TERKINI :

Wednesday, December 9, 2015

Penjaga gol muda Kedah akan jadikan pengalaman di Harimau Muda sebagai semangat

Firdaus tidak gugup
Dec 9 2015 3:19PM

Penjaga gol muda Kedah, Firdaus Muhamad mahu jadikan pengalamannya bersama skuad Harimau Muda sebagai bekalan semangat untuk aksi final Piala Malaysia menentang Selangor Sabtu ini.

Firdaus bakal membuat penampilan sulung di pentas final Piala Malaysia. Dianggap masih mentah untuk beraksi di peringkat tertinggi itu, kegugupan bakal dirasai penjaga gol berusia 21 tahun ini.

Begitupun, Firdaus enggan situasi itu mempengaruhi aksinya di atas padang sebaliknya berharap mampu kekal fokus di Shah Alam.

"Pengalaman saya di Harimau Muda sedikit sebanyak dapat membantu saya untuk final, menghadapi tekanan penonton dan juga aksi di dalam padang. Harapan saya, saya dapat berikan yang terbaik, dapat sokongan moral daripada keluarga dan kawan-kawan dalam pasukan," katanya.

Firdaus sudah membuktikan kemampuannya menerusi persembahan mantap ketika bertemu Felda United di separuh akhir.

Sekali lagi dijangka mengemudi benteng akhir pasukan, Firdaus tetap waspada dengan cabaran daripada The Red Giants nanti.

"Selangor adalah pasukan yang kuat dan kita kena lebih fokus. Kita kena lebih berhati-hati dengan Nazmi Faiz dan juga pemain import mereka. Seperti kita tahu Nazmi boleh mengawal di bahagian tengah," tambahnya.

Debaran semakin terasa, ulangan final Piala Malaysia 2008 antara Selangor dan Kedah akan menggegar Stadium Shah Alam Sabtu ini sepak dengan mula jam 9 malam.

Apakah impian Kedah untuk kembali menjulang kejuaraan selepas 7 tahun menjadi realiti atau Selangor bakal melunas dendam untuk misi 33 Piala Malaysia. Sama-sama kita nantikan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...