TERKINI :

Sunday, December 20, 2015

UMNO-PAS, Alang-alang Bekerjasama, Biar Terus Bersatu...

PAS, pergilah bersatu dengan Umno – Riesya H


Alhamdulillah, sudah terang lagi bersuluh. Resolusi sudah dibuat. Resolusi bukan daripada sebarang resolusi. Bukan daripada rakyat marhaen. Ini resolusi dari sekalian barisan mufti, kadi, hakim dan pemimpin.

Hakim dan pemimpin bukan sebarang pemimpin. Ini pemimpin keluaran Universiti Al Azhar, Mesir yang tersohor itu. Resolusi menyeru Umno dan PAS untuk bersatu.

PAS, pergilah bersatu

Jangan diremehkan resolusi dari orang besar, berjubah besar dan berserban besar sebegini. Jangan pula dihina presiden PAS. Bukan sebarang presiden, tetapi presiden bertaraf naib ketua ulama antarabangsa.

Jangan juga dihina perdana menteri yang sudah mencemar duli turun berbaju sedondon meraikan martabat presiden PAS.

PAS, pergilah bersatu

Kawan di sana sudah lama menunggu. Tidak manis membuat orang menunggu. Bak kata pepatah orang tua, jangan ditunggu lama-lama, nanti berputih mata.

PAS, pergilah bersatu

Demi nama Melayu. Demi nama Islam. Demi nama Bumiputera.

Usah dihiraukan bab RM2.6 bilion. Usah dirisaukan bab 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Usah dirisaukan bab rang undang-undang. Usah dirisaukan bab Akta Pencegahan Keganasan (Pota).

Usah dirisaukan bab negara yang bakal bankrap. Atau rakyat hidup merana macam kucing kurap. Mencari rezeki dengan getah sekerap. Sekadar rezeki agar anak tidak merempat.

Usah dirisaukan bab rakyat Kelantan yang belum ada rumah, dek hanyut dibawa banjir. Usah dihiraukan banjir bakal melanda lagi.

Usah dihiraukan keluhan graduan yang masih menanam anggur, menjual burger untuk hidup. Atau terbeban berfikir membayar hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

Usah dihiraukan rakyat yang terseksa. Angkara kos hidup yang tak kenal siapa. Demi nama Melayu, usah dihiraukan itu semua.

Janji Melayu di sana diselamatkan. Ingatlah, mereka di sana sedang nazak. PAS, pergilah bersatu. Umpama hulubalang penyelamat yang membawa talian hayat.

PAS, pergilah bersatu

Bersama parti Melayu bersekutu. Mana tahu, untung sabut, PAS jadi laku. Dapat sebarang 2 atau 3 jawatan menteri besar. Atau pun 5 atau 6 jawatan menteri dan timbalan menteri. Atau 5 atau 6 duta. Atau menjadi pengarah jabatan agama.

Apalah yang nak disayangkan dengan jawatan beberapa Exco di Selangor, atau penasihat agama di agensi kerajaan negeri. Setakat gaji RM28,000, kawan sana mampu memberi lebih dari itu. Bukan setakat sebiji, hendakkan 3 biji BMW pun bisa diatur.

PAS, pergilah bersatu

Usah dirisaukan pengikut yang beberapa kerat itu. Pandai-pandailah mereka nak hidup atau membawa diri.

Yang pasti, ada wala’un-wala’un yang sanggup terjun kelautan api. Demi arahan pimpinan yang suci. Pimpinan yang sering bermimpi berjumpa Nabi. Mana boleh diingkari sesuka hati ataupun pemimpin yang berjubah berserban. Mana bisa di biarkan berseorangan. Yang pasti, akan ada yang sehidup semati.

PAS, pergilah bersatu

Buat apa lagi bersama Pakatan Harapan. Belum tentu boleh jadi Timbalan Perdana Menteri. Jauh sekali Perdana Menteri.

Di sini asyik dibuli. Hudud menjadi duri. Kawan di sana sudah bersedia. Menangis air mata demi hudud.

Di sini asyik dibuli. Berebut kerusi pun macam kuli. Dapat kerusi pun, yang menang setakat minoriti. Kalau di sini, terpaksa beratur di belakang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng.

PAS, pergilah bersatu

Mana tahu, di sana kerusinya diberi lebih. Menang kalah usah dikira. Untung sabut, kerusi diberi, duit diberi berkilo-kilo. Tidak perlu bersusah-susah dengan derma tin milo.

PAS, pergilah bersatu

Tunggu apa lagi. Bagai pucuk cita, ulam mendatang. Jangan dibiarkan tangan bertepuk sebelah. Jangan dibiarkan orang sana berpeluk bantal keseorangan.

Alang-alang sudah lama menjalin kasih cinta 3 segi.

PAS, cepatlah pergi....

* UMNO-PAS, Alang-alang Bekerjasama, Biar Terus Bersatu...

SUMBER - KLIK SINI

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...