TERKINI :

Friday, December 4, 2015

Pembangkang tak mampu menang PRU14 – PasMa

Phahrolrazi-Zawawi_bn_umno_spr_600
PETALING JAYA: Pakatan pembangkang belum lagi mempunyai kekuatan untuk menewaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU 14).

Pandangan itu diberikan Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi susulan berdasarkan situasi semasa yang dihadapi pakatan pembangkang.

“Kalau keadaan pembangkang seperti sekarang ini, saya rasa secara umumnya rakyat belum meletakkan keyakinan kepada Pakatan Harapan untuk mencabar BN dalam PRU nanti.

“Keadaan pembangkang sekarang ini saya nampak BN masih mempunyai peluang yang kukuh (untuk menang), walaupun BN mempunyai masalah tetapi mereka masih ada kelebihan kerana berada dalam kerajaan,” katanya kepada FMT.

Phahrolrazi antara individu yang menyokong pembentukan Pakatan Harapan.

Beliau membuat kritikan itu kerana melihat kedudukan gabungan pembangkang ketika ini tidak berada di landasan yang betul untuk menumbangkan BN.

Jelasnya, pembangkang sepatutnya sudah mencapai persefahaman yang kukuh selepas tertubuhnya Pakatan Harapan namun apa yang berlaku gabungan itu dilihat lebih terkebelakang berbanding Pakatan Rakyat (PR) yang telahpun diistiharkan terkubur kecuali di Selangor.

“Pakatan Harapan belum capai persefahaman yang kukuh, berbanding penubuhan PR sebelum ini di mana terbentuknya satu fahaman melalui Buku Jingga yang dipersetujui semua parti,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Kedah.

Sehubungan itu, beliau menyeru, semua parti pembangkang supaya berhenti menyerang antara satu sama lain sebaliknya memberi tumpuan sepunuhnya kepada pengukuhan parti dengan membuat perbincangan dan dasar-dasar untuk ditawarkan kepada rakyat bagi menarik sokongan.

“Sepatutnya mereka boleh duduk dan buat perbincangan dan dasar-dasar yang hendak ditawarkan kepada rakyat disamping menyatukan semua parti pembangkang termasuk Pas,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...