TERKINI :

Thursday, December 10, 2015

Tiada pilihan lain selain dedah nama penderma budiman RM2,600 Juta

Shahbudin Husin, 

 http://images.says.com/uploads/story_source/source_image/424069/fcde.jpg

Sekiranya Najib Razak tidak mengelak dan berani berdepan di Parlimen pada 3 Disember lalu untuk menjawab isu derma RM2,600 juta yang diterimanya, pastilah Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini memberi lebih kelegaan kepadanya.

Tetapi, oleh kerana Pahlawan Bugis itu memilih untuk menjadi pengecut, bahana wang derma yang banyak misteri itu akan berterusan menjadi beban kepadanya.

Tindakan menyerahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi membacakan kenyataan 3 minit mengenai wang itu di Parlimen bukan saja suatu kesilapan, bahkan menolak sebarang soalan serta perbahasan mengenainya, lebih menampakkan ketidakmatangan Najib dalam berpolitik dan menguruskan persepsi rakyat.

Alasan subjudis yang dinasihatkan oleh Peguam Negara dan kemudian ditolak oleh dua bekas hakim berikutan tiada sebarang kes dibawa ke mahkamah, juga menunjukkan seolah-olah dalam lingkungan yang rapat dengan Najib sendiri mahukan beliau terus terbeban dengan isu wang RM2,600 juta itu.
Jika Najib berani menjawab dengan jujur dan berterus-terang di Parlimen tempohari, bukan saja Tun Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal serta ramai yang lain tiada ruang lagi untuk terus bercakap mengenainya, perjalanan PAU tahun ini tentu lebih tenang bagi Najib untuk menumpukan kepada pelbagai isu lain berkaitan rakyat jelata.

Malah, dalam PAU kali ini juga, baik di dalam Dewan Merdeka mahupun di luarnya, pasti lebih bergema suara memuji dan menyanjungnya.

Namun oleh kerana semua itu tidak berlaku, maka tidak dapat dielakkan lagi daripada orangramai terus bercakap, berbisik-bisik, bersosek-sosek dan berspekulasi mengenai derma RM2,600 juta itu.

Lebih dari itu, jawapan Najib dalam majlis taklimat Presiden malam semalam juga hampir tidak menjawab pertanyaan ramai mengenai wang derma itu. Lagi-lagi difahamkan Najib bercakap mengenai keperluan dana dalam politik, semua Presiden UMNO sebelumnya juga memperolehi dana politik, derma diterima daripada penderma Timur Tengah, penderma adalah ikhlas berbuat demikian tanpa mengharapkan balasan dan sebagainya.

Itu bukanlah jawapan yang dimahukan sebenarnya. Isu pokok mengenai derma tetap tidak dijawab. Oleh kerana Najib telah terlepas beberapa peluang seperti dalam Parlimen dan majlis taklimat Presiden sebelum ini, beliau sewajibnya mengambil peluang untuk berterus terang ketika perasmian PAU 2015 pada hari esok.

Dengan semua pemimpin tertinggi, Ketua-Ketua Bahagian, perwakilan, bekas-bekas pemimpin, termasuk Tun Mahathir hadir ketika majlis perasmian itu, Najib mesti menggunakan peluang tetsebut bukan saja untuk berterus terang, bahkan juga bagi membersih dan melonjakkan namanya.

Tidak sukar melakukannya. Hanya yang diperlukan oleh Najib ialah mendedahkan siapakah penderma budiman yang murah hati lagi ikhlas sehingga sanggup menderma sebanyak RM2,600 juta itu tanpa mengharapkan sebarang balasan daripadanya.

Persoalan akan terus bermain di fikiran ramai selagi nama penderma tidak didedahkan. Jika sudah didedahkan, bolehlah diketahui siapakah manusia budiman itu, berapa jumlah kekayaannya, apa perniagaannya, rekod dermanya sebelum ini bagaimana dan seumpamanya lagi mengenai penderma itu.

Kiranya  fakta-fakta yang didedahkan itu bersesuaian, pasti semua orang dapat menerimanya dengan baik. Pengkritik utama dalam parti seperti Tun Mahathir, Muhyiddin, Shafie Apdal dan lain-lainnya bukan saja akan terdiam dan kelu lidahnya, bahkan tidak mustahil kembali merapatkan diri mereka dengan Najib.

Ini kerana, selain orangramai kurang yakin ada manusia budiman yang sanggup menderma sebanyak itu, pengalaman yang diceritakan oleh Tun Mahathir ketika memohon derma daripada negara-negara Arab tetapi hasilnya mengecewakan juga menjadi sandaran keraguan itu.

Lagi pula bukankah Zahid Hamidi sebelum ini pernah mengatakan beliau juga sudah menemui keluarga penderma itu dan turut berpeluang mengenalinya sambil menghuraikan mengenai cara kemasukan wang itu ke dalam akaun peribadi Najib, meskipun nada terbarunya hari ini agak berlainan dengan mengatakan penderma itu bukannya individu, sebaliknya merujuk pimpinan sebuah kerajaan.

Dua hari lalu, SPRM juga mengesahkan sudah berkunjung ke Timur Tengah untuk menemui penderma tersebut bagi mengambil lebih keterangan untuk melengkapkan siasatan.

Kiranya SPRM ada halangan tertentu untuk mendedahkan nama penderma itu, tetapi Najib sebagai orang yang paling berkuasa dalam negara serta mempunyai perlindungan Sosma, Akta Hasutan, MKN dan macam-macam lagi di belakangnya, tentulah tiada sebarang sekatan atau kebimbangan untuk berbuat demikian.

Jika persetujuan perderma pula yang diperlukan, ia juga bukan masalah besar bagi Najib. Sebagaimana beliau dipercayai oleh orang lain menderma sebanyak itu kepadanya, mustahil ada masalah pula untuk meyakinkan orang yang sama untuk didedahkan namanya.

Tambahan pula, dengan mendedahkan namanya, ia juga akan mengundang rasa kekaguman dan terima kasih daripada 3.4 juta ahli UMNO sendiri terhadap kebaikan hati penderma itu, mungkin juga akan diiringi dengan bertalu-talu doa bagi kesejahteraan dan bertambahnya lagi rezeki kepada penderma tersebut.

Yang penting, dengan penderma itu membenarkan namanya didedahkan, ia dapat mengelakkan Najib daripada terus disyaki dengan pelbagai fitnah dan tohmahan yang bukan-bukan. Jika penderma memberikan wangnya dengan mengharapkan kebaikan, tentulah beliau tidak mahu sesuatu kemudaratan berlaku kepada penerimanya disebabkan derma yang diberikannya.

Akhirnya, bersetuju namanya didedahkan pasti lebih menjadi pilihan kepada penderma terbabit.

Apa pun, selagi nama penderma tidak didedahkan, selagi itulah isu derma ini akan terus membebankan Najib. Beliau tidak seharusnya membiarkan isu ini terus berlarutan menyusahkan dirinya, meskipun sebelum ini pernah mengatakannya sebagai fitnah, konspirasi, mengugut mahu menyaman WSJ dan mengeluarkan kata-kata, "kalau saya nak menyamun, takkan saya masuk dalam akaun peribadi."

Selebihnya, oleh kerana Najib akhirnya mengakui derma itu ialah dana politik untuk UMNO, amat terpuji juga kiranya beliau berterus terang tentang penggunaannya serta berjanji akan memasukkan lebihan bakinya kepada akaun parti.

Majlis perasmian perhimpunan pagi esok adalah peluang terbaik Najib untuk berterus terang, berani, bersikap jujur dan ikhlas sebagai pemimpin dan juga sebagai manusia yang beragama Islam untuk mendedahkan nama penderma, penggunaan dan baki wang RM2,600 itu.

Najib tidak harus lepaskan peluang berbuat demikian esok, kecuali jika ingin terus memilih jalan sukar untuk laluan masa depannya. (SH 09/12/2015).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...