TERKINI :

Tuesday, December 8, 2015

Umno kini ‘kenderaan untuk orang jadi kaya’, kata anak Tun Dr Ismail

Umno kini
Umno kini "kenderaan" untuk orang menjadi kaya dan bukannya platform mengetengahkan idea politik, kata bekas ahli Parlimen parti itu, Tawfik Ismail, sambil menambah ini sekali gus memusnahkan kredibilitinya.

Dalam usaha mendapatkan semula kepercayaan orang ramai dan dilihat sebagai berprinsip, Umno mesti menghapuskan jentera naungannya, kata anak kepada bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman itu.

Beliau berkata demikian menjelang perhimpunan agung Umno minggu ini di mana presidennya Datuk Seri Najib Razak sedang berusaha meraih semula sokongan selepas didakwa atas tuduhan rasuah dalam skandal syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam usaha mendapatkan semula kepercayaan orang ramai, pemimpin Umno perlu memisahkan parti daripada jentera kerajaan supaya birokrasi boleh menjadi neutral dan berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia dengan adil, kata Tawfik.

"(Umno kini menjadi) jentera naungan yang hebat yang mempunyai nasionalisme Melayu sebagai asasnya," katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu wawancara khas baru-baru ini.

"Umno dan kerajaan sudah bersatu bersama-sama dan adalah mustahil untuk melihat di mana tanggungjawab parti dan di mana fungsi kerajaan.”

Tawfik adalah ahli Parlimen Sungai Benut, kawasan pilihan raya yang sudah pun berpecah kepada Pontian dan Simpang Renggam. Beliau wakil rakyat kawasan itu dari 1986 hingga 1990.

Regresi Umno menjadi jentera naungan lebih jelas di bawah pentadbiran bekas presiden dan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Tawfik.

Pada zaman Dr Mahathir, guru dan kakitangan awam, yang membentuk sebahagian besar daripada ahli akar umbi Umno sejak parti itu ditubuhkan pada 1946, secara perlahan-lahan kehilangan tempat dan digantikan dengan ahli perniagaan.

Ini disebabkan satu pekeliling kerajaan yang melarang sesetengah kelas penjawat awam mengambil bahagian dalam parti politik, katanya.

Guru juga mula hilang pengaruh apabila Umno dikuasai ahli perniagaan berharta sehingga menjadikan mereka tidak dapat bersaing.

Tawfik berkata, kehilangan guru daripada keahlian Umno, bermakna parti itu juga hilang salah satu kekuatan iaitu sifat sederhana yang sangat penting untuk terus menjadikannya berprinsip.

"Guru sangat dihormati dalam masyarakat kerana mereka seperti ibu bapa anda. Mereka membantu ibu bapa dalam menyampaikan nilai kepada kanak-kanak.

"Apabila anda mempunyai ahli perniagaan, mereka membawa satu set yang berbeza nilai dan ini akan mengubah parti.

"Ia menjadi semakin jelas di bawah (Dr Mahthir), apabila anda lihat guru digantikan dengan ahli perniagaan.

“Jadi seorang menteri yang mempunyai kuasa naungan boleh mengarahkan kontrak dan projek kepada penyokong mereka,” katanya.

Umno berbeza ketika Tawfik mula berkecimpung dalam dunia politik sebagai ahli cawangan Larkin di bawah Bahagian Johor Baru pada 1981. Komposisi cawangan adalah pelbagai bagi setiap bandar besar.

"Pada masa zaman saya dulu, kekuatan utama Umno di Johor Baru adalah keahlian daripada guru dan penjawat awam di bawah gred A, dan masyarakat setinggan.

“Apabila berpindah ke Sungai Benut, ahlinya merupakan pekerja ladang, ahli perniagaan kecil Melayu, guru, ahli yang bersara daripada angkatan tentera, polis, pekebun kecil, nelayan, peniaga kecil dan masyarakat asli Orang Laut.

"Kehadiran guru, adalah komponen dihormati masyarakat Melayu yang menjadikan Umno asal sebagai kuasa bersifat sederhana," kata Tawfik.

Di bawah adalah petikan daripada wawancara bersama Tawfik:

TMI: Bagaimana dengan Umno pada zaman saudara? Bagaimana ahlinya? Adakah ia masih dipenuhi guru dan penjawat awam?

Tawfik: Pada zaman saya, kekuatan Umno Johor Baru merupakan keahlian guru dan penjawat awam di bawah Gred A dan masyarakat setinggan.

Jadi, pada ketika itu keahliannya pelbagai bagi bahagian di bandar. Apabila saya berpindah ke Sungai Benut (kerusi Parlimen), komposisi ahli merupakan pekerja lading di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Renggam, ahli perniagaan kecil Melayu, guru, pesara tentera dan polis.

Di kerusi DUN Benut, terdapat pekebun kecil, nelayan, peniaga kecil, Orang Laut dan sebahagian besar masyarakat Bugis yeng terdiri daripada guru, pesara kerajaan dan pemilik perniagaan kecil. Kehadiran guru, komponen dihormati dalam masyarakat Melayu, menjadikan Umno bersifat sederhana.

TMI: Terdapat beberapa ahli akademik yang menulis bagaimana ketika zaman Dr Mahathir, Umno mula dipenuhi dengan ramai ahli perniagaan dan mereka seolah-olah berminat dengan parti itu sebagai satu cara mengembangkan kepentingan perniagaan mereka. Mereka mengatakan ia mendorong kepada kebangkitan politik kroni. Adakah anda melihat perkara ini berlaku?

Tawfik: Ya, saya fikir sekatan pertama dibuat ke atas syarat kelayakan kakitangan awam untuk menjadi ahli, dan bilangan mereka digantikan dengan ahli perniagaan. Guru sebahagian besarnya tidak terjejas, tetapi kuasa wang membuatkan mereka tidak relevan dan mereka ditolak keluar sebagai perwakilan.

(Bekas timbalan presiden) Tun Musa Hitam dan kumpulannya tidak selesa apabila (Ahli Parlimen Gua Musang) Tengku Razaleigh Hamzah dikekalkan dalam Kabinet, kerana ia bermakna akan terjadi sekali lagi pertandingan merebut jawatan timbalan presiden. Ia juga akan membawa kepada pengumpulan dana, kerana kosnya mahal untuk berkempen, dan peruntukan projek sebagai balasan kepada kesetiaan.

Semua faktor ini – pelantikan Tun Daim Zainuddin sebagai bendahari parti dan menteri kewangan bermakna Daim mempunyai pengawasan ke atas semua kementerian, dan pertarungan besar pada 1987 di antara Razaleigh dan Dr Mahathir, dan cabaran Tun Ghafar Baba terhadap Musa sebagai penyandang timbalan presiden, menghasilkan bukan saja kekeliruan di kalangan pemegang jawatan dalam Umno, tetapi juga menjadikan politik wang satu norma kerana setiap pasukan terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk menjalankan kempen masing-masing.

TMI: Apa yang anda fikir terjadi kepada Umno sekarang?

Tawfik: Sebuah mesin naungan yang tiada tandingannya, bertopengkan nasionalisme Melayu. Umno dan kerajaan sudah bercantum, hingga sukar dipastikan di mana tanggungjawab parti berakhir dan fungsi kerajaan bermula.

Hingga di tahap paling rendah sekalipun, peringkat cawangan, ketua cawangan kemungkinan besar dilantik ke jawatan kerajaan seperti ketua kampung. Ketua sayap Wanita akan dilantik ketua Kemas (Jabatan Pembangunan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar). Ketua Pemuda akan dilantik ketua Biro Tatanegara. Jika sistem ini dikekalkan, Umno akan sukar ditembusi. Umno akan lemah di kawasan di mana bahagian parti tidak melantik ketua cawangan memegang jawatan kerajaan.

Parti politik ialah tentang mengumpul mereka yang sealiran fikiran membentuk organisasi untuk memenangi undi popular. Kerajaan boleh mempunyai dasar yang dipandu 1 parti tetapi ia juga perlu bertanggungjawab kepada pihak yang tidak menang dan menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia.

Kerajaan tidak boleh mengabaikan rakyat yang tidak mengundi mereka kerana kerajaan sepatutnya neutral dan adil. Apa yang Umno lakukan ialah, menjadikan parti dan kerajaan sebagai sebahagian di antara satu sama lain.

Sebagai contoh, negeri yang dikuasai pembangkang seperti Kelantan, tidak mendapat banyak bantuan seperti di Pahang dan Terengganu. Sekarang kita ada negeri yang bukan di bawah parti yang sama dengan kerajaan Persekutuan – Pulau Pinang, Selangor, Kelantan. Tetapi mereka perlu juga diiktiraf kerana mereka mempunyai kerajaan yang sah. Jadi, anda perlu melayan mereka dengan adil.

Jika anda mahu menjadi sebuah parti berprinsip, boleh dipercayai, inilah yang harus anda lakukan. Dalam sistem demokrasi yang matang, politik partisan berhenti selepas pilihan raya selesai. Di Malaysia, ia sama ada menyokong kami atau menentang kami. Mentaliti di sini ialah, jika anda tidak sokong kami, maka anda tidak akan mendapat apa-apa. – 7 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/umno-kini-kenderaan-untuk-orang-jadi-kaya-kata-anak-tun-dr-ismail#sthash.adS2u7vC.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...