TERKINI :

Friday, December 25, 2015

Yapeim nafi beli simulator golf guna sumbangan jariah tapi dari hasil perniagaan mereka

Pengarah Pusat Pemantau dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) Akmal Nasir menunjukkan gambar pusat sukan golf simulator milik Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), pada sidang media di Kuala Lumpur, 17 Disember lepas. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Disember, 2015.
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menafikan dakwaan pihak tertentu mengenai yayasan itu membeli simulator golf menggunakan sumbangan jariah orang ramai.

Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin berkata sebaliknya simulator itu dibeli hasil daripada pendapatan perniagaan yayasan itu.

"Kita tak guna sumber amal jariah (untuk pembelian simulator golf) kerana kita jalankan perniagaan dan ada sumber-sumber kewangan sendiri yang kita gunakan untuk kembangkan perniagaan lain," katanya kepada pemberita di Klang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan kewangan pendidikan kepada waris 5 sekeluarga yang mati lemas di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu, Sabtu lepas.

Abibullah berkata simulator golf yang kini ditempatkan di bangunan 9 tingkat milik Yapeim di Petaling Jaya, dekat Klang juga akan dijadikan pusat kecergasan dalaman apabila bangunan itu dinaik taraf kepada hotel bertaraf 4 bintang kelak.

Katanya, Yapeim mengambil pendekatan membentuk masyarakat untuk bersukan termasuk golf dan menerusi pembelian simulator itu, permainan tersebut boleh dimain tanpa mengira cuaca kerana ia ditempatkan dalam bangunan.

Pada 17 Disember lepas, Pusat Pemantau dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) dilapor mempersoal pembelian simulator golf berkenaan dan meminta Yapeim menjelaskan keperluan memiliki permainan itu yang dilabel sebagai peralatan mewah. – Bernama, 25 Disember, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/yapeim-nafi-beli-simulator-golf-guna-sumbangan-jariah#sthash.jelIW9C2.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...