Pas

Bahagian 2

DALAM
Bahagian 1 disiarkan semalam, diceritakan rekod perpecahan yang pernah berlaku dalam Pas bermula daripada keluarnya pengasas Pas, Haji Ahmad Fuad dari parti itu hinggalah kepada apa yang berlaku menjelang PRU 1990 apabila Pas bergabung dengan Semangat 46 di bawah payung Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Sebahagian ahli Pas yang tidak bersetuju dengan penggabungan itu atas sebab mereka melihat Semangat 46 tidak ada bezanya dengan Umno, ambil tindakan meninggalkan Pas. Kumpulan ini dikenali sebagai Gerakan Islah atau Pas 51. Mereka kemudian menubuhkan parti Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) untuk menyaingi Pas.

Keupayaan Pas mendapatkan semula pemerintahan Kelantan daripada BN pada 1990 ternyata berjaya melemahkan lagi Gerakan Islah yang sudah sedia lemah, yang kemudian dijenamakan semula oleh Musa Salleh dan penyokongnya sebagai AKIM (Angkatan Keadilan Islam Malaysia). AKIM bagaimanapun tidak mampu menyaingi pengaruh Pas yang pesat berkembang selepas pembubaran Semangat 46. Ramai ahli Semangat 46 termasuk wakil-wakil rakyat menyertai Pas.