TERKINI :

Saturday, December 26, 2015

Pas mahu menjadi pembangkang yang menasihat bukan untuk merampas kuasa

Pembangkang: Pas mahu jadi penyelamat

SHAH ALAM - Tujuan Pas mahu menjadi pembangkang yang menasihat bukan untuk merampas kuasa daripada kerajaan sebaliknya untuk menjadi penyelamat.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sehubungan itu ahli politik Pas yang menjadi pembangkang wajib mengambil contoh daripada al-Quran dan Sunnah.

“Mesej kita bukan merampas kuasa semata-mata kerana singgahsana, kerusi dan pangkatnya, tetapi menjadi penyelamat.

“Permulaannya menasihati pihak yang berkuasa supaya meninggalkan kemungkaran kepada yang baik, atau akhirnya kalau mereka tidak berubah caranya mengambil alih kuasa menjadi penyelamat tanpa dendam kesumat. Nasihat juga kena pada tempat dan keadaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, apabila beliau menegaskan Pas mengambil pendekatan menjadi pembangkang yang menasihati kerajaan, ramai yang terlalu bersemangat sehingga terpengaruh dengan musuh Islam yang mencipta provokasi.

“Maka, yang lemah imannya menjadi tidak istiqamah,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, umat Islam perlu kembali memahami konsep nasihat seperti yang dianjurkan dalam Islam.

“Perkataan nasihat adalah salah satu daripada perkataan bahasa al-Quran (mukjizat ilmu) yang sangat luas makna dan mafhumnya, sehingga merangkumi segala kata dan pendekatan untuk mengajak kepada kebaikan dan kebajikan, termasuk meninggalkan segala kemungkaran atau kejahatan dalam segala aspek. Jangan peduli kepada yang buta al-Quran,” katanya.

Beliau turut mengambil contoh pemimpin Islam terdahulu yang berdepan kuasa besar dunia seperti Parsi dan Rom tanpa menyerah kalah sehingga mati atau menang.

“Akhirnya kuasa paling besar, paling zalim dan keras jatuh dan tumbang. Berkonsepkan meruntuh jahiliah dan menegakkan Islam, bukannya menggantikan jahiliah dengan jahiliah,” katanya.

Katanya, perjuangan Islam tidak boleh dilaksanakan oleh mereka yang keras semata-mata dan selama-lamanya.

“Perjuangan Islam juga tidak layak dilaksanakan oleh kalangan yang malu menyebut Islamnya, lebih-lebih lagi pengecut menyebut Islamnya.

"Perjuangan Islam juga tidak layak kepada mereka yang menyerah kalah menghadapi kekerasan, atau menentang kekerasan dengan kekerasan tanpa sempadan. Atau terpukau dengan habuan jawatan dan harta sebelum menang dan selepas kemenangan, atau bermimpi seronok bersama Kabinet bayangan,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...