SAYA tidaklah rapat dengan Tun Mahathir. Tetapi dalam Perkim, Tun adalah YDP dan saya adalah antara NYDPnya. Dua atau tiga bulan sekali, pasti kami berjumpa, bermesyuarat.

Selaku seorang negarawan, Tun boleh mengambil pendirian berdiam diri. Apatah lagi apabila sampai usia emas ini. Bermain dengan anak cucu. Tidak perlu pening kepala. Tetapi Tun tidak memilih jalan tersebut.

Negarawan tetap negarawan, hatinya tidak akan tenang, jika ada yang tidak kena. Tun lantang mengkritik dan memberi pandangan. Adakah itu salah dalam sebuah negara demokrasi?

Ada yang menyalahkan Tun kerana tidak menggunakan saluran parti. Persoalannya, adakah saluran parti akan menerima pandangan Tun atau  pandangan Tun mungkin disenyapkan?

Memahami politik Malaysia, kadangkala orang sekeliling kita lebih sudu daripada garpu. Mungkin Tun dengan PM tidak ada apa-apa. Pertemuan bagaikan adik-beradik. Tetapi tidak kepada orang keliling. Cucuk sana, cucuk sini. Keadaan semakin buruk. Elok juga kadangkala PM berdiam diri.