Tun Dr Mahathir Mohamad

1. SAYA tidak tawar untuk menolong sesiapa untuk mengatasi apa-apa masalah.

2. Dalam blog saya, saya tidak menuduh Datuk Seri Najib melakukan apa-apa jenayah. Itu boleh ditentukan jika polis dapat membuat siasatan. Yang saya pohon ialah jawapan kepada soalan-soalan yang disuarakan oleh ramai rakyat.

3. Saya akui di masa saya juga ada kehilangan wang negara. Tetapi rakyat dan dunia tahu bagaimana wang ini hilang. Kerugian yang dialami oleh Perwaja diketahui. Demikian juga dengan salah urus Bank Bumiputra oleh pengurusannya. Maminco rugi kerana London Metal Exchange memutuskan bahawa bijih timah yang dijual mengikut perjanjian jual beli yang sah tidak perlu ditunaikan dengan membekal logam berkenaan kepada pembeli. Ini diputuskan untuk menyelamat penjual yang tidak ada timah. Malaysia sebagai pembeli mengalami kerugian.

4. Saya ingin penerangan berkenaan bagaimana Konsortium Perkapalan dan Forex merugikan Kerajaan dan bagaimana saya terlibat dalam perkara ini.

5. Yang nyata ialah negara tahu di mana pergi wang yang dilabur semasa saya. Dalam perniagaan adakala untung, adakala rugi. Yang tidak boleh diterima ialah duit itu hilang tanpa diketahui ke mana.