TERKINI :

Monday, December 28, 2015

Tiada kompromi pegawai, anggota buat jenayah

MARANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkompromi dengan pegawai dan anggota yang dikesan terlibat dalam kesalahan jenayah dan syariah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Jamshah Mustapa berkata, pihaknya sentiasa tegas dalam menangani integriti kalangan kakitangan PDRM.

Katanya sepanjang tahun ini sebanyak 2,436 aduan telah diterima menerusi unit aduan JIPS melibatkan kes salah laku, gagal melaksanakan tugas, tidak cekap dan sebagainya.

"Aduan yang diterima pada tahun ini meningkat di mana pada tahun lalu hanya 2,208 aduan yang diterima. Kesemua aduan yang dilaporkan oleh orang awam itu merangkumi pelbagai kesalahan yang dilakukan pegawai dan anggota.

"Kita tidak akan melindungi mereka yang dikesan melakukan kesalahan dan tindakan tegas akan dikenakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis daerah Marang, di sini hari ini.

Menurutnya orang ramai boleh menggunakan pelbagai alternatif untuk menyalurkan maklumat berhubung kesalahan yang dilakukan termasuk sistem pesanan ringkas (SMS), panggilan telefon, emel, surat mahupun berjumpa terus dengan Ketua Polis Daerah.

"Kita menggalakkan orang ramai untuk membuat aduan dan jika tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Mungkin sebelum ini orang ramai tidak tahu untuk menyalurkan aduan tersebut kepada pihak kam

"Jadi kita minta orang ramai lebih berani untuk tampil menyalurkan maklumat kesalahan yang dilakukan oleh pihak polis," katanya.

Beliau berkata, kira-kira 80 peratus dari aduan yang diterima itu adalah benar dan pihaknya akan terus memantau kesalahan yang dilakukan pihak polis.

IPD Marang mula beroperasi pada 2007 di kawasan seluas 46 hektar melibatkan kos RM36 juta. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...