DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DALAM apa sahaja kapasiti - mufti, pensyarah atau pendakwah - beliau menarik perhatian ramai. Sebagai Mufti Perlis pertama kali (2006 - 2008), kemudian sebagai pensyarah universiti, beliau lantang bersuara.

Ramai menyokong, tetapi ada juga yang tidak menerima pandangannya. Mulai awal bulan ini, beliau kembali menduduki kerusi Mufti Perlis, jawatan yang beliau tinggalkan tujuh tahun lalu. Dengan pengalaman dan pendedahan yang makin banyak, beliau tentunya ada banyak perkara yang ingin dikongsikan dengan masyarakat.

Ikutilah temu bual Timbalan Pengarang Berita Farush Khan, Editor Rencana DARINA OSMAN dan jurugambar ROSLI TALIB dengan DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN.

Datuk pernah jadi Mufti Perlis dahulu, dan kini kembali ke pejabat mufti setelah beberapa tahun menjadi pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia (USM). Apa perasaan Datuk?

Saya mungkin agak lebih teruja atau berdebar nak jadi mufti pertama kali dulu, sebab saya tidak ada pengalaman dan tak tahu bagaimana cara pengurusan. Lepas jadi mufti, saya balik semula sebagai pensyarah, (dan) pergi merata-rata di dunia ni.

Saya terdedah kepada banyak pengalaman, alhamdulillah. Semasa jadi mufti dulu, umur saya 35 (tahun), dengan semangat orang muda, darah muda masa tu (tersenyum).

Selepas jadi mufti kali pertama, saya kira rakyat lebih mengenali saya (melalui) sebahagian besar isu yang saya bangkitkan. Mungkin banyak isu tertentu dan saya kira sebahagian mengenali saya dengan cakap-cakap (saya).