Pengundian PRK Dun Chempaka bermula  
Calon Pas, Ahmad Fathan Mahmood memasuki perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 1 untuk membuang undi, kira-kira jam 8 pagi tadi.
KOTA BHARU - Sembilan buah sekolah di sini mula dibuka 8 pagi ini untuk membolehkan 20,390 pemilih mengundi pada PRK Dun Chempaka.

Sembilan sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gajah, SK Sabak, SK Parang Puting, SK Kem, SK Che Deris, SK Seri Chempaka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badang, SMK Pengkalan Chepa, dan Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A'ishah Putri Chempaka.

Proses pengundian akan berlangsung sehingga jam 5 petang. PRK Dun Chempaka menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon Pas dan empat calon bebas.

Pas diwakili Ketua Urusan Ulama Pas Dun Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42.

Empat calon bebas terdiri daripada bekas pensyarah Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59; Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Fadzillah Hussin, 55, dan ahli perniagaan Aslah Mamat, 64.