TERKINI :

Friday, December 25, 2015

Wang haram : Malaysia jangan jadi sarang mafia

Negeri kecil, pertumbuhan ekonomi tidaklah sehebat negara maju. Tiba-tiba tersenarai nombor 5 aliran keluar wang haram tertinggi.

Menurut laporan tahunan terbaru Global Financial Integrity (GFI), yang beribupejabat di Washington, Malaysia telah kehilangan jumlah terkumpul sebanyak AS$418.542 bilion (RM1.8 trilion) sejak tahun 2004. Ini meletakkan Malaysia nombor 5 aliran keluar wang haram tertinggi.

Sudah tentu ia melibatkan mereka yang berada di pihak tertinggi. Barang pasti bukan yang melibatkan penjual goreng pisang dan laksa buyung di tepi jalan.

Jika benar laporan ini menambahkan lagi masalah yang sedia ada di negara ini dengan keadaan ekonomi yang merudum, harga petrol yang turun di peringkat antarabangsa, mata wang makin kecil.

Pelabur mana yang hendak datang ke negara kita, jika keadaan ini berterusan.

Apa yang dibuat oleh pihak kerajaan untuk mengatasi masalah ini? Agensi kerajaan seperti Bank Negara, SPRM, Kastam, LHDN, PDRM adalah badan yang bertanggungjawab. Jangan hanya memburu ikan bilis sedangkan ikan jerung terlepas begitu sahaja.

Tahun 2008  rakyat  pernah dikejutkan mengenai wang RM40 juta yang ditangkap oleh pihak berkuasa Hong Kong ke atas Michael Chia melibatkan kes membabitkan permit membalak di Sabah. Bagaimana negara lain boleh menangkap mereka yang hendak membawa wang keluar di lapangan terbang negara mereka.

Jangan nanti dunia ketawa, Malaysia semuanya lemah. Wang keluar RM1.8 trilion pun tak tahu, wang masuk RM2.6 bilion pun tak tahu. Jadi apa yang Malaysia tahu? – HARAKAHDAILY 25/12/2015

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...