TERKINI :

Sunday, December 27, 2015

Selepas berdekad bermusuhan, ahli PAS sedia kerjasama dengan Umno

Ahli PAS bersedia bekerjasama dengan Umno walaupun selepas berdekad wujud persengketaan antara mereka, ketika adanya usaha untuk memperbaiki hubungan antara 2 kuasa politik terbesar Malaysia itu.

Bagaimanapun, ada sesetengah masih curiga dengan tawaran perdamaian Umno dan bimbang PAS akan sekali lagi terjatuh ke dalam perangkap musuh lamanya yang kini semakin terdesak.

Walaupun ada penganalisis berpendapat kerjasama antara parti itu tidak lebih daripada sekadar memanjangkan jangka hayat kedua-duanya yang sedang tenat, ahli PAS melihatnya sebagai cara menyatukan hubungan masyarakat Melayu Islam negara ini.

Mohd Monier Mat Din, ahli PAS dari Baling, Kedah, mengalu-alukan idea memperbaiki hubungan dengan Umno.

Walaupun menyedari kebimbangan yang wujud di kalangan ramai rakan parti terhadap musuh lama mereka itu, bagi Monier, PAS bertanggungjawab menerima salam silaturahim Umno, walau apa pun risikonya.

“Kerja PAS ialah berdakwah walaupun kepada orang jahat. Tetapi sekiranya orang jahat itu mengkhianati kita lagi, apa kita boleh buat? Sejahat mana pun Umno, mereka masih orang Islam.”

Ramlan Samiran dari Batu Pahat, Johor, juga menyuarakan sentimen perpaduan Melayu-Islam, mengatakan PAS perlu memaafkan kesilapan silam Umno dan melupakan sejarah permusuhan panjang kedua-dua parti.

“PAS membenci Umno tetapi sekiranya Umno bertaubat dan kembali ke jalan yang benar,kita perlu menerima mereka,” kata Ramlan.

Enam dekad permusuhan

Dua parti itu bersaing untuk mendapatkan undi orang Melayu dan menjadi suara mewakili masyarakat Melayu Islam sejak PAS ditubuhkan pada 1951.

PAS menyertai kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 1974 atas undangan Umno. Hubungan antara mereka terputus pada 1977 apabila PAS meninggalkan BN. Ia juga hilang kawalan atas kerajaan Kelantan.

Pengalaman pahit itu menyebabkan beberapa pemimpin PAS seperti allahyarham mursyidul am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengisytiharkan parti Islam itu tidak akan bekerjasama lagi dengan Umno.

Hubungan kedua-dua parti kembali baik apabila Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai PAS.

Pada 18 Disember, Hadi berkongsi pentas dengan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pada perhimpunan bekas pelajar Universiti Al Azhar di mana sekali lagi Najib menyuarakan tawaran perdamaian kepada PAS.

Penganalisis seperti Mohd Hisomuddin Bakar dari Ilham Center berkata, kehadiran Hadi ialah petanda jelas parti Islam itu mungkin akan berdamai dengan musuh lamanya.

Terutama sekali selepas PAS tidak termasuk dalam pakatan pembangkang baharu yang dikenali sebagai Pakatan Harapan.

Isu kepercayaan

Semua yang ditemuramah menyuarakan kepercayaan kepimpinan parti, terutama sekali presiden dan majlis syura ulama membuat keputusan terbaik dengan kembali bekerjasama dengan Umno.

Walaupun hakikatnya, sebilangan pemimpin ini menyaksikan sendiri bagaimana Umno mengkhianati mereka di penghujung 1970-an.

“Kami tahu pemimpin yang kami pilih serta para ulama lebih berpengetahuan dan berpengalaman berbanding kami dalam hal ini dan mereka akan melakukan keputusan yang tepat untuk parti,” kata Mohamad Shamsuri Mohamad Hussin dari Maran, Pahang.

Mereka juga mengulangi kenyataan Hadi sebelum ini, PAS bersedia bekerja dengan Umno dan menasihati mereka tentang bagaimana mentadbir negara berdasarkan prinsip Islam.

“PAS boleh menjadi ‘check and balance’ kepada Umno dan mengawalnya daripada korupsi dan salahguna kuasa,” kata Ramlan dari Batu Pahat.

“Kami di sini bukan untuk memerintah, kami di sini untuk menasihati Umno,” kata Monier dari Baling, mengulangi kata-kata presiden parti.

Ahli parti lain seperti Mohamad Zahar dari Kuala Lumpur, bagaimanapun, mempersoalkan sama ada Umno benar-benar ikhlas atau ia sekadar cubaan menyelamatkan parti Melayu itu.

“Umno dipenuhi skandal, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), derma RM2.6 bilion dan rungutan rakyat tentang ekonomi,” kata Zahar yang tidak mahu mendedahkan nama penuhnya.

“Jadi kini, tiba-tiba kita seperti membantu mereka bangun selepas semua yang dilakukan kepada kita.”

Dia juga kritikal terhadap pemimpin PAS yang cepat memaafkan Umno tetapi tidak parti lain seperti Parti Amanah Negara (Amanah), yang dibentuk bekas pemimpin dan ahli PAS.

Kepimpinan PAS melabelkan parti serpihan itu sebagai pengkhianat tetapi apa yang dilakukan Amanah tidak seteruk mana berbanding tindakan keras Umno atas aktiviti dan pemimpin PAS, kata Zahar.

“Mengapa hanya terbuka hati kepada Umno? Mengapa tidak Amanah malah DAP, kedua-duanya juga boleh memperkukuhkan PAS.

"Sekiranya kita boleh memaafkan kesalahan Umno kepada kita selama ini, jadi pastinya kita boleh juga memaafkan yang lain,” katanya. – 27 Disember, 2015.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...