TERKINI :

Thursday, December 31, 2015

Rafizi dakwa aset negara dijual untuk kambus hutang 1MDB

Perjanjian jual beli antara 1MDB dan syarikat asing dalam pembangunan Bandar Malaysia mengesahkan lebih banyak aset dan projek negara akan jatuh ke syarikat asing, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Beliau mengulas tindakan 1MDB menjual kepentingan 60 peratus miliknya dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada sebuah konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings (IWH) Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corporation (CREC) Sdn Bhd.

"CREC akan mempunyai 40 peratus dari 60 peratus pegangan di dalam Bandar Malaysia (pegangan 24 peratus di dalam keseluruhan projek) iaitu satu bidang hartanah yang cukup bernilai dan strategik,"

"Perjanjian hari ini hanya mengesahkan amaran saya sebelum ini bahawa kemelut kewangan 1MDB akan mengheret negara sehingga banyak aset-aset penting negara akan dijual demi untuk mengambus hutang besar 1MDB," katanya dalam kenyataan media.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau percaya pegangan itu akan memberi kelebihan kepada CREC untuk membida dan memenangi projek lebih besar yang berkait rapat dengan Bandar Malaysia iaitu pembinaan sistem keretapi laju Kuala Lumpur–Singapura.

Projek itu dijangka menelan belanja USD11 bilion atau bersamaan RM47 bilion jika mengikut kadar tukaran semasa, kata Rafizi.

"Saya berani meneka bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak juga sedang berkira-kira untuk menganugerahkan projek itu juga kepada syarikat-syarikat berkait dengan kerajaan China.

"Jika ini berlaku, Malaysia akan memasuki era baru yang lebih sulit apabila banyak kepentingan negara berhubung kait dengan pemilikan oleh syarikat-syarikat kerajaan China yang sudah tentu merumitkan pendirian negara dalam isu-isu serantau seperti tuntutan bertindih ke atas Kepulauan Spratly," katanya.

Terdahulu, majlis menandatangani perjanjian antara 1MDB dengan dua rakan kongsi baru mereka diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, kepentingan 60 peratus saham syarikat itu dijual kepada konsortium berkenaan pada nilai RM7.41 bilion manakala penilaian semasa Bandar Malaysia diletakkan pada RM12.35 bilion

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...