Penulis (tiga, kiri) solat berjemaah bersama Tok Guru beberapa hari sebelum beliau menamatkan khidmatnya sebagai Menteri Besar Kelantan. 
 Penulis (tiga, kiri) solat berjemaah bersama Tok Guru beberapa hari sebelum beliau menamatkan khidmatnya sebagai Menteri Besar Kelantan.

TEPAT jam 11.30 pagi Jumaat, jenazah Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pulau Melaka menandakan berakhirnya perjalanan dan perjuangan hidup pemimpin dan ulama ulung negara yang berusia 84 tahun itu.

Diiringi lebih 30,000 rakyat dari merata tempat di seluruh negara, pemergian Allahyarham disifatkan sebagai kehilangan besar kepada negara; kehilangan seorang yang berprinsip teguh dalam perjuangan agama.

Tidak siapa yang boleh menyangkal, pemergian Tok Guru begitu terkesan, tidak kira sama ada kawan mahupun lawan, pemimpin, besar atau kecil, tua atau muda, bahkan masyarakat bukan Islam.

Di kalangan wartawan, beliau dilihat sebagai seorang yang mempunyai karakter tersendiri. Banyak yang diucapkan ada nilai berita yang boleh tinggalkan kesan kepada politik negara.

Tiada protokol baginya untuk berjumpa pemberita.

Tidak kira tempat, tidak perlukan pembantu atau setiausaha semasa menjawab segala soalan wartawan.