Penduduk, Roslan menunjukkan teknik yang digunakannya untuk menadah air hujan ke dalam kolah bagi kegunaan harian.  
Penduduk, Roslan menunjukkan teknik yang digunakannya untuk menadah air hujan ke dalam kolah bagi kegunaan harian.
PENDANG - Seramai 30 keluarga di Kampung Gelung Gajah, Mukim Tobiar, dekat sini, merayu kepada Syarikat Air Darul Aman (Sada) supaya menghantar bekalan air selepas mereka terputus bekalan itu sejak beberapa bulan lalu.

Penduduk, Norazmah Hamid, 36, berkata, masalah air bermula Julai 2014 lagi apabila penduduk hanya menerima bekalan air pada waktu malam sahaja.
Bagaimanapun, menurutnya, sejak akhir-akhir ini bekalan air sudah terputus.

"Sebelum ini, pihak Sada ada menghantar bekalan air bagi kegunaan penduduk selang beberapa hari tetapi kini pihak berkenaan langsung tidak menghantarnya.

"Penduduk terpaksa membeli air minuman serta membawa pakaian mereka untuk dibasuh ke kawasan lain," katanya.

Katanya, dia membawa pakaiannya ke rumah ibunya di Sungai Siput, Padang Terap yang jaraknya kira-kira 20 kilometer.