TERKINI :

Tuesday, December 29, 2015

Sanusi - Kekal status hutan simpan di Charok Genting Bunga, Tasik Pedu

Kekal status hutan simpan

ALOR SETAR - Ladang buah-buahan yang dicadangkan kerajaan negeri terdahulu di Charok Genting Bunga, Tasik Pedu tidak diteruskan sebaliknya digantikan dengan tanaman getah berklon balak.

Exco Pertanian dan Asas Tani, Datuk Suraya Yaacob berkata, kerajaan negeri BN memutuskan untuk mengekalkan status hutan simpan di Tasik Pedu, dengan menanam semula pokok hutan yang dibenarkan iaitu spesies getah berklon balak.

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.466326!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_700/image.jpg

“Hutan simpan tidak boleh ditukarkan kepada ladang buah. Sebab itu kita mahu kekalkan dengan tanaman getah yang pada masa sama menjana pendapatan. Dalam syarat pengekalan hutan simpan, tidak boleh ditanam buah-buahan, perlu ditanam pokok hutan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri PR sebelum ini belum sempat menanam pokok buah-buahan dan hanya pokok mempelam sahaja yang tumbuh sehingga kini.

“Pokok mempelam yang sedia ada tumbuh kita biarkan, sedikit sahaja kawasan itu. Bagaimanapun, saya dapati sebahagian kawasan diceroboh penduduk setempat apabila kerajaan negeri lambat bertindak selepas ambil alih negeri, ada yang dipecah masuk dan ditanam getah oleh penduduk. Ada juga kawasan masih kosong di sekitar cerun,” katanya.

Suraya turut mempertikai tindakan kerajaan negeri PR sebelum ini yang menukar status hutan simpan kepada projek agrotourism.

“Saya tidak faham kenapa status itu berubah, kerana hutan simpan perlu dikekalkan. Tanaman getah masih kategori hutan, jika nak bangunkan perlu ganti hutan simpan lain,” katanya.

Menurutnya, Pas Kedah sengaja membangkitkan isu lapuk kerana tiada isu penting untuk dibangkitkan sebaliknya hanya mencari kesalahan kerajaan negeri kini.

“Pas kena fikirkan mahu perjuangkan apa? Lebih baik mereka cari isu rakyat, mudah untuk kita selesaikan. Kerajaan BN tidak perlu teruskan dasar mereka yang tidak beri kebaikan pada rakyat,” katanya.

Suraya berkata, banyak lagi aspek pelancongan boleh dibangunkan di Tasik Pedu antaranya aktiviti memancing, alam sekitar, flora fauna dan keindahan hutan sedia ada.

“Tidak perlu bangunkan ladang buah untuk tarik kunjungan pelancong. Banyak lagi aspek lain boleh dicetuskan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak perlu membangunkan ladang buah atau dusun berikutan empat daerah di negeri ini dibangunkan untuk menghasilkan buah-buahan untuk dipasarkan antaranya di Pendang dan Sik.

“Kita akan bantu pemilik dusun sedia ada menaik taraf kualiti hasil keluaran selain menyalurkan maklumat berkaitan. Kebanyakan dusun sedia ada dibangunkan persendirian, kita bantu bahagikan kluster tertentu supaya hasilnya berkualiti dan ternyata usaha itu membuahkan kejayaan. Jadi kerajaan negeri tidak perlu bersaing dengan pemilik dusun untuk hasilkan buah-buahan,” katanya.

Pas Kedah kesal ladang getah ganti ladang buah

Dalam pada itu, Pas Kedah kesal apabila tapak agro pelancongan di Charok Genting Bunga, Tasik Pedu yang diilhamkan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak bertukar wajah.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek asal menempatkan ladang buah-buahan di empat kompartmen (48A, 48B, 50B) itu didakwa bakal dibangunkan ladang getah berklon balak oleh kerajaan negeri.

“Ketika PR perintah, dakwa kita cemar alam sekitar dan jejas ekosistem Tasik Pedu, sekarang kenapa pula kawasan itu ditanam getah, bukan pokok balak. PR sebelum ini mahu bangunkan kawasan Tasik Pedu sebagai tarikan pelancong dengan wujudkan ladang buah, jika ditanam getah, pelancong tak akan datang ke situ,” katanya.

Menurutnya, hasil tinjauannya baru-baru ini mendapati hanya sebahagian kawasan kecil ditumbuhi pokok mempelam, manakala sebahagian besar kawasan sudah digantikan tanaman getah.

“Pokok buah-buahan yang tinggal hanya yang ditanam sebelum ini sahaja, kawasan lain diganti tanaman getah. Saya lihat sebatang anak pokok durian yang ditanam Allahyarham Azizan, terbiar tidak terjaga. Terdapat juga pokok nangka madu, dokong dan beberapa pokok lain, namun mempelam paling banyak dan tumbuh subur,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, sekiranya cadangan membangunkan ladang buah itu diteruskan, ladang terbabit akan menghasilkan 28 jenis buah-buahan termasuk anggur, kurma, durian, rambutan, mempelam, limau, salak, nangka, betik, serta kelubi.

“Jika impian itu dapat direalisasikan, beribu pengunjung dijangka akan melawati ladang buah sambil menikmati keindahan Tasik Pedu. Itulah hasrat Allahyarham Azizan ketika mencadangkan idea berkenaan dalam usaha memajukan Pedu berikutan wujudnya tasik yang cantik dan unik,” katanya.

Menurutnya, apa salahnya projek cetusan kerajaan sebelum ini diteruskan jika membawa manfaat kepada negeri, berikutan sebelum itu pun tiada projek yang berjaya dibangunkan berdekatan tasik itu.

“Apabila ditanam getah, ia menyalahi permit penggunaan Jabatan Perhutanan kerana tapak itu diberikan permit pembangunan projek agroteknologi selama 30 tahun kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) untuk dibangunkan ladang agro pelancongan. Kerja-kerja pembangunan dilakukan anak syarikat PKNK, Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd (KLPK),” katanya.

Muhammad Sanusi turut membangkitkan semula janji yang dibuat kerajaan BN ketika itu, bahawa kawasan terbabit akan ditanam semula dengan spesies pokok hutan untuk memulihara ekosistem.

“Apabila diusahakan ladang getah seluas 800 ekar, membuktikan bantahan mereka dahulu tidak berasas. Rakyat Kedah pasti tidak lupa lokasi bersejarah yang menyaksikan puluhan ribu berhimpun, sama ada menyokong atau membantah usaha membangunkan kawasan itu sebagai ladang buah-buahan dan tarikan pelancongan,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...