Bantah nilai pampasan rendah  
Penduduk mengadakan bantahan berhubung nilaian harga tanah yang terlalu rendah.

YAN – Lebih 1,400 penduduk di sekitar Guar Chempedak dan Sedaka yang terlibat dengan pengambilan tanah bagi projek jalan sambungan dari Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Gurun ke Pulau Bunting tidak bersetuju dengan nilai pampasan yang ditawarkan pihak berkenaan.

Wakil penduduk, Abu Yaziz Lazim, 65, berkata, kawasan yang majoriti tanah sawah hanya ditawarkan pampasan sekitar RM3.80 hingga RM4.80 sekaki persegi.

“Kami tidak bantah projek yang nak dijalankan, tapi kami cuma tidak puas hati dengan nilai harga tanah yang terlalu rendah.

“Sedangkan kawasan ini semakin maju dan sudah tentu harga tanah lebih tinggi. Ini menunjukkan berlaku ketidakadilan,” katanya.

Menurutnya, penduduk juga menuntut supaya pihak berkaitan dapat mengambil perhatian dalam masalah itu serta mempertimbangkan semula nilaian harga tanah di kawasan terbabit.