TERKINI :

Thursday, December 24, 2015

RUU MKN: #Amanah pertimbang cabar di mahkamah

Mahkamah

SHAH ALAM – Amanah sedang mempertimbangkan untuk mencabar keabsahan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mahkamah dalam masa terdekat.

Ketua Pemudanya, Sany Hamzan berkata usaha itu untuk menghalang daripada Rang Undang-undang MKN itu daripada mengambil alih kuasa Yang Dipertuan Agong khususnya dalam pengisytiharan darurat.

“Kami juga menyeru untuk seluruh anggota Majlis Raja-Raja Melayu bersuara dan menolak undang-undang yang tidak masuk akal ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Dewan Negara malam semalam telah meluluskan Rang Undang-undang MKN 2015 yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.

Perkara itu diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang pada pukul 8.20 malam sambil berkata undang-undang itu diluluskan berdasarkan undian suara dengan lebih ramai yang menyokong berbanding yang membantah.


Rang itu telah dibahas begitu hebat oleh 37 senator baik daripada BN mahupun daripada pembangkang sepanjang persidangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika menggulung Rang Undang-undang itu berkata tidak timbul isu perdana menteri mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang menjadi kebimbangan banyak pihak sebelum ini.

Mengulas lanjut, Sany juga mendakwa, Dewan Rakyat dan Dewan Negara gagal mempertahankan doktrin Raja Berperlembagaan sebagaimana yang jelas tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kelulusan ini juga bermakna BN sedang mempersiapkan seorang Perdana Menteri dengan kuasa yang tidak boleh dicabar, sekaligus berpotensi menjerumuskan Malaysia menjadi negara diktator,” katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...