Ramai setuju terima pampasan  
Samsudin (dua, kiri) bersama Exco Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain (kiri) ketika meninjau tapak lokasi pada Mei tahun lalu.

ALOR SETAR – Sebahagian besar penduduk yang terlibat dengan projek pembinaan jalan sambungan dari Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Gurun ke Pulau Bunting, Yan bersetuju untuk menerima nilai pampasan yang ditawarkan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Samsudin Bakar berkata, pihaknya juga sedang dalam proses persiapan pembayaran wang kepada mereka yang berkenaan.

“Saya dimaklumkan kebanyakan penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah itu bersetuju untuk menerima nilai pampasan yang ditawarkan oleh pihak penilaian.

“Tetapi belum ada mana-mana pemilik tanah menerima bayaran terbabit kerana ada beberapa borang yang perlu ditandatangani terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dakwaan mengatakan terdapat lebih 1,400 penduduk tidak bersetuju dengan nilai pampasan yang ditawarkan kerana terlalu rendah adalah di luar pengetahuannya.