TERKINI :

Tuesday, December 22, 2015

Pergolakan parti politik Malaysia warnai 2015

KUALA LUMPUR - Sungguhpun Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sudah hampir tiga tahun berlalu, suhu politik di Malaysia pada tahun ini tetap panas berikutan pergolakan parti politik di kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang.

Landskap politik mula menampakkan perubahan ketara selepas pakatan pembangkang kehilangan dua tokoh besar iaitu apabila ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjalani hukuman penjara lima tahun bermula Februari kerana didapati bersalah dalam kes liwat manakala Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula meninggal dunia pada bulan sama.

Kehilangan dua pemimpin pembangkang itu mengakibatkan perpecahan yang ketara dalam gabungan Pakatan Rakyat, apabila DAP dan Pas tanpa bersembunyi lagi meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap dasar dan polisi masing-masing.

Di sebelah Barisan Nasional (BN) pula, parti pemerintah itu turut berdepan cabaran untuk memastikan isu yang melingkari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak berlarutan, di samping memastikan rakyat tidak terbeban dengan kejatuhan nilai ringgit serta kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pada 10 Februari lepas, Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk mengenepikan hukuman penjara lima tahun yang ditetapkan Mahkamah Rayuan kerana kesalahan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada Jun 2008.

Walaupun Anwar cuba merayu di peringkat Lembaga Pengampunan Diraja, petisyen beliau ditolak Yang Di-Pertuan Agong pada 16 Mac, dan Anwar hilang kelayakansebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, sekali gus memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan itu.

Selain itu, negara turut dikejutkan dengan pemergian bekas Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat, yang juga anggota Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Perkembangan itu menyebabkan SPR mengambil keputusan untuk mengadakan pilihan raya kecil Rompin pada 5 Mei, dan Pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 7 Mei yang keputusannya menyaksikan Datuk Hasan Arifin daripada BN berjaya mempertahankan kerusi Rompin, manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan kerusi Permatang Pauh, yang sebelum itu disandang suaminya Anwar.

Bagi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-dua pilihan raya kecil itu, adalah yang terakhir beliau menjadi pengarah pilihan raya BN. 

Muhyiddin, yang mengkritik Najib berhubung isu 1MDB dan isu dana politik RM2.6 bilion, digugurkan daripada Kabinet dan sekali gus kehilangan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran dalam rombakan yang diumumkan Perdana Menteri pada 28 Julai.

Turut digugurkan daripada Kabinet ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang turut mengkritik Najib dalam isu sama. 

Pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Najib selaku presiden menegaskan akan kekal memimpin parti itu selain mengambil pendirian untuk 'berjiwa besar' dengan mengajak kumpulan penentangnya dalam parti berdamai dan kembali bersatu.

Dalam rombakan Kabinet yang sama, Najib turut menggugurkan Datuk Seri G. Palanivel selepas Pendaftar Pertubuhan pada 25 Jun mengesahkan keanggotaan Ahli Parlimen Cameron Highlands itu terbatal dan jawatan presiden dipangku Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Keputusan pemilihan jawatankuasa tertinggi MIC pada 6 November kemudiannya mengesahkan jawatan presiden milik Dr Subramaniam secara rasmi, manakala Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Datuk Seri S.K. Devamany dipilih sebagai timbalan presiden. 

Sementara itu, ramalan pemerhati politik bahawa Pakatan Rakyat mungkin bermasalah besar dengan ketiadaan Anwar dan Nik Abdul Aziz, menjadi kenyataan apabila gabungan politik itu terbubar secara rasmi ekoran pertelagahan DAP dan PKR dalam beberapa isu nasional, termasuk rampasan kitab Injil berbahasa Melayu di Semenanjung serta keputusan Pas untuk meneruskan agenda undang-undang Hudud di Kelantan.

Keputusan pemilihan parti Pas pada 4 Jun lepas, yang menyaksikan kejayaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatannya sebagai presiden parti itu bagi penggal 2015-2017, menewaskan pencabarnya Ahmad Awang, turut memberi kesan  kepada senario politik Pas.

Pada pemilihan itu Mohamad Sabu, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, terlepas jawatan timbalan presiden yang dipegangnya semenjak 2011 kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Keputusan pemilihan itu turut melihat penolakan 'kumpulan profesional' dalam Pas - antaranya bekas naib presiden Salahudin Ayub, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Parlimen Kota Rajan Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Kumpulan yang diketuai Mat Sabu, kemudian bertindak drastik memisahkan diri daripada Pas dan bertindak menjenamakan semula Parti Pekerja-Pekerja Malaysia yang ditubuhkan pada 1978 kepada Parti Amanah Negara pada 16 September.

Berikutan tindakan itu, keanggotaan mereka dalam Pas terbatal selari dengan Perlembagaan parti itu.

Dalam perkembangan lain, pembubaran Pakatan Rakyat yang ditubuhkan bagi menghadapi PRU ke-12 (2008) menyaksikan penubuhan gabungan baharu dikenali Pakatan Harapan pada 22 Sept, dan pada masa kini, bekas anggota Umno, Datuk Saifuddin Abdullah bertindak sebagai ketua sekretariatnya.

Kekuatan gabungan baharu itu bagaimanapun belum dapat dilihat. Dewan Rakyat pada persidangannya baru-baru ini, meluluskan Usul Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri itu.

Berikutan persempadanan semula itu, Sarawak akan mempunyai 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) berbanding 71 pada masa kini.

Bahagian pilihan raya yang baharu itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.  - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...