TERKINI :

Wednesday, December 9, 2015

PASMA tegur AMANAH, PAS terus 'bercakaran'

Pertubuhan Sejahtera Ummah Malaysia (PasMa) mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan supaya tidak melayan PAS dalam isu sama parti itu diresapi pengaruh kumpulan pengganas atau tidak.

Pengerusi PasMa Pulau Pinang Zolkifly Md Lazim berkata perdebatan itu tidak akan menguntungkan sesiapa memandangkan PAS sudah mengisytiharkan menjadi pembangkang negeri.

“Jangan sampai rakyat bosan dengan sikap pemimpin Pakatan Harapan yang sekadar saling 'bercakaran' dengan parti yang tidak berkuasa dalam kerajaan negeri hari ini, iaitu PAS,” katanya.

PAS Pulau Pinang dan penyokong bukan Islamnya pada 7 Disember lalu membuat laporan polis kepada Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mujahid Yusuf Rawa.

Mereka mendakwa anggota parlimen Parit Buntar itu mengaitkan PAS, parti lamanya, dengan kumpulan bersenjata Negara Islam (IS) dan Al-Maunah.

Mujahid bagaimanapun mendakwa kenyataannya diputar belit. Laporan polis itu juga, katanya, menunjukkan PAS negeri cuba berselindung tanpa bersedia untuk berdebat.

Dalam kenyataan hari ini, Zolkifly berkata lebih elok jika pemimpin AMANAH mencari jalan untuk berdebat dengan pemimpin BN, yang walaupun menjadi pembangkang negeri tetapi masih berkuasa di peringkat pusat.

“Kalau boleh berdebat dengan Umno-BN, AMANAH Pulau Pinang boleh bertanya bila kerajaan pusat mahu meluluskan Projek Tangani Banjir Sungai Pinang RM450 juta yang dijanjikan sejak RMK-10 (rancangan Malaysia ke-10), hatta terus dimungkiri dalam RMK-11 kini?” katanya.

Isu itu umpamanya, kata Zolkifly, akan membuka mata tiap-tiap rakyat Pulau Pinang bahawa amalan kerajaan pusat ternyata merugikan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...