Demikian ramai pendukung PAS melihat dengan penuh kekecewaan akan wajah PAS masa kini. Ada yang sangat bimbang, malah marah.

Wajah parti Islam yang sudah berumur 61 tahun itu kelihatannya, tidak ceria, kusut masai, murung bagaikan pesakit kronik yang sukar sembuh dan penuh masalah yang tidak terselesaikan,

Sepatutnya parti itu dilihat teguh, meyakinkan kerana sudah begitu berpengalaman serta menempuh pelbagai cabaran yang hebat sepanjang sejarahnya.

Pendukung PAS berhak merasakan bimbang, kecewa, malah marah atas apa yang berlaku di dalam PAS yang akan bermuktamar ke-61 awal tahun depan. Mereka selama ini menggantungkan harapan tinggi kepada PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang boleh membela ummah.

Malah golongan bukan Islam banyak memberi sokongan sejak Pilihan Raya Umum ke-12 dan 13 kerana konsep “PAS For All” yang didukung oleh PAS.

Tetapi kini, semua harapan mereka terhempas, justeru PAS dilanda krisis berat yang hingga kini belum ada sebarang usaha untuk memulihkannya. Konsep “PAS For All’ entah ke mana.

Dari jurang krisis itu tercetuslah label melabel, kata-kata seperti barua, Islam sekular, munafik haraki, malah syaitan serta umpat keji dan kata-kata kesat yang dahsyat

Ada pula tuduhan kononnya wujud golongan di dalam PAS yang berusaha untuk menyelewengkan dasar Islam, lari dari perjuangan asal PAS, konon hendak menjadikan PAS sebagai parti sekular dan pelbagai lagi tuduhan, malah fitnah yang tidak pernah kita fikirkan boleh tercetus di dalam jemaah PAS di mana pendukungnya melalui tarbiah – usrah, tamrin, mukhayyam, pelbagai kuliah mengenai pembentukan akhlak sejak puluhan tahun.

Ramai yang bertanya di mana menghilangnya nilai ukhuwah, persaudaraan Islam yang dibina sekian lama di dalam jemaah PAS yang selama ini menjadi nilai paling mulia di dalam warga PAS. Kini semuanya musnah. Ada ahli yang jujur menitiskan air mata mengenangkan hal ini.

Ada pihak yang mengumpamakan krisis di dalam PAS ini seperti kapal raksasa “Titanic British”, yang musnah di lautan Atlantik kerana terlanggar batu salji yang sangat besar ketika belayar di lautan itu.

Pembuat kapal itu dengan angkuhnya memberitahu, kononnya tidak ada satu pun makhluk di bumi ini yang boleh memusnahkan kapal hebat itu kerana ia dibina sedemikian rupa.

Kapten kapal itu pula, ketika dalam pelayaran, dengan angkuh tidak mahu mendengar nasihat beberapa pakar lautan di dalam kapal Titanic itu sendiri yang menasihatinya supaya mengubah laluan disebabkan laluan yang hendak ditempuh banyak batu besar salji yang sangat merbahaya, yang boleh memusnahkan kapal itu jika melanggarnya.

Akhirnya Titanic itu melanggar batu besar itu dan tenggelam, semuanya tidak dapat diselamatkan, termasuk ahli orkestra yang menghiburkan penumpang kapal itu.

Kini kapal Titanic yang hebat itu hanya menjadi sejarah. Tenggelam bersama keangkuhan manusia, kaptennya tidak mendengar nasihat dan menentang kehendak alam.

Jika krisis di dalam PAS ini tidak ditangani segera maka parti itu akan kehilangan haibah dan izzahnya sebagai parti Islam tersohor.

Perlulah dikenal pasti segera akan masalah yang ada di dalam PAS, Iaitu perpecahan yang dicetuskan oleh perbuatan label melabel, kata-kata seperti barua, Islam sekular, munafik haraki, malah syaitan serta umpat keji dan kata-kata nista yang sangat buruk, ditambah sikap berpuak-puak yang merebak hingga di peringkat cawangan dan kawasan.

Malah ada lagi fitnah besar yang menuduh konon ada golongan yang berpendapat bahawa ada pihak yang sanggup menggadaikan Islam demi “rakus” mengutamakan kemenangan terlebih dulu. Juga menuduh ada pihak yang berpendapat menang dulu, barulah kita fikir macam mana Islam. Ini sebuah kenyataan yang sangat naif.

Sejak bila golongan progresif di dalam PAS yang mereka musuhi ini hendak menyelewengkan dasar perjuangan PAS dan mengetepikan reda Allah. Ini tuduhan yang sangat dahsyat.

Apabila semua tuduhan  ini hanya berdasarkan andaian, persepsi melulu dan tidak dapat dibuktikan maka ia menjadi fitnah dan inilah sumber utama yang menimbulkan krisis berat di dalam PAS.

Sikap golongan konservatif inilah yang menyebabkan tersingkirnya beberapa tokoh terbaik dalam PAS di mesyuarat PAS peringkat kawasan dan mungkin juga penyingkiran ini akan berlanjutan hingga ke pemilihan peringkat pusat di muktamar PAS awal Jun ini. Kemungkinan ini tidak mustahil.

Jika tokoh terbaik itu yang menunjukkan prestasi cemerlang mereka terhadap parti selama ini ditewaskan oleh golongan konservatif ini dalam pemilihan di muktamar nanti, maka apalah lagi yang tinggal di dalam PAS untuk melayari bahtera perjuangannya pada masa depan.

Yang tinggal di dalam PAS ketika itu hanya retorik, permusuhan, kebencian, mengumpul semakin ramai musuh, membuang kawan dan memandang sebelah mata akan golongan yang tidak sealiran dengan mereka dan mengucapkan selamat tinggal kepada Pakatan Rakyat. Berlegarlah PAS di sekitar kawasan Melayu dan kampung halamannya saja.

Kita ingin bertanya lagi sejak bila golongan yang dibenci ini menyeleweng dan tidak istiqamah dengan dasar perjuangan PAS. Pada hal terbukti dalam sejarahnya mereka yang dituduh inilah yang menabur bakti, berjuang dalam PAS dengan penuh istiqamah sejak zaman berzaman, pada ketika “ustaz muda” ini masih belajar di timur tengah.

Oleh itu, saya tertarik membaca buku “Melakar Agenda – Masa Depan Politik Islam di Malaysia” oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, yang menyebut mengenai simptom yang mencetuskan krisis berat di dalam PAS sekarang.

Antara lain, beliau menyebut bahawa kecelaruan sesetengah ahli PAS, khususnya yang baru mengenali erti organisasi dan perjuangan PAS, menimbulkan pelbagai kekecohan. Katanya, mereka mengangkat diri konon sebagai pejuang yang hendak mempertahankan PAS dari “unsur yang melarikan PAS jauh dari asalnya”.

Namun, katanya, selepas meneliti tindak tanduk mereka ini, khususnya yang pulang dari Mesir, serta menggelar diri mereka sebagai “ulama”, lebih banyak menimbulkan kekecohan dan kekeliruan daripada kejelasan.

Tindak tanduk mereka yang berlagak lebih tahu daripada kehendak roh dan semangat PAS itu sendiri, menyebabkan Dr Mujahid menulis buku tersebut untuk menjelaskan semula hasrat dan cita-cita PAS serta cuba memahamkan sikap dan kebijaksanaan parti terhadap pelbagai isu dalam kerangka negara berpandukan kepada semangat perlembagaan parti. – 12 Mei, 2015.

Shukur mempunyai lebih 30 tahun pengalaman sebagai wartawan dan bekerja dengan pelbagai media. Beliau kini pencen tetapi menjadi pemerhati politik yang tegar.

Tabung Haji: Jangan ulangi pegawai kena, 'jerung' lepas


KUALA LUMPUR: Krisis yang berlaku terhadap Tabung Haji (TH) tidak boleh dituding jari kepada individu-individu tertentu sahaja tetapi ia adalah kesilapan kerajaan Umno dan BN yang memerintah.

Justeru, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi bersimpati dengan musibah yang menimpa terhadap TH khususnya kepada para kakitangannya yang bertungkus lumus untuk menjaga amanah itu.

Bagaimanapun, kata beliau malangnya ia diburukkan oleh tangan-tangan kotor pemimpin politik yang tamak haloba.

"Kita sangat bimbang sejarah akan berulang apabila berlakunya krisis-krisis dalam negara yang dipersalahkan ialah kakitangan atau pegawai kerajaan adapun 'jerung-jerung' besar terselamat," tulis beliau menerusi facebook.

Orang Melayu, Cina tidak senang Rosmah berlagak seperti PM


mahathir_rosnah_600
Mereka amat tidak senang dengan isteri Najib, dengan cara hidup mewahnya, dengan lagaknya seakan-akan dia Perdana Menteri.

PETALING JAYA : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan kritikan terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau mendedahkan orang ramai terutama Melayu, ahli UMNO dan Cina tidak senang dengan cara hidup mewah isteri Perdana Menteri dengan lagaknya seakan-akan Perdana Menteri.

“Saya didatangi oleh ramai kumpulan-kumpulan dan individu yang mengadu terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Mereka datang berkali-kali dan meminta saya buat sesuatu supaya Najib hentikan dasar dan pendekatannya.

“Yang datang bukan sahaja orang Melayu dan ahli UMNO tetapi juga orang Cina. Mereka amat tidak senang dengan isteri Najib, dengan cara hidup mewahnya, dengan lagaknya seakan-akan dia Perdana Menteri,” katanya dalam entri terbarunya chedet.cc.

Dr Mahathir menambah, beliau menerima desakan tersebut dari orang ramai dan cuba untuk menasihat dan menegur Perdana Menteri tetapi tidak berkesan.

Beliau mendakwa, Najib amat yakin dengan cara pemberian wang (BRIM) akan memikat hati orang ramai.

“Dia percaya benar bahawa rakyat begitu sayang dengannya. Dia percaya walaupun UMNO dan BN tidak popular tetapi ia (BRIM) begitu disukai ramai dan ia akan jadikan dirinya sebagai idola dan ikon UMNO dan BN.

“Dia percaya perhimpunan-perhimpunan besar yang diadakan, dengan sepanduk I love PM membuktikan betapa rakyat suka kepadanya,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, beliau menerima desakan bertalu-talu untuk membuat sesuatu bagi menyedarkan Najib tentang kemerosotan sokongan terhadapnya, kebencian tindak-tanduknya serta cara hidup mewah isterinya.

Dr Mahathir mengakui walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menegur Najib namun ia tidak berkesan.

Ahmad Maslan Bakal Digugurkan Daripada Kabinet?

KUALA LUMPUR: Umno dan Barisan Nasional bakal menstukturkan semula pentadbirannya apabila mendapat kritikan hebat berkaitan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menurut tulisan blog Pro-Umno Pistol Nakal, sebagai permulaan perubahan yang dilakukan dijangka membabitkan jawatan yang disandang seorang timbalan menteri, sebelum perubahan yang lebih besar dilakukan.

"Beberapa pihak dalam Umno memaklumkan, ia adalah sebahagian langkah untuk mengukuhkan hubungan dengan akar umbi, masyarakat keseluruhannya dan juga media.

"Sumber-sumber memaklumkan, khabar untuk melakukan perubahan ini sudah lama dibincangkan di peringkat bawah tetapi tidak pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Cadangan saya dikata bodoh, ada aku kisah! – Ridhuan Tee

Pihak yang menentang cadangan mewajibkan calon memiliki minimum kredit Bahasa Melayu takut tidak layak bertanding kerana pertuturan mereka lebih teruk berbanding pekerja asing dari Bangladesh.

Ridhuan-tee-bahasa-melayu
PETALING JAYA : Pihak yang menentang cadangan mewajibkan calon wakil rakyat memiliki kelayakan minimum kredit Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah mereka yang takut tidak layak bertanding.

Pendakwah bebas, Dr Ridhuan Tee Abdullah, berkata bahasa pertuturan pihak yang menentang cadangan itu mungkin lebih teruk berbanding pekerja asing dari Bangladesh yang baru bekerja di negara ini.

Beliau mempertahankan cadangan itu demi perpaduan dan mendaulatkan bahasa Kebangsaan malah tidak kisah dengan label bodoh yang diberikan terhadapanya oleh sesetengah pihak yang ultra kiasu.

“Cadangan saya itu dikatanya bodoh (stupid). Ada aku kisah! Adakah bodoh mendaulatkan bahasa negara?” tulisnya di akhbar Sinar Harian.

Artikel bertajuk ‘Ada Apa Dengan Bahasa Melayu’ itu turut disiarkan diblognya ,

PAS nasihat pendeposit TH tidak keluarkan wang

KUALA LUMPUR: PAS menasihatkan pendeposit Tabung Haji (TH) agar tidak mengeluarkan wang deposit mereka berikutan kemelut yang melibatkan institusi kewangan itu dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Penerangannya Datuk Mahfuz Omar berkata tindakan mengeluarkan wang deposit daripada TH akan meruntuhkan institusi kewangan umat Islam yang kuat dan utuh yang dipelihara selama ini.

Bercakap pada sidang media mengenai gerakan 'Selamatkan Tabung Haji' yang ditubuhkan di bawah parti itu, Mahfuz berkata pendeposit perlu mengelak daripada mengambil tindakan negatif yang tidak menguntungkan diri serta institusi kewangan itu.

Bagaimanapun, Mahfuz yang juga pengerusi bagi gerakan itu berkata, sebuah Suruhanjaya Bebas perlu ditubuhkan bagi merombak semula sistem pentadbiran TH bagi mengembalikan kredibiliti institusi berkenaan.

PBT Pulau Pinang serap GST

GST
GEORGETOWN - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan menyerap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan ke atas 20 komponen perkhidmatannya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, penyerapan GST itu bagi membantu mengurangkan beban rakyat di negeri ini.

"Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan menanggung CBT itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata antara 20 komponen perkhidmatan itu ialah sewaan gerai pasar awam, sewaan dewan orang ramai, sewaan tanah, sewaan bangunan, bayaran meletak kereta dan perkhidmatan pembersihan. - Bernama

Sembilan Adun Kedah angkat sumpah jawatan exco


Sembilan Adun Kedah angkat sumpah jawatan exco  
Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang juga Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah (kiri) menyampaikan watikah perlantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Chempedak Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail (kanan) pada Majlis Mengangkat Sumpah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Exco) 2015 di Istana Anak Bukit hari ini. - Foto Bernama

ALOR SETAR - Sembilan Adun Kedah mengangkat sumpah memperbaharui jawatan sebagai exco hari ini.

Majlis berlangsung di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, yang juga Tunku Temenggong Kedah.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Mereka yang mengangkat sumpah hari ini adalah Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd. Rahman Ku Ismail sebagai Exco Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi.

Kedah : Denda, penjara jika tak solat Jumaat mulai 1 Jun


Denda, penjara jika tak solat Jumaat mulai 1 Jun 
 
ALOR SETAR - Bermula 1 Jun ini, umat Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, kata Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

Ketua Pegawai Penguatkuasa Jaik, Syeikh Ahmad Fisol Omar berkata, mereka yang didapati bersalah boleh disaman tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

"Kita tidak mengeluarkan saman secara membuta. Kita akan bertindak mengikut aduan yang dilaporkan orang awam terutama sekali yang tinggal dalam kariah sendiri.

"Sekiranya pesalah gagal memberi kerjasama, kita juga akan memohon waran tangkap dari Hakim Mahkamah Syariah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Syeikh Ahmad berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai kehadiran lelaki Islam di tempat-tempat awam di negeri ini ketika waktu solat Jumaat, dan berharap undang-undang itu dapat membendung perbuatan meninggalkan solat Jumaat.   




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...