TERKINI :

Thursday, December 31, 2015

Warga kota keluh, dua kerja pun tak cukup tampung pendapatan


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan yang mencetuskan kontroversi apabila menyarankan rakyat melakukan dua kerja demi survival mereka khususnya di kota terus dicemuh rakyat.

Bagi sebahagian warga kota, sekalipun dengan dua kerja, ia tidak cukup untuk menampung pendapatan isu rumah di sebuah kota besar seperti di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Bagi Johari Basri, 36, setiap hari dia akan bangkit sekitar 6 pagi untuk keluar bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Shah Alam.

Bapa kepada tiga anak ini berkata sekitar tahun 2000 gaji pokok sebanyak RM2,000 sebulan sudah cukup untuk menampung hidupnya sekeluarga.

Namun, ia berbeza dengan keadaan ekonomi sekarang di mana pendapatan isi rumah sebanyak RM3,000 belum mampu menampung tiga per empat keperluan hidup bekeluarga.

“Sebelum ini ekonomi tidaklah teruk sangat tapi sekarang ini semakin teruk. Bukan saya saja yang rasa begitu ramai lagi kawan-kawan yang sama meniaga dengan saya rasa macam itu.

“Kalau dulu ekonomi okey, kerja kilang pun boleh buat kerja lebih masa tapi sekarang ini harapkan gaji pokok sahaja.

“Kalau nak harap gaji pokok hidup bujang bolehlah pendapatan dalam RM2,000 tapi kalau dah ada keluarga gaji RM3,000 ini macam tahun 2000 yang mana dengan gaji pokok RM800-RM1,000 macam itu kita dah cukup makan,” katanya kepada Malaysiakini.

Dah lama 2 kerja...

Justeru, bagi menikmati keselesaan hidup Johari merancang membuat dua kerja pada sekitar tahun 2013 apabila kos sara hidup mereka lima beranak sedikit meningkat ekoran kenaikkan harga beberapa barangan.

Berkat usaha menyimpan sejumlah wang setiap bulan selama 12 tahun bekerja di kilang membuat kompenen elektronik Johari memulakan perniagaan menjual aksesori telefon pintar.

Namun, ia bukanlah peluang untuk Johari hidup mewah sebaliknya apa yang diusahakan itu sekadar meringkan beban hidup mereka sekeluarga yang terpaksa menampung kos perbelanjaan yang meningkat setiap tahun.

“Meniaga ini pun nak kata mewah itu tidaklah tapi boleh lepaslah untuk duit minyak pergi dan balik kerja...macam itulah, nak kata hidup mewah itu tak dapat,” katanya.

Malah, Johari berkata walaupun dengan dua pekerjaan, beliau masih sukar untuk menyimpan wang kerana kos sara hidup semakin tinggi.

“Buat dua kerja ini dah lama berlaku, kalau dulu orang yang buat dua kerja ini ada simpanan tapi hari ini kalau nak harapkan simpanan pun tak ada. Kalau ada (simpanan) pun habis dah dikorek.

“Dengan keadaan sekarang ini saya berani cakap RM50 untuk keluarga saya macam RM10 kalau nak beli barang. Dulu RM50 dua beg plastik barang saya dapat sekarang satu pun belum tentu penuh,” keluh Johari.

Tambah Johari, untuk sesi persekolahan 2016 ini sahaja beliau menghabiskan sebanyak RM1,000 bagi perbelanjaan tiga anaknya.

“Kalau ikut tiga orang anak saya belanja RM1,000 untuk sesi persekolahan akan datang,” katanya.

Malah, beliau juga tidak dapat meluangkan masa bersama anak-anaknya pada musim cuti persekolahan kerana terpaksa bekerja di waktu siang dan meniaga di malam hari selain mengambil sikap berjimat cermat dalam berbelanja.

“Sekarang ini pun bila musim cuti sekolah terus terang saya kata kami tak boleh pergi mana,” keluh Johari dengan bergenang air mata.

Mengulas mengenai kenyataan Ahmad Maslan, Johari berkata ramai warga kota yang telah lama melakukan dua kerja, namun sebagai timbalan menteri, beliau tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan sedemikian yang bdianggap satu penghinaan.

“Dia (Ahmad Maslan) menteri bolehlah cakap dan kalau saya jadi dia pun saya boleh cakap tapi saya tak fikir akan keluarkan kenyataan sebegitu. Kalau orang yang boleh berfikiran waras ini dia tak akan cakap macam itu,” katanya dengan nada kesal.

Berniaga burger

Bagi Fauzi Ahmad Sani, 35, beliau melakukan dua kerja selama lebih empat tahun.

Penghantar surat di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur itu bekerja sebagai peniaga burger pada malam hari.

Bapa kepada satu anak itu berkata, pada awalnya beliau membuat dua kerja kerana mahu menampung perbelanjaan perkahwinannya.

Namun, Fauzi terpaksa meneruskan kedua-dua kerjanya itu bagi menikmati keselesaan hidup mereka berdua sekali gus mengorbankan masa untuk perniagaannya.

Fauzi berkata, kerja tambahannya itu memerlukan beliau kerja sehingga lewat malam kerana tempat beliau meniaga merupakan tumpuan orang ramai.

“Empat tahun lepas saya meniaga burger ini sebab nak tambah duit belanja kahwin. Lepas kahwin saya berhenti sekejap buat dua kerja konon nak menikmati alam perkahwinan," katanya dan menambah hasil jualannya itu hanya dapat menampung perbelanjaan bulanan keluarganya.

Kata Fauzi, apabila memulakan dua pekerjaan, beliau mampu menyimpan sedikit wang tunai namun keadaan ekonomi yang mendesak hari ini beliau terpaksa menyekat beberapa perbelanjaan bulanan mereka.

“Tapi lepas dah kahwin saya rasa saya masih perlu lakukan dua kerja sebab fikir jangka panjang nak buat simpanan bila dah ada anak nanti senang sikit.

“Tapi dengan keadaan ekonomi sekarang kami tak dapat menyimpan sebab keperluan perbelanjaan sehari-hari semakin meningkat lebih-lebih lagi ada GST. Semua barang naik, sampai kadang nak belanja lebih untuk makan pun kami terpaksa berkira supaya tak membazir,” kata Fauzi.

Malah, Fauzi berkata isterinya kini turut membantu beliau menampung keperluan harian mereka tiga beranak melalui perniagaan dalam talian dengan menjual karipap sejuk beku.

“Meniaga ini okeylah sikit boleh tampung mana-mana yang kurang tapi nak kata hidup mewah tak dapat.

“Sekarang ini pula dah ada anak, belanja barang anak memang boleh tahan mahalnya, rumah sewa lagi. Bila kira-kira gaji saya seorang bekerja siang dan meniaga malam cukup untuk bayar hutang saja.

“Jadi, berkat isteri saya pandai buah kuih dia buat perniagaan dalam talian jual karipap sejuk beku,” tambah Fauzi.

Menanggung malu

Sementara itu, Muhamad Kamarul Nizam,32 yang bekerja sebagai pemandu peribadi merangkap penghantar surat di syarikat swasta berkata beliau perlu mencari masa bagi membolehkannya melakukan kerja keduanya kerana sudah tidak sanggup menanggung malu apabila terpaksa meminjam daripada keluarga terdekat kerana kesempitan kewangan.

“Sekarang ini komitmen banyak, harga barang pula banyak yang dah naik macam susu, lampin pakai buang, yuran sekolah anak-anak. Nak simpan RM50 sebulan pun susah, dulu kalau tak buat kerja sampingan nak beli susu dengan lampin anak pun saya kena pinjam (duit) orang,” kata Kamarul.

Kamarul yang tinggal di Sri Petaling dan bekerja di Puchong berkata dengan sedikit berkat beliau bersama isterinya menyimpan modal mereka dapat menjalankan perniagaan menjula pakaian bayi.

“Sebelum ini terfikir juga sampai bila nak pinjam duit orang tapi lepas bincang dengan isteri saya kami sepakat nak jual baju bayi. Modal pun kecil saja, mana yang dapat kami jual sikit-sikit.

“Nak kata senang itu memang tak boleh sebab bila campur gaji saya dan isteri pun dalam RM5,000 sahaja belum tolak duit taska untuk dua orang anak RM700, tadika untuk seorang lagi anak RM400, sewa rumah, sewa kereta semua memang cukup-cukup sahaja.

“Macam meniaga ini pun untuk tampung duit belanja dapur, beli susu anak dengan lampin pakai buang,” kata Kamarul sambil menambah tindakan kerajaan melaksanakan GST semakin membebankan rakyat.

Perniagaan dalam talian

Manakala, Liyana Azmi, 31 yang bekerja sebagai eksekutif di syarikat swasta berkata beliau pada awalnya hanya suka-suka menjalankan perniagaan dalam talian.

Namun, ujar ibu kepada dua anak ini beliau terpaksa menjadikan perniagaannya itu sebagai kerja kedua beliau bagi meringankan beban suaminya.

“Saya buat perniagaan dalam talian ini suka-suka saja pada awalnya. Tapi sebab nak bantu ringankan beban suami saya teruskan.

“Walaupun kami berdua bekerja tapi dengan kos sara hidup sekarang dan tinggal di kota buat kami rasa tak cukup.

“Tapi bila saya dan suami buat dua kerja ia dapat membantu kami adakan simpanan untuk anak-anak, cukupkan perbelanjaan harian dan ada rezki lebih sikit dapatlah kami bawa anak-anak bercuti,” tambah Liyana.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...