8 hari kumpul RM2,000  
Shaliza (kiri) mengelap mulut Farhana sambil diperhatikan neneknya, Siti Rohani Hajar, 63.

ALOR SETAR - Keluarga bayi yang menghidap penyakit jantung berlubang berjaya mengumpul RM2,000 dalam tempoh lapan hari selepas kisah anak perempuannya disiarkan akhbar ini.

Ibu bayi berkenaan, Shaliza Shaari, 39, berkata, wang itu diterima daripada beberapa pihak yang datang menziarahi anaknya di kediaman mereka di Alor Binjal, di sini.

Bagaimanapun, menurutnya, dia belum memeriksa akaun bank sama ada terdapat individu menyalurkan sumbangan ataupun tidak demi membiayai kos pembedahan anaknya, Nur Farhana Mohd Ispari.

“Jika, wang pembedahan RM60,000 mencukupi dalam tempoh diberikan, dapatlah Nurul Farhana menjalani pembedahan jantungnya di Hospital Gleneagles segera,” katanya.

Shaliza berkata, keadaan kesihatan anak ketiga yang berusia dua bulan itu masih sama seperti dahulu, namun dia bersyukur Farhana jarang menangis.