TERKINI :

Friday, December 11, 2015

Umno khianati orang Melayu, bukan pembangkang, kata DAP

http://media.themalaysianinsider.com/assets/uploads/articles/Zairil_Khir_Johari_FORUM_ISLAM__SECULAR_STATE_20150613_TMIKAMAL_ARIFFIN_05.jpg
Tidak ada logiknya amaran Datuk Seri Najib Razak yang pakatan pembangkang akan mengabaikan kepentingan orang Melayu jika mereka memerintah Malaysia kerana mustahil bagi kaum itu akan kehilangan kuasa di negara ini, kata seorang ahli Parlimen DAP hari ini.

Zairil Khir Johari berkata, selain hakikat yang hampir semua institusi awam, termasuk polis, angkatan tentera dan kehakiman, dikawal orang Melayu, hak mereka tidak boleh dicabar dari sudut politik dan undang-undang.

Ini kerana, sebarang pindaan kepada perkara ini memerlukan kelulusan daripada majoriti dua pertiga ahli Parlimen dan persetujuan Raja-raja Melayu.

Penolong setiausaha publisiti kebangsaan DAP itu berkata, hakikatnya Umno yang selama ini mengkhianati orang Melayu dan Islam di negara ini, sambil memetik beberapa skandal yang timbul mutakhir ini.

"Siapakah yang bertanggungjawab bagi skandal Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), di mana dana hasil sumbangan orang ramai didakwa digunakan bagi membiayai seorang pemimpin Wanita Umno dan keluarganya?

"Bagaimana pula dengan dakwaan penggunaan duit Yayasan Tabung Haji untuk menyelamatkan 1MDB (1Malaysia Development Berhad)?

"Tidak dilupakan juga skandal Mara yang membabitkan pembelian hartanah bernilai ratusan juta ringgit di negara asing pada harga yang dikatakan terlalu tinggi," kata ahli Parlimen Bukit Bendera itu dalam satu kenyataan hari ini.

Najib dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno ke-69 semalam, memberi amaran kepada ahli parti yang pakatan pembangkang akan menolak perjuangan Islam, Melayu dan Bumiputera jika mereka berkuasa.

Beliau berkata, rakyat hanya mempunyai 2 pilihan dalam hal ini – gabungan diketuai Umno atau satu gabungan lagi yang diketuai atau didominasi DAP.

Zairil berkata, Najib sepatutnya tidak berdalih lagi dan terus menerus cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan pentadbiran beliau dengan menggunakan fitnah lapuk yang tidak berasas.

"Jika beliau begitu berani, sila jawab dengan lurus dan jelas di mana RM2.6 bilion?" soal Zairil.

Beliau juga berkata, tidak seperti Umno, DAP terbuka kepada semua kaum dan mempunyai perwakilan Melayu di setiap peringkat perundangan – Dewan Rakyat, Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri dan kerajaan tempatan.

Katanya, DAP juga tidak pernah anti Islam, sepertimana dibuktikan keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang mendapati tuduhan anti Melayu dan anti Islam dibuat Utusan Malaysia terhadapnya merupakan fitnah semata-mata.

Beliau juga berkata, sebaliknya kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin DAP memperkenalkan sistem tadbir urus yang cekap, amanah dan telus. – 11 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/umno-khianati-orang-melayu-bukan-pembangkang-kata-zairil#sthash.xxvIuFKm.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...