ZAKARIA TAIB (dua dari kanan) bersama isteri, Zaripah Junus dan anak-anak mereka hilang tempat tinggal setelah rumah mereka musnah akibat banjir di Kampung Kemubu, Dabong, Kuala Krai, Kelantan, kelmarin. – Utusan/Wahidin Salim
KUALA KRAI - “tiga orang anak saya terpaksa melupakan hasrat untuk teruskan sesi persekolahan selepas saya sudah tidak mampu lagi untuk menampung kelengkapan dan perbelanjaan mereka ke sekolah.’
Itulah luahan sebak, Zakaria Taib, 45, salah seorang penduduk di Kampung Kemubu, Dabong di sini selepas rumah dan harta benda termasuk kelengkapan sekolah anak-anaknya itu musnah ditelan 'bah kuning' baru-baru ini.
Keadaan yang menimpa Zakaria itu juga adalah sebahagian daripada nasib sama yang terpaksa ditempuh berpuluh-puluh lagi keluarga di kampung terbabit selepas dalam sekelip mata mereka kehilangan segala-segalanya.
Kata Zakaria, sepatutnya ketiga-tiga anaknya yang berusia 12, 10 dan 9 tahun akan meneruskan sesi baharu persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kemubu, namun melihat kepada keadaan dirinya kini yang sudah tidak mempunyai apa-apa, dia terpaksa membuat keputusan memberhentikan persekolahan anak-anak.