TERKINI :

Sunday, December 20, 2015

PERKASA mungkin ketepi BN, pilih PAS dalam PRU

Datuk Ibrahim Ali hari ini menegaskan PAS akan menjadi pilihan kumpulan pendesak Melayu PERKASA menjelang pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, presiden PERKASA itu berkata pilihan tersebut hanya akan dibuat sekiranya parti Islam itu berubah menjadi parti progresif.

Bekas anggota Parlimen Pasir Mas itu berkata, pilihan raya lepas PERKASA memberikan sokongan jitu kepada Umno-BN.

Namun, PERKASA menetapkan bahawa pertubuhan itu tidak akan menyokong Umno lagi jika parti Melayu terbesar itu masih gagal memperbaiki kegagalan mereka.

"PERKASA tidak memberikan sokongan kepada mana-mana pihak, waima Umno, BN atas dorongan emosi dengan perkiraan semberono atau prinsip membuta tuli.

"Oleh sebab itu, pendirian PERKASA dalam PRU14, akan kami tentukan berdasarkan kajian terperinci dalam PRU14 kelak. Kita mempunyai dua pilihan, antara Umno dan PAS yang sudah memutuskan ikatannya dengan DAP.

"Jika menjelang PRU14, PAS tidak lagi beretorik dan menunjukkan kemampuan untuk membela hidup dan mati Melayu, PAS mampu jadi pilihan PERKASA,"kata Ibrahim dalam ucapan dasarnya pada mesyuarat agung PERKASA di Pusat Islam di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata, Umno perlu menyelesaikan isu berbangkit seperti kenaikan kos sara hidup, pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST), dan isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

"Ahli PERKASA pun ramai ahli Umno, tiada masalah. Sebaik sahaja Dewan Rakyat bubar, kita akan putuskan," katanya.

Sehubungan itu, PAS dan Umno katanya perlu bekerjasama bagi merealisasikan penubuhan Majlis Ukhwah Islamiah Nasional (Muin), susulan pertemuan bersama kepimpinan tertinggi PAS pada 13 Oktober lalu di pejabat agung parti Islam itu.

"Kami juga cadangkan penubuhan Muin sebab kami yakin ura-ura kerjasama antara PAS dan Umno mutakhir ini tidak mungkin menjadi kenyataan.

"Oleh demikian, kami harap PAS dan Umno akan 'berjiwa besar' untuk segera merealisasikan kewujudan Muin."

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...