TERKINI :

Friday, December 18, 2015

UMNO beritahu MCA, parti lain janganlah cemburu

Muzakarah

KOTA BHARU – MCA atau mana-mana parti komponen BN tidak perlu cemburu atau salah sangka dengan penyatuan umat Islam jika benar Pas mahu bekerjasama dengan Umno, kata Ketua Penerangan BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Menurutnya, semua pihak dinasihatkan untuk bercakap mengikut sempadan, tidak biadab dan tidak menyimpan rasa curiga kepada penyatuan itu kerana masyarakat Islam selama ini tidak pernah merasakan perkara yang sama dan menghormati orang bukan Islam.

"Orang Islam baik Umno mahu pun Pas tidak pernah ada usaha memaksa orang Cina jadi Melayu atau memeluk Islam. Perpaduan orang Islam di Malaysia akan membawa kepada kebahagiaan untuk semua kaum. Huru-hara Islam, maka huru-hara semua orang di Malaysia.

"Jika orang Melayu bersatu, ia akan bawa faedah yang besar juga kepada orang bukan Melayu. MCA tidak perlu curiga, kaya orang Melayu, kaya juga orang lain di Malaysia ini, dan sebaliknya. Berpeganglah kepada toleransi sedia ada yang telah membuktikan kejayaan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang didakwa sebagai berkata, pihaknya tidak akan masuk campur dalam sebarang urusan melibatkan pendamaian Pas dan Umno.

Katanya, jika Umno berhasrat membawa Pas menyertai BN, MCA mahu ia dibawa ke Majlis Tertinggi BN untuk dibincangkan dan pihaknya tidak akan bersetuju jika Pas masih tetap mahu melaksanakan hudud.

Md Alwi berkata, pihak yang berkenaan perlu memahami secara lebih meluas mengenai pelaksanaan hudud yang mahu dilakukan Pas, kerana ia tidak melibatkan orang bukan Islam.

Beliau berkata, Tiong Lai sepatutnya memikirkan cara yang terbaik untuk menguatkan MCA, daripada terus mengeluarkan kenyataan tanpa memahami dengan jelas apa yang orang Islam mahu laksanakan mengikut perintah ALLAH SWT.

Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan, tidak pernah ada kerjasama politik (Umno) dengan Pas, malah jauh sekali untuk menyertai BN, tetapi masyarakat Islam berbaik sangka dan bersama-sama bila bercakap hal Islam.

"Jangan pertikai, jangan cemburu, jangan curiga, jangan masuk campur, kami sentiasa solat satu masjid, baca al-Quran yang sama, puasa bulan Ramadhan dan ke Makkah bersama-sama, dan taat kepada Sultan yang sama. Apa yang hendak dipertikai?," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...