TERKINI :

Wednesday, December 16, 2015

Selepas #PAU2015, Pemimpin #UMNO terus mengeluh tentang #Najib

Shahbudin Husin,

https://lh6.ggpht.com/Wgge99k395I4lOcVgUNL_mRNmrt_EyCUS8EpPuzBpKvZXe1mL3ZiRNzbKRIwueTt3yaHs5qErO4ZUSBLJkE=s800 

Ramai kawan-kawan dalam UMNO, sebaik saja berakhirnya Perhimpunan Agung 2015 ini bertanya, apa penyudahnya isu derma RM2,600 juta yang melibatkan Najib Razak selepas ini?

Apakah ia akan berterusan menjadi beban dan bualan atau akan dilupakan serta berakhir begitu saja?

Mereka membangkitkan pertanyaan itu kerana merasakan UMNO melalui perhimpunannya baru-baru ini nampaknya sudah dapat menerima dengan baik dan menyetujui perbuatan Najib itu, malah turut memberikan sokongan padu kepadanya untuk terus menerajui parti dan kerajaan sehingga pilihanraya akan datang.

Tetapi, di sebalik itu mereka tetap bimbang tentang penerimaan rakyat kepada UMNO dan Najib berkaitan wang derma itu. Kata mereka, ahli UMNO mungkin boleh melupakan isu derma itu, tetapi rakyat biasa barangkali akan terus memendam rasa sehingga ke peti undi.

Tidak kurang pemimpin UMNO peringkat bahagian dan cawangan yang berterus-terang mengatakan peluang BN tetap sukar dengan adanya isu derma yang melibatkan Najib itu.

Mereka mengakui bahawa walaupun Najib dilihat dapat mengukuhkan kedudukannya dalam parti, sekurang-kurangnya sehingga PRU 14 akan datang, hakikatnya UMNO menjadi semakin lemah dan dicemuh di mana-mana kerana wang derma itu.

Dalam keadaan ini, pihak yang paling terbeban ialah pemimpin UMNO di peringkat akar umbi kerana mereka sendiri kadangkala tidak dapat menjelaskan atau berhujah mengenai tafsiran wang derma tersebut dalam ertikata yang sebenarnya, lebih-lebih lagi bila wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi.

Lebih sukar mereka berhujah kerana Najib sendiri menafikan pada peringkat awalnya dan mengancam untuk menyaman akhbar perniagaan The Wall Street Journal yang mendedahkannya, kemudian tiba-tiba diikuti dengan penyingkiran Peguam Negara dan tekanan kepada SPRM yang sedang menjalankan siasatan.

Maknanya, berakhirnya perhimpunan UMNO baru-baru ini hanya memberi kegembiraan kepada Najib kerana dapat mengukuhkan lagi kedudukannya, tetapi tidak kepada pemimpin parti di peringkat bawahan dan pertengahan yang akan terus bergelut kesukaran dalam mempertahankan parti.

Semua pemimpin UMNO kini tiada pilihan selain terus memberi sokongan dan mempertahankan Najib kerana itulah kehendak perhimpunan baru-baru ini, walaupun beliau ternyata seorang pemimpin yang makin merudum dan dipertikaikan secara peribadi oleh majoriti rakyat.

Tidak seperti Perdana Menteri dan Presiden UMNO sebelum-sebelum ini yang hanya dipersoal kerana kepimpinannya, Najib sebaliknya dipertikai kerana kedua-duanya sekali - kepimpinan dan perbuatan peribadi yang sukar diterima dan kemudian parti diminta menanggung bebannya.

Dengan berlabuhnya perhimpunan tahun ini menambahkan banyak lagi persoalan mengenai harapan kemenangan dalam pilihanraya akan datang dan bagaimana untuk mengembalikan keyakinan rakyat. Semunya tergantung dengan tidak ada sesiapa yang dapat memberi jawapan yang tepat dan pasti.

Lebih ramai yang yakin dengan kekalnya Najib dan keputusan perhimpunan terus memberi sokongan, bermakna semakin tipis harapan UMNO dan BN untuk mengekalkan kuasanya.

Keyakinan mereka ialah kalau bukan Najib ditampuk kuasa, separuh beban UMNO dan BN dalam berhadapan dengan rakyat sudah dapat dikurangkan.

Perdamaian Najib dengan Muhyiddin juga dilihat tidak mampu menyumbang apa-apa dari segi menambahkan sokongan rakyat. Ia hanya memberi lebih keuntungan kepada Najib saja, bahkan jika berdamai lebih merosakkan reputasi Muhyiddin di mata rakyat.

Jika majoriti rakyat sekarang ini lebih merasakan Najib adalah "malapetaka" kepada negara, pemimpin akar umbi UMNO secara diam-diam pula merasakan beliau adalah "beban" yang semakin berat untuk digalas.

Makin Najib disokong dan dipertahankan oleh pemimpin atasan yang berjawatan dan berkepentingan atau melalui perhimpunan agung yang hanya diwakili oleh 12 perwakilan daripada setiap bahagian, pemimpin peringkat pertengahan dan bawahan ini semakin merasakan rapuhnya kedudukan UMNO di kalangan rakyat. (SH 15/12/2015).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...