Nampaknya begitu. Apa yang disuarakan oleh Tun Mahathir kini mengenai isu IMDB, Altantuya dan berbagai isu lain sebenarnya sudahpun disuarakan oleh YB Rafizi dan YB Tony Pua. Bukan Rafizi dan Tony Pua sahaja malah ramai pemimpin lain dan penulis blog lain juga telah menyuarakan perkara yang sama tetapi hanya ‘seperti anjing menyalak bukit’. Pihak kerajaan seolah-olah tidak memandang ‘sebelah mata’ pun kepada apa yang dibangkitkan oleh mereka yang sedar tentang pentingnya menyelamatkan kedudukan negara yang kritikal ini. Seolah-olah hanya ‘cakap’ Tun Mahathir seorang sahaja yang ‘dipakai’ oleh pihak bertanggungjawab.
Akhir-akhir ini kelihatan bahawa rakyat Malaysia dari semua golongan semacam tidak bermaya. Rakyat Malaysia hampir kecewa dan seolah-olah cukup kecewa dengan pihak berwajib yang menjalankan pentadbiran mereka seolah-olah mereka ‘beraja di hati dan bersultan di mata’. Apa saja isu yang dikritik atau dibangkitkan oleh rakyat semacam ‘didiam’kan sahaja dan kelihatan semacam ada pula usaha untuk menutup ‘bangkai’ dengan nyiru.
Rakyat bawahan begitu kecewa tetapi hanya ‘berani’ untuk mendiamkan diri semata-mata kerana itulah cara dan jalan paling selamat. Untuk bersuara berasa ‘takut’ pula, walaupun terlalu banyak perkara yang ‘tidak kena’ berlaku disekeliling yang dapat dilihat dan diperhatikan.Hendak mengadu, tidak ada siapa yang ingin mendengarkan aduan. Jikalau adapun yang sanggup mendengar maka tidak pula ada tindakan yang dilakukan. Lantas rakyat seolah-olah membiarkan sahaja apa yang berlaku kepada pemerintahan negara. Dalam hati mereka seolah-olah berkata, ‘biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya’….