TERKINI :

Sunday, December 20, 2015

PERKASA desak kerajaan BN timbang semula perjanjian TPPA

Irwan-Fahmi-Ideris,tppa
KUALA LUMPUR: Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak pemerintah supaya menimbang semula Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang bakal dimeterai pada tahun hadapan.

Ketuanya, Irwan Fahmi Ideris berkata tuntutan itu dibuat kerana pemeteraian TPPA merugikan rakyat dan negara.

Disebabkan itu, seramai 200 orang ahli Perkasa telah hadir dalam satu tunjuk perasaan di hadapan Kelab Sultan Sulaiman yang menuntut agar perjanjian TPPA itu disemak semula dan dibawa ke Parlimen.

“Kita minta kerajaan berterus terang isu TPPA dan minta kerajaan kaji semula apa yang ada daripada TPPA itu.

“Apa keuntungan negara? Adakah kita sebelum ini miskin? Ada perkara (yang) tak betul (pada tindakan pemerintah), seperti ada benda ditutup,” katanya kepada pemberita di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu.

Tunjuk perasaan itu merupakan acara sampingan Persidangan Wira Perkasa Malaysia bersempena Persidangan Agung Perkasa Malaysia 2015 di ibu negara, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, sayap Perkasa itu mahu pemerintah supaya membentang laporan penuh latar belakang perjanjian itu di Parlimen.

“Kita minta kerajaan telus. Tindakan ini seperti kerajaan ada buat benda salah.

“Kita tolak TPPA dan minta kerajaan tidak sign (tandatangan) dulu,” katanya lagi.

Selain isu TPPA, persidangan kali ini membawa dua isu penting yang akan dibawa ke perhatian Perkasa induk iaitu peningkatan kos sara hidup dan keberadaan kumpulan bekas pegawai tinggi kerajaan yang menggelarkan diri mereka G25.

“Kita membahaskan usul berkait peningkatan kos sara hidup anak muda dan peningkatan pengangguran dalam kalangan belia. Kita tuntut akur janji pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bahawa harga kereta dan tol akan turun dilaksanakan.

“Manakala G25 ini kita mahu kerajaan menyemak balik kumpulan ini apakah rasionalnya yang mahu LGBT itu dihalalkan.

“Kita nak tahu sekarang ini apa tujuan dia (G25). Adakah mereka dibayar?.

“Kita akan bawa kepada pusat (gerakan induk) esok dan jika diluluskan kita akan bawa dan serah kepada Kerajaan selepas mesyuarat Agung Perkasa esok (20 Disember),” ujarnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...