Mahfuz Omar
ALOR SETAR – Pas Kedah mendakwa kerajaan negeri gagal melunaskan bayaran kepada sebuah syarikat pemegang konsesi bekalan air seperti yang termaktub dalam perjanjian penswastaan bekalan air.

Pesuruhjayanya, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengenakan caj pelarasan deposit kepada semua pemegang akaun bil Syarikat Air Darul Aman (Sada) sebanyak antara RM50 hingga RM70.

“Kebimbangan kami sangat berasas. Walaupun Pas Kedah menentang perjanjian yang merugikan kerajaan dan rakyat dibuat pada zaman BN, tetapi tindakan kerajaan menggunakan wang yang  diserahkan oleh Sada bagi tujuan lain dan tidak dibayar kepada syarikat berkaitan adalah satu pengkhianatan perjanjian.

“Kerajaan negeri harus bertanggungjawab menjelaskan perkara ini kepada rakyat sekiranya maklumat terbabit benar,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri menggunakan wang lebih RM35 juta untuk mengatasi krisis kewangan kerajaan BN Kedah adalah amat memalukan.